#213: Makmum Sengaja Lewat Daripada Imam

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seorang makmum sujud terlalu lama ketika sujud yang terakhir, sedangkan imam sudah pun beralih kepada posisi tahiyat akhir. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Perkataan imam bermaksud seseorang yang diikuti oleh orang lain, seperti imam ketika solat, sebagai seorang khalifah, atau panglima tentera. (Lihat Mu’jam al-Wasit, hlm. 27)

Perkataan imam itu sendiri memberi maksud di hadapan yang dirujuk serta diikuti sedangkan pengikutnya pula dikenali sebagai makmum.

Pada asasnya, makmum wajib untuk mengikut imam di dalam setiap pergerakan ketika solat berjemaah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ

Maksudnya: “Imam (di dalam solat) itu dijadikan untuk diikuti. Jangan kalian bercanggahan dengan imam. Apabila dia rukuk maka rukuklah. Apabila dia menyebut سمع الله لمن حمده (Allah Maha Mendengar sesiapa yang memuji-Nya) maka katakanlah ربنا لك الحمد (Tuhan kami bagi Engkau segala pujian). Apabila dia sujud maka bersujudlah. Apabila dia solat secara duduk maka solatlah kalian semua secara duduk.”

Riwayat al-Bukhari (722) dan Muslim (962)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebut bahawa makmum wajib untuk mengikut imam ketika takbir, qiyam,rukuk, sujud dan lain-lain. Makmum perlu mengangkat takbir sejurus selepas imam melakukannya. Jika makmum melakukan apa-apa pergerakan solat sebelum imam selesai maka tidak sah solatnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/131)

Dalam hadis yang lain, Anas R.A berkata:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي إِمَامُكُمْ، فَلَا تَسْبِقُونِي بِالرُّكُوعِ وَلَا بِالسُّجُودِ، وَلَا بِالْقِيَامِ ‌وَلَا ‌بِالِانْصِرَافِ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ أَمَامِي وَمِنْ خَلْفِي

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengimami kami dalam solat pada satu hari. Apabila Baginda selesai, Baginda menghadapkan wajah Baginda kepada kami lalu Baginda bersabda: Wahai manusia! sesungguhnya saya ini imam kalian. Maka, janganlah kalian mendahului saya dengan rukuk mahupun sujud. Tidak juga dengan qiyam mahupun salam. Sesungguhnya saya melihat kalian yang berada di hadapan saya dan juga dari bahagian belakang.”

Riwayat Muslim (426)

Berdasarkan hadis ini, para ulama menyimpulkan bahawa syarat sah solat berjemaah adalah mengikut setiap pergerakan imam. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi: “Wajib mengikuti imam dalam pergerakan solat iaitu dia mula lambat sedikit daripada imam kemudian setelah selesai imam melakukan perbuatannya baru dia mula.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hlm. 42)

Dalam hadis Abu Hurairah RA diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا جَمِيعًا: اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَلَا تَسْجُدُوا قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَلَا تَرْفَعُوا رُءُوسَكُمْ قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, maka apabila imam bertakbir lalu hendaklah kalian bertakbir, jika dia rukuk hendaklah kalian rukuk, jika dia mengkat kepala (i`tidal) maka hendaklah kalian mengangkat kepala. Jika disebut: Sami`allahu liman hamidah, maka hendaklah kalian sebut beramai-ramai: Allahumma rabbana wa lakal hamdu. Jika dia sujud, hendaklah kalian sujud, jangan kalian sujud sebelum dia sujud, dan jika dia mengangkat kepalanya barulah kalian mengangkat kepala dan jangan mengangkat kepala sebelum imam mengangkat kepala.

Riwayat al-Baihaqi (2594) dalam Sunan al-Kubra

Justeru, apabila seseorang menjadi makmum di belakang seorang imam, maka dia hendaklah mengikut perbuatan imam tersebut berdasarkan nas-nas yang telah disebutkan.

Dalam isu di atas, perbuatan tersebut adalah makruh. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam berdasarkan hadis yang panjang iaitu hadis al-Musi’ fi al-Solat, sabda Rasulullah SAW:

إنما جُعِلَ الإمام ليُؤتمَّ به، فإذا كبَّر فكبِّروا، وإذا رَكَعَ فاركعوا

Makdudnya: “Sesungguhnya imam dijadikan untuk diikuti dengannya, maka apabila imam bertakbir maka hendaklah kamu semua bertakbir dan apabila ia ruku’ maka hendaklah kamu ruku’.”

Riwayat al-Bukhari (378) Muslim (411) dan al-Tirmizi (361)

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Maknanya di sisi al-Syafie dan sekumpulan ulama ialah (mengikut) pada perbuatan-perbuatan solat yang zahir.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/134)

Kami nukilkan juga di sini petikan daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Makmum hendaklah mengikut perpindahan imamnya dalam semua rukun fi’li. Perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam tetapi sebelum selesai perbuatan imam tersebut. Adalah makruh bagi makmum terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun yang panjang. Contohnya, imam telah rukuk dan i’tidal kemudian sujud dan bangun sedangkan makmum masih lagi berdiri tanpa sebab yang dimaafkan.

Tetapi jika dia ketinggalan disebabkan sesuatu yang dimaafkan seperti lambat bacaannya, dia dibolehkan terkemudian daripada imam sehingga 3 rukun. Walau bagaimanapun, jika masih tidak memadai untuk mengikut imam selanjutnya, dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan mengikut imam. Kemudian dia hendaklah menyambung perbuatannya semula yang tertinggal selepas imam mengucap salam.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/463)

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H