SOALAN
Apakah sah solat jika membaca “ولا الضالين” dengan ditebalkan bunyinya mirip ظ di dalam surah al-Fatihah?
JAWAPAN
Saya cenderung kepada tidak sah solat seseorang yang menukar sebutan huruf di dalam bacaan jika ia dilakukan dalam keadaan sengaja dan begitu juga tidak boleh berimamkan seseorang yang membaca al-Quran seperti ini melainkan dia tidak mampu lagi untuk memperbetulkan bacaannya di atas sebab-sebab tertentu yang tidak boleh dielakkan setelah dia berusaha memperbaikinya.
Menurut Imam al-Nawawi, terdapat dua pandangan ulama’ dalam hal ini. Pendapat pertama adalah tidak sah. Ia dipegang oleh Imam al-Haramain, Imam al-Ghazali di dalam al-Basit dan juga Imam al-Rafi’i al-Qadhi Abu al-Tib, Syeikh Abu Hamid [al-Isfarayini] dan lain-lain. Pendapat kedua adalah sah disebabkan sukar orang awam atau yang seumpamanya untuk melafazkan makhraj huruf itu dengan baik. (Lihat al-Majmū’ Syarḥ al-Muhazzab, 3/392-393).
Pandangan yang sama juga dikongsikan Syeikh ‘Atiyyah Saqar dalam fatwanya.
“Sebutan yang sahih bagi huruf ḍa’ (ض) adalah tidak sama dengan sebutan yang sahih bagi huruf ẓa’ (ظ) walaupun kedua huruf ini berdekatan daripada kebanyakan sifatnya melainkan ḍa’ ini berbeza dengan ẓa’ dari sudut makhraj dan sifat istitalahnya (memanjang). Adapun hukum menukar sesuatu huruf dengan huruf yang lain di dalam al-Quran ketika solat, telah berkata para ulama’: Jika ia dilakukan secara sengaja dalam keadaan dia mengetahui perbezaan di antara kedua huruf tersebut maka hukumnya adalah haram. Bahkan, sebahagian ulama’ mengatakan hukumnya adalah kufur (terkeluar daripada Islam) kerana merubah al-Quran al-Karim. Dengan itu, solatnya adalah tidak sah dan begitu juga berimamkannya. Tambahan pula, jika ia dilakukan dalam keadaan tidak sengaja (jahil), maka wajib ke atasnya untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam memahami (mempelajari) cara menyebut huruf yang sahih. Jika dia tidak melakukannya (menyebutnya dengan sahih) dalam keadaan dia mampu maka solatnya adalah batal dan begitu juga berimamkannya. Adapun, jika dia tidak mampu atau tidak boleh memperbetulkan sebutannya maka sah solat dan juga berimamkannya sebagaimana yang dinyatakan oleh jumhur fuqaha’.” (Lihat Fatāwā al-Azhar, 7/480)
Sebaiknya cuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan setiap kalimah yang dibaca di dalam al-Quran dengan cara berguru. Wallahu a’lam.