#1081 Makan Ikan Bandaraya

Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan: Apakah hukum memakan ikan bandaraya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”[1]

Kaedah Asas dalam Pemakanan

Secara asasnya, asal bagi setiap makanan adalah halal, sehinggalah ada dalil pengharamannya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلالًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…”[2]

Semua haiwan yang hidup di dalam air halal dimakan, sebagaimana firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut (air), dan makanannya.[3]

Nabi SAW juga pernah bersabda:

أُحِلَّتْ ‌لَنا ‌مَيْتَتَانِ ‌وَدَمَانِ، فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ: فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ، وَأَمَّا الدَّمَانِ: فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

Maksudnya: “Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah: Dua jenis bangkai: iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah: iaitu hati dan limpa”[4]

Definisi Haiwan Jallalah

Oleh kerana persoalan yang diajukan ini sangat berkait rapat dengan perbahasan ulama mengenai haiwan jallalah, maka adalah lebih baik jika kami datangkan terlebih dahulu definisi para ulama terhadap haiwan jallalah tersebut. Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor.[5]

Haiwan jallalah juga didefinisikan sebagai haiwan yang makanannya berasal daripada najis sekalipun bukan daripada tahi seperti kambing yang membesar dengan susu daripada anjing atau keldai jinak.[6] Sebahagian ulama yang lain pula menyebut bahawa haiwan jallalah ialah haiwan yang makan tahi dan najis, tidak kira haiwan tersebut adalah unta, lembu, kambing, ayam, angsa atau lain-lain.[7]

Justeru, berdasarkan definisi ini, kita dapat fahami ia juga meliputi ikan-ikan yang membesar di dalam kolam najis, ikan-ikan ternakan yang diberi makan perut ayam dan sebagainya, ayam kampung yang dibiarkan bebas sehingga memakan kotoran serta najis dan lain-lain yang seumpama dengannya dan sebagainya.

Hukum Memakan Haiwan Jallalah

Mengenai perkara ini, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ الْجَلَّالَةِ وَأَلْبَانِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada makan haiwan jallalah — yakni dagingnya — dan susunya.”[8]

Hadith ini jika dilihat secara zahirnya, menunjukkan tegahan Nabi SAW daripada memakan, menunggang dan minum susu haiwan jallalah. Namun demikian, para ulama berbeza pendapat berkenaan makna larangan tersebut adakah ia menunjukkan kepada haram ataupun makruh tanzih. Pada asasnya, mereka berbeza berkenaan hukum memakan dagingnya kepada dua pendapat:

Pendapat pertama: Hukumnya adalah haram bagi kita untuk memakan dagingnya. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, dan juga salah satu pendapat mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan yang terdapat dalam hadith berkenaan menunjukan bahawa ia adalah haram kerana hukum asal sesuatu larangan itu adalah haram selagi mana tiada bukti ia difahami sebagai makruh.

Pendapat kedua: Hukumnya adalah makruh tanzih. Ini merupakan salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, pendapat mazhab Maliki dan Hanafi, serta pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Mereka berhujah bahawa larangan tersebut tidak kembali kepada zatnya, akan tetapi kepada perkara yang mendatang — yakni bukan kekal pada zat — yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram. Selain itu, mereka juga berhujah bahawa apabila haiwan berkenaan memakan najis dalam kuantiti yang banyak telah menyebabkan dagingnya berubah dan berbau busuk. Oleh itu, makruh memakannya sebagaimana makanan yang berbau busuk yang lain.[9]

Kadar Kenajisan dan Tempoh Kuarantin

Para ulama berbeza pendapat pada kadar kuantiti najis yang dimakan bagi membolehkan ia dikategorikan sebagai haiwan jallalah. Sebahagian ulama berpendapat haiwan tersebut dikategorikan sebagai haiwan jallalah jika majoriti makanan yang dimakannya adalah najis, namun sekiranya majoriti makanannya adalah bersih dan bukan najis, ia tidak termasuk dalam kategori haiwan jallalah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula tidak mensyaratkan banyak ataupun sedikit, tetapi dengan terzahirnya bau najis dan busuk atau sekiranya berubah struktur warna, rasa dan bau daging tersebut. Inilah pendapat yang dipegang dan disahihkan oleh Imam al-Nawawi.[10]

Oleh itu, dapat difahami bahawa haiwan yang memakan kotoran tetapi tidak sampai merubah struktur bau, rasa dan warnanya, ia tidak dikategorikan sebagai haiwan jallalah mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Begitulah juga haiwan jallalah yang dikuarantin terlebih dahulu selepas terzahirnya bau najis dan diberi makan makanan yang baik — yakni bukan najis — sehingga hilang bau najis tersebut, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.[11] Tambahan lagi, al-Kasani juga ada menyebutkan bahawa hukum makruh tersebut adalah berkait rapat dengan perubahan daging dan bau busuk. Sekiranya tiada lagi bau busuk itu, hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh.

Para ulama yang berpegang dengan pendapat haram daging haiwan jallalah seperti salah satu riwayat dalam mazhab Hanbali, juga membenarkan memakannya setelah dikuarantin dalam satu tempoh masa dan diberi makan makanan yang baik — bukan najis. Namun, mereka berbeza pada tempoh masa pengkuarantinan tersebut. Ada yang tidak menetapkan tempoh masa, manakala ada yang membezakan tempoh masa berdasarkan kesesuaian haiwan berkenaan seperti bagi kategori burung selama 3 hari, kambing selama 7 hari dan apa yang selain daripada kedua-dua kategori ini selama 40 hari.[12]

Pendapat dalam mazhab Syafi‘i mengenai hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang menyebutkan bahawa jika haiwan jallalah diberi makanan yang bersih, dan dagingnya suci — yakni tidak lagi berbau — maka hukumnya tidak lagi dikira sebagai makruh. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma yang menyatakan bahawa berikan makanan yang bersih kepada haiwan jallalah selama 40 hari jika ia ialah unta, 7 hari jika ia ialah kambing dan 3 hari jika ia ialah ayam.[13]

Manakala terdapat dalam hadith yang lain datang dengan lafaz:

حَتَّى تُعْلَفَ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “…sehingga diberi makan — yakni makanan yang bersih — selama 40 malam.”[14]

Al-Qalyubi menyebutkan dalam hasyiahnya ketika mengulas hadith di atas bahawa 40 malam ini adalah berdasarkan kepada kebiasaannya sebarang perubahan yang mendatang dan tidak kekal akan hilang selepas tempoh tersebut. Hal ini kerana setiap apa yang dimakan akan kekal manfaatnya di dalam badan selama 40 hari. Sekiranya perubahan tersebut hilang sebelum daripada tempoh berkenaan atau dengan tanpa perlu memberi makanan yang bersih, hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Jika perubahan tersebut kembali — yakni kembalinya tanda-tanda haiwan jallalah — maka hukumnya kembali menjadi makruh.[15]

Hukum Makan Ikan Bandaraya /  Suckermouth Catfish

Ikan bandaraya, juga dikenali sebagai Plecostomus atau singkatannya Pleco, ialah sejenis ikan air tawar. Ikan ini mempunyai badan yang rata dan mulut yang disesuaikan untuk menghisap, yang membolehkan ia melekat pada permukaan dan memakan alga dan bahan organik lain. Ikan bandaraya biasanya dipelihara sebagai ikan akuarium, tetapi juga boleh membiak dengan cepat di sungai-sungai. Ia termasuk dalam kategori herbivor dan memakan alga, invertebrata kecil dan bangkai.

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum memakan ikan bandaraya tanpa dikuarantin adalah makruh dan tidak haram kerana kenajisan itu adalah perkara yang mendatang (bukan kekal pada zat), yang mana paling banyak pun, hanya akan mengakibatkan perubahan pada dagingnya. Oleh yang demikian, perkara itu tidak menjadikan hukumnya haram.

Lebih-lebih lagi, ikan bandaran yang dagingnya berubah disebabkan memakan najis atau tinggal dalam air najis boleh kembali kepada asal dengan cara dikuarantikan dan memberinya makanan yang bersih dalam satu tempoh, sebelum memakannya. Maka, ketika ini hukumnya tidak lagi menjadi makruh. Pendapat ini juga adalah selari dengan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i.

Kami juga mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan, sebagai langkah berhati-hati dan keluar daripada khilaf, agar ikan bandaraya tersebut dikuarantin terlebih dahulu sama ada dengan dikurung, diasingkan atau seumpamanya dan diberi makanan yang baik sehingga hilang kesan najis tersebut. Pada asasnya, ‘illah (sebab) bagi kemakruhan dan keharaman memakan haiwan jallalah adalah kerana ia memakan najis dan kotoran sehingga memberi kesan kepada dirinya. Justeru, jika ‘illah itu hilang, maka hilanglah larangan daripada memakan ikan bandaran tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya: “Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Manakala bagi tempoh pengkuarantinan pula, kami nyatakan bahawa tiada tempoh tertentu bagi proses pengkuarantinan dan tempoh memberinya makanan yang bersih. Akan tetapi ia berdasarkan kepada adat setempat dan sangkaan yang kuat bahawa perubahan pada daging tersebut dan baunya yang busuk itu telah hilang.

Dalam masa yang sama, nasihat pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim juga perlu diambil kira bagi memastikan ia selamat dimakan, tidak berbahaya atau beracun. Ini bagi mengelakkan sebarang mudarat pada diri. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. 

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 14 Februari 2023 bersamaan 23 Rejab 1444H

____________________

[1] Surah al-A’raf: 32

[2] Surah Al-Baqarah: 168

[3] Surah Al-Maidah: 96

[4] Riwayat Ahmad, no. 5690 & Ibn Majah, no. 3314.

[5] Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336.

[6] Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 15/260.

[7] Lihat Raudah al-Talibin, 3/278; Nail al-Autar, 8/139-140; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558.

[8] Riwayat al-Tirmizi, no. 1824.

[9] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/559; Badai‘ al-Sanai‘, 5/39-40; Bidayah al-Mujtahid, 3/18), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2597-2598; al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 50.

[10] Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/447; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/558; Mughni al-Muhtaj, 6/155; Fath al-Wahhab, 2/237; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28.

[11] Lihat Raudhah al-Talibin, 3/278; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/29.

[12] Lihat al-At‘imah oleh Dr. Soleh Fauzan, hlm. 51

[13] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/28.

[14] Riwayat al-Hakim (2269); al-Daraqutni (4753) dan Imam al-Hakim menyatakan dalam al-Mustadrak bahawa hadith ini sanadnya adalah sahih.

[15] Lihat Hasyiah Qalyubi, 4/262.