#235: Kain Terkena Sedikit Darah Ketika Solat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Ketika seseorang solat, dia tertampar nyamuk yang sedang menghisap darahnya, lalu darah itu terkena pada kainnya. Apa hukum solatnya? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Antara syarat sah solat adalah pakaian, tempat dan badan mestilah bersih daripada najis. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah Al-Muddathir: 4)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat itu bermaksud jagalah pakaian daripada najis dan kotoran. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 29/210)

Maka, termasuk syarat sah solat bahawa hendaklah suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solatnya. Hal ini juga sepertimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syarbini: “Syarat kelima: Mestilah suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada pakaian dan badan, iaitu pakaian dan badannya walaupun di dalam hidung, mulut, mata atau telinganya. (Mestilah juga suci juga) pada tempat solatnya iaitu tempat yang didirikan solat di atasnya. Tidak sah solat jika terdapat najis pada tempat-tempat tersebut walaupun dalam keadaan seseorang itu tidak mengetahui kewujudannya atau tidak tahu bahawa ia membatalkan solat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/402)

Oleh itu, sekiranya terdapat najis yang tidak dimaafkan pada pakaian atau tempat solat seseorang, maka solatnya tidak sah. Begitu juga sekiranya dia menanggung najis dengan pakaiannya yang menyentuh najis, maka solatnya juga tidak sah. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Syirazi: “Jika sekiranya seseorang memakai pakaian yang bersih dan hujungnya itu terkena dengan najis, contohnya seperti seseorang memakai serban di atas kepala dan hujungnya jatuh ke tanah yang bernajis, maka tidak sah solatnya kerana dia menanggung dengan apa yang bersambung dengan najis tersebut.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, 2/119)

Imam al-Nawawi dalam syarahannya pula menyebut: “Apa yang disebutkan oleh pengarang ini merupakan sesuatu yang disepakati. Ia sama ada hujung yang bersentuhan dengan najis tersebut bergerak dengan berdiri, duduk, rukuk dan sujudnya ataupun tidak bergerak. Inilah mazhab kami yang tiada khilaf padanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/150)

Justeru, solat seseorang itu tidak sah sekiranya terdapat najis pada badan atau tempat solatnya atau menanggung najis pada dirinya.

Berbalik kepada persoalan di atas, telah ijma’ menurut para ulama’ bahawa darah makhluk hidup termasuk manusia adalah najis. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/557)

Antara dalil kenajisan darah ialah hadith yang diriwayatkan oleh Asma binti Abu Bakar R.Anha, bahawa telah datang seorang wanita kepada Nabi SAW dan berkata, “Salah seorang daripada kami terkena darah haid pada pakaiannya, apa patut dia lakukan?” Baginda menjawab:

تَحُتُّهُ ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالْمَاءِ ثُمَّ تَنْضَحُهُ ثُمَّ تُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya: “Kamu kikis dan gosok dengan air lalu siramlah, kemudian kamu boleh solat dengan pakaian itu.”

Riwayat al-Bukhari (307)

Namun timbul persoalan berkenaan darah yang sedikit jika terkena pada seseorang adakah ia membatalkan solat, atau adakah sah suatu pakaian yang terkena darah yang sedikit untuk dilaksanakan solat dengannya?

Menurut Imam al-Nawawi, apabila seseorang itu membunuh nyamuk dan kutu dan darahnya terkena pada pakaian atau melekat pada celah-celah jari, hukumnya adalah najis jika ia dalam jumlah yang banyak. Adapun jika sedikit, maka ia khilaf dalam kalangan ulama’, dan pendapat yang paling sahih adalah ianya dimaafkan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/135)

Menurut al-Khatib Syarbini, antara contoh darah yang dimaafkan dan termasuk di bawah kategori ‘umum al-balwa yang sukar disucikan pula ialah seperti darah nyamuk, lalat, kutu dan lain-lain darah yang tidak mampu dilihat oleh mata. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/90)

Pandangan ini bertepatan dengan prinsip dan kaedah universal syari’at Islam iaitu: Islam merupakan satu agama yang mudah dan memudahkan (taisir wa raf’ul haraj). Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Al-Qurtubi berkata: Wajh ayat ini bersifat umum pada lafaznya di dalam semua perkara yang berkaitan agama. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 1/201)

Firman Allah SWT lagi:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…

(Surah al-Hajj: 78)

Al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh tolak ansur.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275)

Kesimpulannya, darah yang sedikit sama ada darah gigitan nyamuk, pacat atau lain-lain jika terkena pada seorang yang sedang solat, solatnya tidak batal kerana najis yang sedikit termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syara’.

Ketentuan sedikit adalah berdasarkan kepada uruf, dan darah nyamuk termasuk daripada jenis yang sedikit.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H