Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum membaca al-Quran ketika di dalam sujud? Saya pernah terbaca bahawa kita tidak boleh membaca al-Quran semasa dalam sujud. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Sujud
Sujud dari segi bahasa ialah cenderung atau merendah diri. Manakala dari segi istilah pula ialah suatu perbuatan mengenakan sebahagian dahinya pada tempat sujud. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 1/509)
Pengertian sujud pada syara’ ialah dahi orang yang bersolat bersentuhan secara langsung dengan dengan tempat sujudnya.
Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-Haj: 77)
Dalam sebuah hadith riwayat al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah dan Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta Nabi SAW untuk mengajarnya solat. Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadith tersebut:
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”
Riwayat al-Bukhari (6667)
Begitu juga telah berlaku ijmak dalam kalangan muslimin dari kalangan salaf dan khalaf dan tidak ada siapa pun yang mengingkarinya.
Bacaan Ketika Sujud dan Hukumnya
Pada asasnya, di dalam mazhab Syafie, hukum membaca zikir semasa rukuk dan sujud adalah sunat hai’ah. Hukum meninggalkan sunat hai’ah tidaklah berdosa dan tidaklah menyebabkan seseorang itu perlu menampungnya dengan sujud sahwi, seperti halnya pada meninggalkan sunat ab`adh. Justeru, solat seseorang yang meninggalkan zikir ketika rukuk dan sujud tidak membatalkan solat. Ia juga bukan perkara rukun atau fardu yang menyebabkan solat seseorang itu tidak sah jika ditinggalkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/154-155)
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Mas’ud RA:
إِذَا رَكَعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَدْنَاهُ وَإِذَا سَجَدَ فَلْيَقُلْ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ثَلاَثًا وَذَلِكَ أَدْنَاهُ
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu rukuk maka ucapkanlah tiga kali ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ’ dan itulah sekurang-kurang ucapannya. Jika dia sujud maka ucaplah ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى’ sebanyak tiga kali dan itulah sekurang-kurang ucapannya.”
Riwayat Abu Daud (886)
Imam al-Nawawi berkata: “Makna daripada ‘وَذَلِكَ أَدْنَاهُ’ ialah sekurang-kurang ucapan pada nisbah itu adalah kamal al-fard (perkara kesempurnaan rukun) dan ikhtiyar (perkara sunat yang utama dilaksanakan) bukan kesempurnaan rukun semata-mata.”
“Semua itu (bacaan zikir semasa rukuk, sujud, i`tidal, dan takbir perpindahan) ialah sunat dan bukan wajib sekalipun seseorang meninggalkannya maka tidak berdosa dan solatnya sahih, sama ada ditinggalkan kerana sengaja atau lupa, tetapi makruh meninggalkannya secara sengaja. Itulah mazhab kami, dan pendapat malik, Abu Hanifah dan majoriti ulama.”
“Berkata Ahmad: Tasbih dalam rukuk, sujud dan ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْد”, bacaan antara dua sujud dan sekalian takbir adalah wajib, jika dia meninggalkan satu daripadanya secara sengaja maka batal solatnya, jika lupa maka tidak batal dan sujud sahwi untuk menggantikannya.” ( Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/411-414)
Imam al-Imrani pula berkata: “Dan tidak wajib bertasbih dalam rukuk dan sujud, inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu. Sebahagian ahli zahir berkata: “hukum bertasbih dalam kedua-duanya adalah wajib.” (Lihat al-Bayan fi al-Fiqh al-Syafie, 2/211)
Berkata al-Imrani, hujah mazhab al-Syafie ialah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Hajj:77)
Menurut beliau, ayat di atas tidak menyebut tasbih yang akan merosakkan solat tanpanya, dan Nabi SAW tidak menyuruh bertasbih dalam kedua-duanya.
Berlainan halnya dalam mazhab Hanbali. Di sisi mereka, membaca tasbih semasa rukuk dan sujud adalah perkara yang wajib, tetapi bukan rukun atau fardu. Menurut istilah mereka, perkara wajib dalam solat ialah perkara yang jika ditinggalkan secara sengaja akan membatalkan solat, tetapi jika ditinggalkan kerana lupa atau jahil, maka diwajibkan untuk ditampung dengan sujud sahwi. (Lihat Kasysyaf al-Qina’ oleh Imam al-Buhuti, 1/390)
Berdasarkan fakta keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum bertasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat di sisi mazhab Syafie, dan tidak wajib, tetapi makruh jika ditinggalkan secara sengaja. Manakala dalam mazhab Hanbali, hukumnya adalah wajib, tetapi bukan rukun. Justeru, sekiranya seseorang meninggalkannya kerana sengaja maka batal solatnya, adapun jika kerana terlupa maka tidak membatalkan solat dan hendaklah sujud sahwi.
Hukum Membaca al-Quran Ketika di dalam Sujud
Berkenaan isu membaca ayat Al-Quran di dalam sujud, terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada larangan ke atas perbuatan tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :
إِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membaca Al-Quran dalam keadaan rukuk dan juga sujud. Adapun rukuk maka perbesarkanlah Tuhan padanya. Dan adapun sujud maka bersungguhlah kamu dalam berdoa (padanya).”
Riwayat Muslim (439)
Hadis di atas menjelaskan tentang perintah Nabi SAW untuk mengkhususkan sujud dengan bacaan-bacaan doa sahaja. Manakala bacaan Al-Quran hanyalah dilakukan dalam keadaan qiyam sahaja semasa solat.
Imam al-Nawawi dalam menjelaskan keadaan-keadaan yang dimakruhkan padanya untuk dibaca Al-Quran menyebut :
فَتُكرَهُ القِرَاءَةُ فِي حَالَةِ الرُّكُوعِ والسُّجُودِ والتَّشَهُّدِ وغَيرِهَا مِن أحْوَالِ الصَّلَاة سِوى القِيَام
Maksudnya: “Dimakruhkan untuk membaca (Al-Quran) di dalam keadaan ruku’, sujud, tasyahhud, dan keadaan-keadaan solat selainnya melainkan (dalam) keadaan qiyam (berdiri) sahaja.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 117)
Para ulama membahaskan dengan panjang lebar tentang hikmah larangan membaca al-Quran di dalam sujud. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azhim Abaadi bahawa Ibn Al-Malik menyatakan :
لأَنَّ أَفْضَل أَرْكَان الصَّلاة الْقِيَام وَأَفْضَل الأَذْكَار الْقُرْآن , فَجَعَلَ الأَفْضَلَ لِلأَفْضَلِ وَنَهَى عَنْ جَعْلِه فِي غَيْرِه لِئَلَّا يُوهِم اِسْتِوَائِهِ مَعَ بَقِيَّةِ الأَذْكَار
Maksudnya: Ini kerana, seafdhal-afdhal rukun solat adalah al-qiyam (berdiri tegak) dan seafdhal-afdhal zikir adalah bacaan Al-Quran. Maka dijadikan yang afdhal (Al-Qiyam) untuk yang afdhal (pembacaan Al-Quran semasa qiyam). Dan baginda SAW melarang dari menjadikan pembacaannya di tempat selainnya (qiyam) supaya tidak menimbulkan waham (keraguan) bahawa ianya (bacaan Al-Quran) setaraf dengan baki-baki zikir yang lain. ( Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, 3/91)
Bacaan Ayat al-Quran yang Bersifat Doa di dalam Sujud
Meskipun begitu, sekiranya dibaca ayat-ayat al-Quran yang bersifat doa di dalam sujud dengan niat doa dan bukan dengan niat membaca al-Quran, maka perbuatan ini adalah dibolehkan. Ini kerana, keadaan ini hampir sama dengan larangan membaca al-Quran ke atas mereka yang dalam keadaan berjunub dan juga wanita haid. Kata Imam al-Nawawi :
وأما الجنب والحائض فإنه يحرم عليهما قراءة القرآن سواء كان آية أو أقل منها
Maksudnya: “Adapun seseorang yang berjunub dan juga wanita haid maka diharamkan ke atas mereka berdua untuk membaca Al-Quran, sama ada satu ayat atau lebih kurang darinya.”
Namun dikecualikan larangan ini bagi mereka yang membaca ayat-ayat Al-Quran itu dengan niat zikir semasa dalam keadaan berjunub. Imam Al-Nawawi menukilkan kata-kata Imam Al-Haramain Abd Al-Malik Al-Juwaini yang menyebut:
فَإذَا قَالَ الجُنُبُ بسم الله والحمد لله فَإنْ قَصَدَ القُرآنَ عَصَى وَإنْ قَصَدَ الذِّكْرَ أوْ لَمْ يَقصدْ شيئًا لَمْ يَأثَم
Maksudnya: Apabila seseorang yang berjunub itu membaca ‘Bismillah’ dan ‘Alhamdulillah’, sekiranya dia memaksudkan dengannya (bacaan ayat tersebut) untuk membaca Al-Quran, maka dia telah berdosa. Sekiranya dia memaksudkan (bacaan tersebut) semata-mata dengan niat zikir atau tidak memaksudkan apa-apa, maka dia tidak berdosa. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh Imam al-Nawawi, hlm. 74)
Justeru, dapat kita kaitkan juga dengan perbuatan seseorang yang membaca Al-Quran ketika sujud dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang berbentuk doa, maka hal ini adalah dibenarkan sekiranya dia membacanya dengan niat doa. Ini seperti bacaan doa yang diambil dari al-Quran :
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab api neraka.”
(Surah al-Baqarah (201))
Demikian juga boleh untuk membaca di dalam sujud dengan ayat-ayat Al-Quran yang disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai doa seperti kata-kata Nabi Yunus A.S yang disebutkan di dalam Al-Quran :
لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: Tidak ada Tuhan selain-Mu, maha suci-Mu ya Allah sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan orang yang menzalimi (diri sendiri).
(Surah al-Anbiya’ (87))
Merujuk kepada nas syarak, ayat di atas ini jelas disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai doa berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqash R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ . فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلاَّ اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: Doa zun nun (Nabi Yunus) ketika dia berdoa dalam keadaan dia berada di dalam perut ikan (dengan sebutan) Tidak ada Tuhan selain-Mu, maha suci Mu ya Allah sesungguhnya aku tergolong dalam kalangan orang yang menzalimi (diri sendiri). Sesungguhnya tidak ada seorang lelaki pun yang berdoa dengan doa ini melainkan doanya akan dimustajabkan.
Riwayat al-Tirmizi (3505)
Demikian juga kami menyatakan bahawa dibolehkan juga membaca firman Allah SWT yang berikut di dalam sujud dengan niat doa, iaitu :
وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللَّهِ
Maksudnya: “Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah.”
(Surah Ghafir (44)
Ini adalah ungkapan yang diucapkan oleh seorang lelaki mukmin yang merupakan pengikut kepada Nabi Musa A.S. Meskipun ucapan sebegini dan juga ucapan Nabi Yunus A.S sebelumnya tidak disertakan dengan unsur طلب (permintaan), namun ia tetap boleh dibaca sebagai doa kerana sifat doa tidak semestinya disertakan dengan unsur permintaan. Ini kerana, perkataan doa di dalam Al-Quran Al-Karim membawa kepada beberapa maksud yang berikut :
- Seruan. Seperti yang ditunjukkan dalam Surah Aali Imran ayat ke- 61.
- Permintaan. Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Faathir ayat ke- 18.
- Ibadah. Kalimah doa juga membawa maksud ibadah seperti yang ditunjukkan dalam Surah Al-Kahf ayat ke- 14.
- Permintaan bantuan. Seperti firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat ke- 23.
- Juga membawa erti penisbahan. Seperti yang dimaksudkan dengan kalimah doa dalam ayat ke- 5 Surah Al-Ahzab.
- Doa juga membawa erti ajakan atau gesaan ke arah sesuatu. Seperti yang dimaksudkan dengan ayat ke- 5 dari Surah Nuh.
Bahkan Imam Al-Mawardi dalam kitab tafsirnya al-Nukat wa al-‘Uyun (5/158) berkata dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini : Makna ucapannya ini ada tiga bentuk:
- Aku menyerahkan urusanku kepada Allah.
- Aku bersaksi kepada Allah ke atas diri kamu.
- Aku bertawakkal kepada Allah.
Justeru, sekiranya dimaksudkan penyerahan diri yang menyeluruh kepada Allah seperti bertawakkal ini, maka ia sama sahaja dengan sifat doa keluar rumah seperti yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Apabila seseorang lelaki itu keluar dari rumahnya maka hendaklah dia membaca: Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.”
Riwayat Abu Daud (5095)
Kami juga menambah bahawa dibolehkan untuk membaca ayat berikut di dalam sujud juga dengan niat doa dengan hujahan yang sama seperti ayat ke- 44 Surah Ghafir di atas, iaitu firman Allah SWT:
حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Maksudnya: “Cukuplah buat kami ini Allah dan Dia lah sebaik-baik pelindung.”
(Surah Ali Imran: 173)
Kerana ayat ini juga disifatkan sebagai doa yang dibacakan oleh Nabi Ibrahim A.S saat baginda dicampakkan ke dalam api. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata :
قَالَهَا إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ حِينَ أُلْقِيَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Ayat ini disebutkan oleh Ibrahim A.S ketika mana dia dicampakkan ke dalam api.”
Riwayat al-Bukhari (86)
Penutup
Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum membaca ayat-ayat al-Quran di dalam sujud dengan niat bacaan al-Quran adalah makruh. Ini berdasarkan hujahan nas yang telah kami kemukakan di atas, di samping kami menyatakan bahawa Al-Quran adalah kalamullah yang mulia, justeru antara adabnya adalah kita tidak membacanya dalam keadaan paling rendah seseorang itu di dalam solat iaitu ketika sujud.
Selain itu, terdapatnya anjuran untuk bersungguh dalam berdoa di dalam sujud, manakala bacaan Al-Quran selain dengan niat doa di dalam sujud akan menafikan anjuran dan tuntutan tersebut.
Meskipun begitu, sekiranya seseorang dalam usaha bersungguh dalam berdoa semasa sujud itu membaca ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai sifat-sifat doa dengan niat berdoa, maka hal ini adalah dibolehkan di sisi syarak.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H