#407: Hukum Mengambil Hak Orang Lain dalam Keadaan Darurat

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum mengambil atau menggunakan harta bukan miliknya yakni mengambil hak orang lain ketika berada dalam keadaan darurat. Contohnya, seseorang keadaan seseorang ditimpa musibah banjir dan terputusnya bekalan. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

Riwayat Muslim (2564)

Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli.(Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Memahami Konsep al-Darurah

Sebelum kita pergi lebih jauh, marilah kita memahami konsep al-darurah terlebih dahulu. Al-Darurah merupakan bahasa Arab yang berasal daripada kalimah al-darar bermaksud  musibah  yang  tidak  dapat  dielak.(Lihat Mu’jam al-Ta’rifat, hlm. 117)

Ia berlawanan  dengan  perkataan  al-naf‘ bererti manfaat.  Dengan kata lain, al-dar adalah  lawan  kepada  manfaat  iaitu  sesuatu yang  tidak baik. (Lihat Lisan al-’Arab, 4/482)

Para  ulama  seperti al-Nawawi dan al-Zuhayli mengaitkan maksud darurat dengan  situasi yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa seperti terpaksa mengambil makanan yang  haram demi menyelamatkan nyawa dalam keadaan terdesak. Ini bermakna darurat yang dimaksudkan adalah keadaan atau situasi yang boleh menyebabkan kebinasaan pada nyawa ataupun anggota badan. (Lihat al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, 9/52, Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, hlm. 54 )

Namun demikian terdapat sebahagian ulama yang menghuraikan darurat secara umum tanpa menghubungkannya dengan kebinasaan akibat tidak mengambil sesuatu yang diharamkan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh ulama Malikiyyah bahawa darurat itu termasuk merasa khuatir akan berlakunya kebinasaan kepada diri sama ada secara yakin atau zhan atau bimbang  berlakunya kematian. Rasa kekhuatiran dan kebimbangan tersebut sudah dianggap  meletakkan seseorang itu dalam situasi darurat. (Lihat al-Qawanin al-Fiqhiyyah fi Talkhis Madhhab al-Malikiyyah, hlm. 137)

Juga dinyatakan oleh ulama Syafi’iyyah bahawa sesiapa yang khuatir jika tidak makan akan menyebabkan ia mati atau penyakit yang menakutkan atau bertambah penyakitnya, atau berpanjangan sakitnya, sedangkan tiada makanan yang halal kecuali yang haram, maka wajib ia memakannya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/306)

Terdapat banyak dalil pensyariatan darurat sama ada daripada al-Quran mahupun hadith-hadith baginda SAW. Antaranya seperti firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya, “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah: 173)

Walaupun ayat ini berkenaan dengan isu memakan makanan haram ketika darurat, tetapi kaedah menyebut:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ

Maksudnya: “Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab.”

Dalam hadith pula sebagaimana riwayat Jabir bin Samurah R.A, katanya:

أَنَّ أَهْلَ بَيْتٍ كَانُوا بِالْحَرَّةِ مُحْتَاجِينَ ، قَالَ : فَمَاتَتْ عِنْدَهُمْ نَاقَةٌ لَهُمْ ، أَوْ لِغَيْرِهِمْ، فَرَخَّصَ لَهُمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَكْلِهَا ، قَالَ : فَعَصَمَتْهُمْ بَقِيَّةَ شِتَائِهِمْ ، أَوْ سَنَتِهِمْ

Maksudnya, “Bahawa terdapat sekeluarga di Harrah (berdekatan Madinah) yang memerlukan. Lalu unta mereka atau selain mereka mati. Maka Rasulullah memberikan rukhsah kepada mereka untuk memakan bangkainya. (Jabir) berkata: (Bangkai unta) tersebut memadai bagi mereka untuk musim sejuk atau setahun yang berbaki.”

Riwayat Ahmad (21100)

Nas-nas di ayat menunjukkan terdapatnya pengecualian (istithna’) ketika dalam situasi darurat bagi mengelakkan daripada kehilangan nyawa. Kata al-Bazdawi dan para ulama tafsir dan usul selainnya, Allah SWT mengecualikan (pengharaman) dalam keadaan darurat, pengecualian daripada haram bermakna harus. (Lihat Kashf al-Asrar, 4/1518)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan kesimpulan daripada perbahasan berkenaan darurat ialah darurat merupakan konsep yang implikasinya mengharuskan apa yang diharamkan oleh syarak atau keharusan meninggalkan kewajipan. Justeru beliau berpendapat, darurat itu adalah suatu keadaan bahaya atau kesukaran bersangatan yang menimpa manusia sehingga bimbang ia akan menyebabkan kemudaratan kepada nyawa atau anggota atau maruah atau akal atau harta dan yang berkaitan dengannya. Ketika itu diharuskan ia mengambil yang haram atau meninggalkan kewajipan atau melewatkannya daripada waktunya bagi mengelakkan kemudaratan berdasarkan sangkaan kuatnya menurut garis panduan syarak. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, hlm. 68)

Beliau seterusnya mengemukakan sekurang-kurangnya terdapat tujuh perkara di bawah garis panduan darurat.

  • Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan sangkaan, sangkaan itu hendaklah sangkaan yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian;
  • Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan lain yang dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu kecuali dengan jalan yang haram itu;
  • Hendaklah pada ketika wujudnya perkara yang haram itu terdapat perkara yang halal, namun ia dipaksa untuk mengambil yang haram dengan ugutan yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa atau anggota badan (al-ikrah al-mulji’);
  • Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip asasi syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan). Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam;
  • Hendaklah mengambil yang haram atau dilarang itu pada kadar yang paling minima dan perlu sahaja. Ini kerana keharusan mengambil yang haram atau dilarang hanya dalam keadaan darurat dan darurat perlu diukur dengan kadar yang perlu sahaja;
  • Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil;

Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya. (Lihat Nazariyyah al-Darurah al-Shar’iyyah, hlm. 69-72)

Hukum Mengambil Hak Orang Lain dalam Keadaan Darurat

Perkara seperti ini telah dibincangkan oleh para fuqaha’ dan mereka menyatakan bahawa seseorang boleh mengambil hak orang lain jika dia telah sampai pada satu tahap keadaan darurat, di mana jika dia tidak mengambilnya, ia akan membawa kepada kematian dirinya, atau hampir kepada kemusnahan dirinya.

Hal ini dengan maksud, sekiranya dia tidak makan daripada yang diambil daripada bukan haknya itu, dia mungkin mati atau hampir mati, sama ada dirinya, anaknya atau orang di bawahnya. Namun, ia mestilah dalam keadaan bukan lapar yang biasa. Demikian juga ubat-ubatan yang dia ambil, atau pakaian yang digunakan bagi mengelakkan daripada kesejukan yang melampau, yang akhirnya boleh membawa kepada kematian atau hampir mati.

Hal ini selaras dengan ayat al-Quran dalam beberapa tempat, antaranya firman Allah SWT:

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ ۙ فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” 

(Surah al-Ma’idah: 3)

Ibn Kathir menjelaskan: Sesiapa yang perlu memakan makanan haram yang disebut oleh Allah SWT kerana keadaan darurat, maka dia boleh memakannya, dan Allah SWT Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadapnya. Kerana Allah SWT mengetahui keperluan hamba-Nya yang berada dalam kesulitan dan sangat memerlukan makanan tersebut, maka Allah pun membolehkan (memakan)nya dan mengampuninya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/14)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah mensyaratkan kebolehan memakan perkara yang haram dengan firman-Nya ‘غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ‘ agar manusia tidak menuruti hawa nafsu mereka dalam mentafsirkan keadaan darurat sehingga ada orang yang menyatakan bahawa dirinya dalam keadaan darurat, sedangkan sebenarnya tidak, dan dia melampaui batas darurat atau keperluan dengan mengambil kesempatan atas keadaan kecemasan, lalu dia menurut syahwatnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 1/325)

Selain itu, kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.”

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili ketika membahas kaedah di atas, darurat ialah sampainya seseorang kepada had peringkat yang jika dia tidak mengambil sesuatu yang dilarang maka akan menghasilkan kebinasaan kepada diri orang yang terdesak itu, atau hampir kepada kebinasaan, seperti hilangnya anggota, hilangnya pancaindera maka ini dianggap darurat daripada sudut Hukum Syarak. (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Mazahib al-Arba`ah, 1/276)

Justeru, perkara ini mestilah berlandaskan hukum darurat dengan memastikan bahawa seseorang itu benar-benar berada dalam keadaan yang menyebabkan dia terpaksa untuk mengambilnya.

Kaedah menyebut:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186)

Makna ijmali bagi kaedah ini iaitu sesuatu yang harus dibina di atas darurat, maka harus pelaksanaannya mengikut kadar yang secukupnya sahaja bagi menghilangkan darurat tersebut semata-mata. Tidak dibolehkan lebih daripada itu. (Lihat Durar al-Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/38)

Kaedah lain turut menyebut:

مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورَةِ يُقَدِّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 107)

Menurut Ibnu Nujaim, dalam isu orang yang memakan bangkai dalam keadaan darurat, maka hendaklah dia mengambilnya sekadar untuk mempertahankan hidup sahaja. (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 107; Syarh al-Manzumah al-Sa’diyyah, hlm. 71)

Hal ini dengan maksud, jika kita perlu makan dengan kadar tertentu untuk menyelamatkan hidup, maka ambillah sekadar itu sahaja. Jangan mengambil lebih daripada kadar tersebut.

Setelah itu, apabila keadaan telah aman, dan kita mengetahui tuan yang kita ambil haknya, maka hendaklah membayar semula kepada pihak yang mengalami kerugian kerana diambil barangnya itu. Hal ini berdasarkan kaedah:

الاِضْطِرَارُ لاَ يُبْطِلُ حَقَّ الْغَيْرِ

Maksudnya: “Keadaan darurat tidak menggugurkan hak orang lain.” ( Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh al-Zarqa, hlm. 213; Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/208)

Kaedah ini menerangkan bahawa meskipun seseorang memperoleh keuzuran untuk mengambil perkara yang haram dan tidak berdosa ketika melakukannya, namun ia tidak bermaksud bahawa hal itu menjadi sebab dibolehkan untuk menggugurkan atau menghilangkan hak orang lain. Hal ini dengan maksud, seseorang tetap dikehendaki untuk mengganti harta yang telah dia terpaksa ambil atau manfaatkan daripada harta orang lain ketika dalam keadaan darurat tersebut. (Lihat Syarh al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Mustafa al-Zarqa, hlm. 161 dan Qawa’id Ibn Rajab, hlm. 136)

Justeru, seseorang yang berada dalam keadaan lapar sehingga terpaksa memakan makanan orang lain, maka dia wajib mengganti makanan tersebut, atau membayar ganti rugi kepada pemiliknya sepertimana disebut dalam kaedah di atas, iaitu keadaan darurat tidak menggugurkan hak orang lain. Sekiranya barang yang dimanfaatkan tersebut dalam bentuk barang yang ada semisalnya, maka dia wajib mengganti dengan barang semisal. Jika tidak, maka diganti dengan membayar harganya. (Lihat al-Qawa’id al-Kulliyyah wa al-Dawabit al-Fiqhiyyah oleh Dr Muhammad Uthman Syabir, hlm. 227)

 

Penutup

Kami nyatakan bahawa jika seseorang tidak ada ruang untuk menyelamatkan diri melainkan terpaksa mengambil hak orang lain, hendaklah mereka mengambil mengikut kadarnya sahaja. Ia hendaklah dalam keadaan benar-benar berada dalam keadaan darurat yang boleh mengancam nyawa atau hampir memusnahkan diri atau keluarga mereka.

Selain itu, mana-mana pihak yang berkemampuan khususnya pihak pemerintah dan mereka yang berkeupayaan hendaklah membantu bagi memastikan rakyat tidak sampai pada tahap terpaksa mengambil barang-barang di kedai orang lain tanpa kebenaran. Sekiranya keadaan ini tidak dikawal sehingga menjadi berleluasa, maka ia boleh menyebabkan berlakunya keadaan yang tidak menentu dalam negara ini sehingga orang lain yang tidak berkeperluan pun akan mengambil kesempatan, yang akhirnya membawa kerosakan sistem perundangan dan pentadbiran negara.

Selain itu, sikap yang ditunjukkan oleh pemilik premis kedai dengan memaafkan masyarakat yang berada dalam keadaan terdesak juga adalah amat terpuji dan dicontohi.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H