#585: Makan di Kawasan Kubur

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum makan di kawasan kubur? Ini kerana ada yang mengatakan bahawa tidak boleh makan di kawasan kubur kerana kasihankan arwah yang melihat. Mohon pencerahan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”

( Surah ‘Abasa: 21)

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya. (Lihat aI-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 19/219)

Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya, oleh itu mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami bahagikan kepada beberapa perkara:

Pertama: Definisi Kubur

Kubur bermaksud tempat menanam mayat. Ia dikenali juga sebagai makam. Manakala ahli kubur ialah orang-orang yang sudah meninggal dunia. Sedangkan perkuburan pula ialah kawasan tempat menguburkan mayat atau juga disebut permakaman. (1)

Selain itu, para ulama’ juga ada membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah. Pada asasnya, saiz liang lahad itu hendaklah pada kedalaman yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Manakala, saiz kedalaman yang sempurna ialah sedalam manusia sederhana yang mengangkat kedua-dua tangannya.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani, katanya: “Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 106-107)

Dalam Hasyiah al-Bujairimi menerangkan ‘قامة وبسطة’ dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah. (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/635)

Kedua: Sunat Menziarahi Kubur

Terdapat banyak nas yang menunjukkan supaya kita menziarahi kubur.Daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمْ الْآخِرَةَ

Maksudnya“Ziarahlah kubur kerana ia dapat mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat Ibnu Majah (1558), Imam Ahmad (3/179) dan Sahih al-Jami’ al-Saghir (7829)

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

إِنِّي نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّ فِيهَا عِبْرَةً

Maksudnya“Sesungguhnya aku telah melarang kamu dari menziarahi kubur, tetapi sekarang, ziarahlah kubur kerana sesungguhnya di dalamnya terdapat ‘ibrah dan pengajaran.”

 Riwayat Imam Ahmad (22/466), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/77), al-Hakim dalam al-Mustadrak, (3/414). Beliau menyatakannya Sahih di atas syarat Muslim

Dalam sebuah hadis yang panjang menyebut, daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda antaranya:

زِيَارَةِ الْقُبُورِ ثُمَّ بَدَا لِي أَنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ فَزُورُوهَا وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا

Maksudnya“Menziarahi kubur itu ternyata bagiku dapat melembutkan hati, menitiskan air mata, dan mengingatkan kepada kehidupan akhirat. Maka ziarahlah kubur. Dan janganlah kamu berkata-kata dengan perkataan yang batil/keji.”

Riwayat Ahmad (27/47) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (3/421)

Banyak lagi hadis-hadis dan nas yang menunjukkan galakan untuk kita menziarahi kubur.

Ketiga: Isu Makan di Kubur

Berdasarkan soalan di atas, kami boleh bahagikan kepada tiga perkara:

  1. Makan di kubur

Berdasarkan amalan salafus soleh, kubur bukan tempat makan. Dengan sebab itu, apabila kita menekuni adab-adab ziarah kubur, maka tidak terdapat di sana sebarang anjuran makan tetapi penuh dengan doa serta tertib.

  1. Makan di perkuburan

Maksud kami sebagaimana tradisi orang Melayu, khususnya di kampung, mereka membina bangsal atau wakaf, bukan di atas kubur tetapi pada sejuzuk tanah perkuburan yang belum digunakan lagi untuk berteduh dan berehat di samping berkumpul menunggu saudara mara yang ada kena mengena dengan ziarah kubur. Dalam hal ini, kami berpendapat hukumnya harus dengan syarat meraikan adab-adab kubur sekalipun mereka berhampiran dengan kubur.

Terdapat larangan menyembelih binatang di atas kubur. Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا عَقْرَ فِي الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Tidak ada penyembelihan (binatang di perkuburan) dalam Islam.”

Riwayat Imam Ahmad (13032), Abu Daud (3224),  al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (7320) dan Ibn Hibban (3146)

Syeikh Abd al-Razzaq berkata: “Maksud ‘aqra (عَقْرَ) adalah sembelihan binatang di atas kubur.”

Al-Khattabi dalam Ma’alim al-Sunan berkata: “Biasanya orang-orang jahiliah menyembelih unta di makam lelaki dermawan. Kata mereka: ” Kita membalas kebaikannya, kerana semasa hidupnya dia biasa menyembelihnya dan menyajikan kepada tetamu. Maka sekarang kita sembelih haiwan ini di makamnya untuk menjadi makanan bagi burung-burung dan binatang buas. Dengan demikian dia tetap menyediakan makanan setelah meninggal dunia sebagaimana dia telah menyediakan makanan selama hidupnya.

Justeru, apabila makan di bangsal atau wakaf, maka peliharalah adab kubur yang berhampiran dan makanlah dengan penuh kesopanan. Elakkan daripada melakukan sembelihan di kawasan tersebut dan juga membuat kotor di kawasan tersebut. Pada hakikatnya, kebersihan kubur juga melambangkan kecaknaan dan keprihatinan masyarakat setempat terhadap tanah perkuburan.

  1. Isu kasihankan arwah yang melihat.

Kami berpendapat ucapan seperti ini tidaklah tepat. Ini kerana orang yang hidup berada pada alam yang lain dan orang yang mati berada pada alam barzakh di mana kehidupan barzakhiah berbeza dengan kehidupan di alam dunia ini. Hal ini tanpa kita  menafikan adanya azab dan nikmat kubur.

Kami berpendapat, dalam isu ziarah kubur ini, amat perlu untuk kita meraikan adab-adabnya sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Hal ini sudah tentu akan menjadikan jiwa lebih tenang dan hati lebih tenteram. Semoga kita sentiasa dikurniakan dengan kefahaman yang baik berkenaan dengan agama Islam kita ini.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

 

[1] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. [https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kubur]