Soalan
Assalamualaikum ustaz. Berapakah jumlah jemaah untuk mengerjakan solat Jenazah? Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ
Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”
Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)
Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. ( Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51)
Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)
Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)
Definisi Jenazah dan Solat Jenazah
Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16)
Selain itu, al-Nawawi menukilkan pandangan daripada Ibn Faris, yang mana beliau mengatakan perkataan al-Jana’iz itu adalah kalimah jamak dari masdar al-Janazah. (Lihat Tahrir Alfaz al-Tanbih, hlm. 94)
Manakala dari sudut istilah, menurut Muhammad Batthal, jenazah bermaksud seseorang yang meninggal dunia dan yang telah terpisah rohnya dari badannya. Begitu juga, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, jenazah boleh didefinisikan sebagai mayat bagi orang Islam. (Lihat al-Nazm al-Musta’zab fi Syarh Gharib al-Muhazzab, 1/123)
Berkenaan solat jenazah, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Pensyariatan solat Jenazah adalah berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Solat jenazah adalah tidak sah dilakukan kecuali setelah dimandikan. Cara solat Jenazah adalah seperti berikut:
Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah. Cara berniat ialah ingat dalam fikiran, bersolat jenazah, empat takbir, fardhu kifayah.
Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian bacalah fatihah.
Ketiga: Setelah selesai membaca al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua sambil mengangkat kedua-dua tangan hingga ke cuping telinga, kemudian meletakannya semula ke dada, dan bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.
Keempat: Bertakbir kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat Jenazah.
Daripada Umamah bin Sahal RA:
أَنَّهُ أَخْبَرَهُ رَجُلٌ مِنْ أَصْخَابِ النَّبِيِّ أَنَّ السُّنَةَ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الجَنَاَزَةِ أَنْ يُكَبِّرَ الإِمَامُ، ثُمَّ يَقْرَأُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ بَعْدَ التَكْبِيْرَةِ الأُوْلَى سِرًّا فِي نَفْسِهِ ثُمَّ يُصَلِّى عَلَى النَّبِيِّ وَيُخَلِّصَ الدُّعَاءَ لِلْجَنَازَةِ فِي التَكْبِيْرَاتِ وَلاَ يَقْرَأَ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ ثُمَّ يُسَلِّمَ سِرًّا فِي نَفْسِهِ
Maksudnya: “Dia diberitahu oleh seorang lelaki di kalangan sahabat Nabi SAW bahawa solat Jenazah menurut sunnah ialah imam bertakbir, kemudian membaca Fatihah dengan perlahan selepas takbir yang pertama, seterusnya berselawat ke atas Nabi SAW dan mendoakan jenazah semata-mata dalam takbir-takbir tersebut tanpa apa-apa bacaan yang lain. Kemudian mengucap salam dengan pelahan.”
Riwayat al-Nasaie (4/75) dengan sanad yang sahih
Sekurang-kurang doa ialah mengucapkan:
اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه
Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah dia. (Atau) Ya Allah! Ampunilah dia.”
Doa yang paling sempurna ialah doa yang berasaskan daripada Nabi SAW. Mulakan doa ini dengan:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الإِسْلاَمِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الإِيمَانِ
Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah kami yang masih hidup dan yang telah mati, yang bersama-sama kami dan yang tiada bersama-sama kami, yang muda dan yang tua, dan yang lelaki dan yang perempuan. Ya Allah! Sesiapa di kalangan kami yang Engkau teruskan hidupnya, hidupkanlah dia beragama Islam dan sesiapa yang Engkau matikan, matikanlah dia di dalam iman.”
Riwayat al-Tirmizi (1024) dan Abu Daud (3201)
Bagi mayat kanak-kanak, doa yang kedua tersebut diganti dengan doa berikut:
اللّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطاً لِأَبَوَيهِ وَسَلَفًا وَذُخْرًا وَعِظَةً وَاعْتِبـَارًا وَشَفِيعًا، وَثَقِّلْ بِهِ مَوَازِينَهُمَا وَأَفْرِغْ الصَّبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا وَلاَ تَفْتِنْهُمَا بَعْدَهُ وَلاَ تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah dia sebagai laba bagi ibu bapa kandungnya, sebagai pinjaman, sebagai simpanan, pengajaran, iktibar dan pemberi syafaat kepada mereka. Berikanlah timbangan amal mereka kerananya dan limpahkanlah kesabaran ke dalam hati mereka. Jangan menimbulkan fitnah kepada mereka selepas kematiannya dan jangan hilang pahalanya daripada dinikmati oleh mereka.”
Hadith yang paling sahih dalam bab doa ini ialah, daripada Auf bin Malik RA, katanya:
النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ يَقُولُ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melakukan solat jenazah, lalu aku mendengar Baginda berdoa. Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Auf berkata: Aku berharap biarlah aku menjadi mayat itu kerana doa Rasulullah SAW ke atas mayat tersebut.”
Riwayat Muslim (963)
Kelima: Bertakbir kali keempat, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”
Riwayat Abu Daud (3201)
Keenam: Mengucap salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.
Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma, katanya:
Maksudnya: “Terdapat tiga perkara yang Rasulullah SAW biasa lakukan, namun manusia telah meninggalkannya. Salah satu daripadanya ialah: memberi salam kepada jenazah seperti salam dalam solat.”
Riwayat al-Baihaqi (7239) dengan sanad yang hasan
Daripada keterangan yang telah disebutkan, jelas bahawa solat jenazah hanya dengan berdiri tanpa ruku’, sujud dan duduk. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/603)
Solat jenazah pula adalah merupakan fardhu kifayah ke atas setiap muslim yang menghasilkan ganjaran pahala yang besar kepada pelakunya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thauban R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirath. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirath, dan satu qirath itu ganjaranya sebesar bukit Uhud.”
Riwayat Muslim (946)
Para fuqaha al-Syafi’eyyah menyebut bahawa solat jenazah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu. Bahkan kata Imam al-Mawardi: “Solat ke atas mayat, ia tidak terkhusus kepada waktu-waktu yang tertentu. Ia tidak dimakruhkan untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakan ia pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/48)
Jumlah Jemaah untuk Solat Jenazah
Berbalik kepada persoalan di atas, solat jenazah memadai dengan seorang sahaja sebagai fardu kifayah. Meskipun begitu, terdapat kelebihan bagi jenazah yang disolatkan oleh ramai jemaah.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ شَفَّعَهُمُ اللَّهُ فِيهِ
Maksudnya: “Tidak ada seorang lelaki Muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah akan memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).”
Riwayat Muslim (948), Abu Daud (3170), Ahmad (2509) dan Ibn Hibban (3082)
Oleh itu, semakin ramai jumlah orang yang melakukan solat ke atas jenazah seseorang, maka itu lebih baik.
Mengikut al-Sunnah, mereka yang melaksanakan solat jenazah itu disunatkan membuat tiga saf. Ketika orang-orang telah siap melaksanakan solat jenazah, Ibn Abbas R.Anhuma membahagikan mereka kepada tiga saf. Sebab inilah cara yang terbaik. Demikian itulah yang dilakukan oleh Jabir RA dan kebanyakan sahabat lainnya. Jumlah Jemaah yang mengerjakan solat jenazah digalakkan melebihi 40 orang, dan inilah yang terbaik.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa seharusnya jumlah orang yang melaksanakan solat jenazah seramai 120 orang, dan inilah yang lebih afdal. Tetapi al-Sunnah menerangkan bahawa jumlah 40 orang itu adalah yang terbaik. Dan barangkali jumlah di atas 40 orang hanya menunjukkan kepada banyaknya pahala sahaja.
Betapa bahagianya orang yang ketika meninggal dunia disolatkan oleh seramai 40 orang atau lebih, di mana mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, mengikhlaskan doa kepadanya dan dengan demikian semoga Allah memberi syafaat kepada mayat dengan berkat Jemaah.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H