#316: Ilham yang Benar

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah maksud ilham? Dan bagaimana mengetahui bahawa sesuatu ilham itu benar dan boleh diterima untuk diamalkan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertama, berkenaan maksud ilham, ia adalah dengan makna (لهم) iaitu menelan sepertimana disebut oleh Ibn Faris. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 5/217)

Apabila dikatakan “Allah ilhamkannya yang baik,” ia dengan maksud Allah mengajarkannya. (Lihat Tahzib al-Lughah, 6/6169)

Dari sudut istilah syarak, terdapat beberapa pandangan. Antaranya, Syeikh al-Syanqiti berkata: “Berlaku sesuatu pada hati dengan satu sangkaan tanpa sebarang dalil dan bukan berdasarkan hujah akal, yang Allah khususkan kepada sesiapa yang dikehendaki daripada hamba-Nya.”(Lihat Adhwa’ al-Bayan, 3/323-324)

Berkenaan dengan dalil ilham, terdapat satu hadis daripada al-Nawwas bin Sam’an, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ضَرَبَ اللهُ مَثَلاً صِرَاطًا مُسْتَقِيمًا وَعَلَى جَنَبَتَىِ الصِّرَاطِ سُورَانِ فِيهِمَا أَبْوَابٌ مُفَتَّحَةٌ وَعَلَى الأَبْوَابِ سُتُورٌ مُرْخَاةٌ وَعَلَى بَابِ الصِّرَاطِ دَاعٍ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ ادْخُلُوا الصِّرَاطَ جَمِيعًا، وَلاَ تَتَعَرَّجُوا وَدَاعِي يَدْعُو مِنْ فَوْقِ الصِّرَاطِ فَإِذَا أَرَادَ يَفْتَحُ شَيْئًا مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ قَالَ وَيْحَكَ لاَ تَفْتَحْهُ فَإِنَّكَ إِنْ تَفْتَحْهُ تَلِجْهُ وَالصِّرَاطُ الإِسْلاَمُ وَالسُّورَانِ حُدُودُ اللهِ تَعَالَى وَالأَبْوَابُ الْمُفَتَّحَةُ مَحَارِمُ اللهِ تَعَالَى وَذَلِكَ الدَّاعِي عَلَى رَأْسِ الصِّرَاطِ كِتَابُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالدَّاعِي مِنْ فَوْقِ الصِّرَاطِ وَاعِظُ اللهِ فِي قَلْبِ كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: Allah SWT telah membuat perumpamaan tentang jalan yang lurus. Di kedua sisi jalan tersebut terdapat dua tembok. Di kedua tembok tersebut terdapat pintu-pintu yang terbuka. Di atas pintu-pintu tersebut terdapat tirai yang diturunkan dan di atas pintu ada jalan (lurus) yang ada penyeru yang berkata: “Wahai manusia, masuklah kamu kesemuanya ke dalam jalan dan janganlah kamu menyimpang (daripadanya).”

Jika seseorang hendak membuka salah satu pintu dari pintu-pintu itu, maka penyeru yang berada di atas pintu itu berkata: “Celaka engkau, jangan engkau buka pintu tersebut. Jika engkau membukanya, nescaya engkau terjerumus masuk ke dalamnya.”

(Rasulullah SAW menjelaskan) Jalan tersebut ialah Islam, kedua tembok itu ialah batasan-batasan Allah, pintu-pintu yang terbuka ialah perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT, penyeru di atas pintu adalah Kitabullah, dan penyeru di atas jalan ialah penasihat (yang Allah utus) dalam hati setiap Muslim.

Riwayat al-Tirmizi (2786), Ahmad (17909) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (245)

Ibn al-Qayyim menyebut, ini adalah pernyataan pada hati orang yang beriman iaitu ilham Ilahi melalui malaikat. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/46)

Ilham yang Benar

Berkenaan dengan ilham, kita perlu tahu apa sebenarnya ilham. Mungkin suatu ilham itu baik, dan mungkin juga suatu ilham itu tidak baik, dan mungkin suatu lintasan hati itu bukan ilham pun. Firman Allah SWT:

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا

Maksudnya: “Serta (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.”

(Surah al-Syams: 8)

Imam al-Tabari berkata: “Maka Allah menjelaskan kepada jiwa itu apa yang patut dibuat dan apa yang diwaspadakan daripada jenis perbuatan baik, atau keburukan atau ketaatan, atau kemaksiatan.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 29/210; Lihat juga Zad al-Masir, 9/140)

Firman Allah SWT:

وَهَدَيْنَاهُ النَّجْدَيْنِ

Maksudnya: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (Surah al-Balad: 10)

Ibn Kathir menyebut: Ibn Mas`ud mengertikan النَّجْدَيْنِ’ sebagai kebaikan dan kejahatan. Inilah yang diriwayatkan daripada Ali, Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, Abi Wa’il, Abi Soleh, Muhammad bin Ka`ab, al-Dhahhak, dan Ata` al-Khurasani.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/568)

Berdasarkan nas dan kenyataan di atas, ini bererti bahawa sekadar sangkaan suatu itu sebagai ilham sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu dikembalikan dan ditilik sangkaan ilham itu berdasarkan asas Syariah; al-Quran dan al-Sunnah. Ilham yang bertepatan dengan kehendak kedua-dua asas inilah yang diterima dan boleh diamalkan.

Syeikh al-Sam’ani berkata: “Dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan, kami katakan seperti berikut: Setiap yang benar dan berbetulan mengikut Syariat Nabi SAW sekalipun tiada dinaskan di dalam Kitab dan Sunnah, maka ia diterima.

Sebaliknya apa-apa yang tidak berbetulan dengan syariat Nabi SAW, maka ia hendaklah ditolak kerana yang demikian itu adalah bisikan nafsu dan was-was syaitan. Justeru, wajib diingkarinya. Akan tetapi kita tidaklah mengingkari cahaya Allah yang dikurniakan sebagai penghormatan dan kemuliaan untuk seseorang hamba. (Lihat Qawati’ al-Adillah fi al-Usul2/352)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ ، وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللهِ فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ، ثُمَّ قَرَأَ {الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالفَحْشَاءِ} الآيَةَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan memiliki bisikan pada manusia, dan malaikat juga memiliki bisikan. Bisikan syaitan menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Sedangkan bisikan malaikat menjanjikan kebaikan dan mempercayai kebenaran. Barangsiapa mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa itu daripada Allah SWT, justeru hendaklah dia memuji Allah. Dan barangsiapa mendapatkan yang lain, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang dilaknat.” Kemudian Nabi SAW membaca ayat: ‘الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ’ (Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut). [Surah al-Baqarah: 268]

Riwayat al-Tirmizi (3256). Beliau berkata, ini hadis hasan gharib.

Semoga Allah ilhamkan kepada kita dengan ilham yang baik dan kita memohon petunjuk dan hidayah kepada-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 Januari 2022 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1443H