#588: Memasang Audio al-Quran di Ladang Ternakan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum memperdengarkan bacaan al-Quran kepada binatang seperti yang dibuat oleh sesetengah penternak lembu yang memasang al-Quran di ladang-ladang lembu? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Al-Quran merupakan Kalam Allah SWT yang benar dan merupakan petunjuk kepada seluruh manusia. Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya bertadabbur dengan ayat al-Quran supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran kepada setiap makhluk. Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sad: 29)

Ibnu Kathir menyebut bahawa al-Quran merupakan petunjuk bagi setiap perkara yang benar dan sahih dan di ambil pengajarannya daripada akal pemikiran jelas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/63)

Definisi al-Quran dan dan Kemuliaannya

Menurut al-Qamus al-Muhit, (1/49) al-Quran dari sudut bahasa bermaksud al-Tanzil (التَّنْزيل) iaitu yang diturunkan. Menurut al-Mu’jam al-Wasit, al-Quran adalah kata terbitan daripada al-Qiraah (القراءة), iaitu bacaan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧)‏ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu, dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu.”

(Surah al-Qiyamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qira’atuh (bacaannya/cara membacanya). (Lihat al-Mu’jam al-Wasit, 2/722)

Firman Allah SWT:

وَقُرْآنَ الْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya: “Dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’: 78)

Dikatakan juga bahawa al-Quran adalah majaz (kiasan) bagi solat, sebab itu ditafsirkan firman Allah SWT di atas dengan solat Fajr, dan dinamakan al-Quran kerana ianya adalah rukun sebagaimana dinamakan ruku’ dan sujud. Dikatakan juga sesungguhnya kalimah al-Quran digunakan dengan makna yang hakiki (sebenar). (Lihat Mu’jam Alfaz al-Quran al-Karim, 2/197-198)

Dari sudut Istilah, al-Quran adalah kalam Tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Makna al-Quran yang disepakati oleh Ulama’ Usul, fuqaha’ dan Ulama’ Bahasa – Al-Quran adalah Kalam yang mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada mashaf yang dipindahkan secara mutawattir dan membacanya adalah Ibadah. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 21)

Adab dalam Mendengar al-Quran

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa, ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW melakukan solat. Hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA menyatakan athar daripada Said RA menyebut: ketika golongan musyrikin datang seketika mana Rasulullah SAW mengerjakan solat, lalu mereka bersembang sesama mereka dan tidak mendengari bacaan al-Quran dengan percakapan yang lagha bertujuan mengganggu Baginda SAW dalam mengerjakan solat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/353-354)

Imam al-Nawawi menyebut, perlu ditekankan dalam perkara menghormati dan memuliakan al-Quran ke atas semua perkara. Dalam perkara ini terdapat sebahagian daripada manusia yang lalai mengambil mudah dalam membaca al-Quran. Maka daripada perkara ini, adalah untuk menjauhkan daripada perbuatan bergelak ketawa, berbisik serta bersembang ketika bacaan al-Quran didengarkan melainkan bercakap di dalam perkara yang tidak dapat dielakkan. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamilah al-Quran, hlm. 92)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan, dan dalam perkara tidak mendengar bacaan al-Quran dan tidak diam di dalam majlis yang ada bacaan al-Quran maka makruh yang bersangatan hukumnya. Dan ke atas golongan Mukmin diperintahkan untuk menjaga dalam mendengari bacaan al-Quran seperti menjaga adabnya ketika membacanya. (Lihat al-Tafsir al-Munir , 9/229-230)

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut, mendengar al-Quran dan memahaminya merupakan adab yang digalakkan. Dan makruh berkata-kata di dalam majlis membaca al-Quran. Syeikh Abu Muhammad bin Abd al-Salam menyatakan, tidak mengapa bercakap sekiranya ada tuntutan maslahah. Selain itu, mendengar bacaan al-Quran adalah wajib sekiranya tidak ada keuzuran yang disyara’kan. Dan di antara keuzuran meninggalkan mendengar bacaan al-Quran kerana sibuk dalam bekerja seperti di pasar bertujuan untuk mencari rezeki dan di rumah dalam melakukan pekerjaan menguruskan urusan rumah tangga seperti memasak dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/37; 4/86)

Hukum Memperdengarkan al-Quran kepada Binatang Ternakan

Secara umumnya, tiada masalah dibacakan al-Quran dengan niat untuk perlindungan daripada penyakit ‘ain dan hasad berdasarkan dalil yang umum menyuruh merawat dengan al-Quran. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مِنْ أَخِيهِ أَوْ مِنْ نَفْسِهِ أَوْ مِنْ مَالِهِ مَا يُعْجِبُهُ فَلْيُبَرِّكْهُ فَإِنَّ الْعَيْنَ حَقٌّ

Maksudnya“Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari saudaranya, pada dirinya atau pada hartanya, maka doakan keberkatan padanya, kerana sesungguhnya penyakit ain itu haq (benar).”

Riwayat Imam Ahmad (15790)

Dalil tersebut adalah umum dan tidak membezakan di antara manusia dan selain daripadanya.

Berdasarkan persoalan di atas, maka dibolehkan membaca ayat-ayat al-Quran sama ada kepada orang atau tempat dan juga binatang. Kami nukilkan di sini apa yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi terhadap haiwan yang liar supaya dibaca pada telinga binatang tersebut:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّـهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.”

( Surah Ali-Imran: 83)

Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis dengan sanad yang da’if yang dikeluarkan oleh Imam al-Tabarani. (Lihat kitab Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah, hlm. 75)

Begitu juga bila mana Allah SWT menyebut berkenaan dengan gunung-ganang jika diturunkan al-Quran. Firman Allah SWT:

لَوْ أَنزَلْنَا هَـٰذَا الْقُرْآنَ عَلَىٰ جَبَلٍ لَّرَأَيْتَهُ خَاشِعًا مُّتَصَدِّعًا مِّنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”

( Surah al-Hasyr: 21)

Kalaulah Kami ciptakan bukit atau gunung-ganang berakal dan dapat membezakannya sebagaimana Kami ciptakan manusia dan Kami turunkan al-Quran dengan segala bentuk janji dan ancaman, nescaya gunung tersebut akan khusyu’, tunduk dan pecah kerana takutkan Allah dan merasa gerun kepada-Nya. Inilah gambaran keagungan Qudrat Allah dan kekuatan kesan-Nya yang bahawa jika ditujukan ucapan-Nya kepada gunung dan mempunyai kekuatan dan pasak bumi, nescaya kamu tengok keadaannya hina dek kerana takutkan Allah. Dikehendaki di sini bahawa ia mencela manusia kerana tidak khusyu’ dan mengambil pengajaran ketika membaca al-Quran. (Lihat Hasyiah Zadah ‘ala al-Baidhawi3/479)

Dalam al-Bahr menyebut tujuannya adalah untuk mencela manusia kerana kerasnya hati dan tidak terkesan sedangkan kalau diturunkan al-Quran atas gunung nescaya ia khusyu’ dan pecah. (Lihat Tafsir al-Muhit, 8/251)

Walaupun begitu, al-Quran diturunkan untuk manusia sebagai petunjuk dan keterangan-keterangan petunjuk seperti dinaskan. Begitu juga al-Quran menjadi penawar kepada manusia termasuk ianya hendaklah dihukumkan kepadanya kerana ia adalah kitab panduan Ilahi untuk manusia sejagat.

Berkenaan dengan isu dipasang kaset al-Quran atau CD al-Quran di ladang-ladang lembu atau ayam, maka pembetulan nawaitu adalah penting. Antaranya supaya petani atau penternak dalam apa jua keadaan kerja pun sentiasa mengingati Allah dan ayat-ayat Allah.

Memasang ayat tersebut bukan bertujuan kepada ayam, itik, kambing, biri-biri atau lembu semata-mata, tetapi biarlah tuan ayam, itik dan lembu itulah yang banyak memberi manfaat dan mengambil hidayah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H