#624: Mencegah Kemungkaran

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan kepada kami berkenaan hadis tentang mencegah kemungkaran yang biasa kita dengar, iaitu cegahlah kemungkaran dengan tangan, jika tidak mampu, dengan lisan, dan jika tidak mampu, dengan hati. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Abu Sa’id al-Khudri R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514)

Hadis ini merupakan perintah utama dalam agama Islam iaitu menyuruh berbuat perkara makruf dan melarang berbuat perkara mungkar. Ia adalah perkara penting kerana dengan perintah inilah Allah SWT mengutuskan para Rasul dan Nabi. Sekiranya Allah tidak melakukannya atau membiarkannya, pasti terputuslah perutusan agama Islam di muka bumi ini. Agama akan lenyap jika tiadanya penyeruan kepada kebaikan dan pencegahan daripada kemungkaran.

Imam Ibn Qudamah berkata: “Ketahuilah bahawa amar makruf adalah perkara yang paling agung dalam agama. Ia merupakan tugas penting yang kerananya Allah mengutus para Nabi. Andaikan tugas ini ditiadakan, maka akan muncul kerosakan di mana-mana dan dunia akan hancur. (Lihat Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, hlm. 156)

Imam al-Nawawi dalam syarahnya ke atas hadis ini berkata: Adapun sifat larangan kepada perkara mungkar dan peringkat-peringkatnya, garis panduannya adalah ucapan Nabi (hadis di atas). Maka ke atas seseorang untuk mengubah kemungkaran dengan setiap bentuk yang dia mampu. Tidak cukup sekadar memberi peringatan bagi sesiapa yang mampu mengubah dengan tangannya. Tidak boleh juga berpada dengan membenci dari hati bagi sesiapa yang mampu menghalang dengan lisan.

Kata al-Imam al-Nawawi lagi: Tidak boleh bagi mereka yang melakukan amar makruf dan nahi munkar mencari-cari  serta melakukan tajassus dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya.

Kata al-Imam al-Mawardi: Sekiranya berat ke atas sangkaan orang yang melakukan hisbah (muhtasib) akan rahsia golongan yang melakukan kemungkaran dengan tanda-tanda dan kesan-kesan yang jelas, seperti dua contoh berikut: Pada perbuatan mungkar itu pencerobohan ke atas kehormatan seseorang yang kita terlepas pandang. Seperti seseorang diberitahu oleh seorang lelaki yang dipercayai dengan kebenarannya bahawa terdapat seorang lelaki yang sedang berkhalwat dengan lelaki lain untuk dia membunuhnya atau dia berkhalwat dengan seorang perempuan untuk dia berzina dengannya. Maka diharuskan untuk bertajassus dan berusaha mendedahkan serta mengingkari maksiat tersebut. Keduanya: Apa yang lebih kurang dari kedudukan ini, maka tidak boleh padanya untuk melakukan tajassus. (Lihat Raudhah al-Talibin, 10/220)

Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abu al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 20/2)

Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, hadis di atas menunjukkan kewajipan mengingkari itu bergantung kepada penglihatan. Kewajipan itu mempunyai tiga martabat berdasarkan kemampuan iaitu bermula dengan kuasa, seterusnya lidah dan akhirnya dengan hati. Kewajipan mencegah dengan hati tidak mungkin terlepas daripada diri setiap Muslim. Rasulullah SAW bersabda:

‌إِذَا ‌عُمِلَتِ ‌الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا كَمَنْ غَابَ عَنْهَا، وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا، كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا

Maksudnya: “Apabila dilakukan satu kesalahan di atas muka bumi, sesiapa yang menyaksikannya lalu membencinya adalah seperti orang yang tidak berhadapan dengannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya (tidak berhadapan dengan maksiat), lalu dia reda dengan maksiat itu, adalah seperti orang yang menyaksikannya.”

Riwayat Abu Daud (4345)

Ibn Rajab al-Hanbali mengulas hadis di atas dengan katanya: “Sesiapa yang menyaksikan perbuatan mungkar lalu membencinya di dalam hatinya adalah dia seperti orang yang tidak menyaksikannya apabila dia tidak mampu mengingkarinya dengan lidah dan tangannya. Sesiapa yang tidak menyaksikannya lalu dia reda dengan kemungkaran itu merupakan antara seburuk-buruk perkara yang diharamkan dan terluputlah dengan reda itu tindakan mengingkari kesalahan dengan hati sedangkan ia merupakan kewajipan ke atas setiap muslim yang tidak akan gugur daripada seorang pun dalam apa keadaan sekalipun.” (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245)

Ibn Rajab turut menyebut: “Hadis di atas menunjukkan kewajiban mengingkari kemungkaran sesuai dengan kemampuan. Pengingkaran terhadap kemungkaran hukumnya wajib, kerana orang yang hatinya tidak mengingkari kemungkaran, menunjukkan iman telah hilang dari hatinya. (Lihat Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, 2/245)

Ulama dan Hadis Ini

  • Imam Muslim meriwayatkan daripada Toriq Bin Syihab, beliau berkata: “Orang yang pertama yang mendahulukan khutbah daripada solat pada hari raya ialah Marwan. Lalu seorang lelaki berdiri dan berkata: “Solat dahulu sebelum khutbah”, lalu Marwan berkata: “Apa yang kamu tahu iaitu mendahulukan solat daripada khutbah telahpun ditinggalkan.” Abu Said berkata: “Adapun lelaki itu, dia telah melaksanakan kewajipan yang mesti dilakukannya,” iaitu kewajipan mengingkari perbuatan yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW. Kemudian beliau berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda…. (iaitu hadis di atas).”
  • Imam al-Bukhari dan Muslim menyebut: “Bahawa Abu Said RA yang menarik tangan Marwan dan berkata kepadanya dengan kata-kata di atas dan Marwan menjawab dengan kata-kata di atas. Kemungkinan juga lelaki itu mencegahnya dengan lidah kemudian Abu Said RA berusaha
    mengubah kemungkaran itu dengan tangannya
    .”
  • Imam al-Qurtubi berkata: “Terdapat banyak pendapat tetapi qaul di atas ini iaitu ‘hadis ini menjadi dalil bahawa tidak ada seorang pun yang
    melakukan amalan sebelum Marwan’.
    ” (Lihat al-Mufhim, 1/231)

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis

Pertama: Perkataan ‘man’ (مَنْ) Merupakan isim syarat yang jazim sedangkan perkataan ‘Ra’a’ (رَأَى) adalah fe’il syarat. Kemudian perkataan ‘maka cegahlah dengan tangannya’ merupakan jawab syarat. Hadis ini menunjukkan Nabi SAW memerintahkan semua umat ini untuk mencegah kemungkaran jika seseorang itu melihatnya tanpa mengira jawatan seseorang.

Kami kemukakan juga di sini definisi Amar Ma’ruf dan Nahi Mungkar seperti berikut:

Definisi al-Ma’ruf:

  • Al-Raghib al-Asfahani berkata: “Al-Ma’ruf adalah satu nama bagi setiap perbuatan yang diketahui kebaikannya oleh akal atau syariat, sedangkan al-munkar adalah apa yang diingkari oleh keduanya.” (Lihat Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 561)
  • Syeikh al-Islam berkata: “Al-Ma’ruf adalah satu nama yang mencakupi segala yang dicintai oleh Allah, berupa iman dan amal soleh.” (Lihat Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim, 1/106)
  • Menurut Syariat, al-ma’ruf adalah segala hal yang dianggap baik oleh syariat, diperintah melakukannya, dipuji dan orang yang melakukannya dipuji juga. Segala bentuk ketaatan kepada Allah adalah termasuk dalam pengertian ini. Al-Ma’ruf yang paling utama adalah mentauhidkan Allah SWT dan beriman kepada-Nya. (Lihat Haqiqat al-Amr bi al-Ma’ruf wa al-Nahy ‘an al-Munkar, hlm. 11)

Definisi al-Munkar:

  • Al-Munkar adalah segala yang dilarang oleh syari’at atau segala yang menyalahi syari’at. (Lihat al-Kaba’ir wa al-Sagha’ir, hlm. 205)
  • Syeikh al-Islam berkata: “Al-Munkar adalah satu nama yang mencakupi segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Lihat Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim, 1/106)

 

Kedua: Imam Ahmad seperti dihikayatkan oleh al-Qadhi Abu Ya’la dalam salah satu riwayatnya menyebut: “Wajib ingkar kemungkaran bagi siapa yang mengetahui sekalipun orang itu tidak menerimanya.” Beliau mentashihkan pendapat ini iaitu dengan kewajipannya dan ini merupakan pendapat kebanyakan ulama.

Ketiga: Perkataan ‘Ra’a’ (رَأَى) yang memberi maksud melihat dan mengetahui dengan yakin, begitu juga mengetahui dan mendengar dengan yakin kerana mengumumkan hadis lebih aula daripada dikhususkannya. Dalam mencegah kemungkaran hendaklah yakin bahawa ia adalah mungkar dan sememangnya mungkar bagi pelakunya. Bukan hanya sebahagian tidak sebahagian yang lain. Contohnya berbuka puasa pada bulan Ramadhan adalah mungkar
tetapi orang itu sakit atau musafir maka halal baginya berbuka.

Adapun cara melarang berbuat kejahatan atau mungkar itu, sama ada dengan tangannya iaitu dengan tindakan keras, “wa imma” dengan lisannya iaitu dengan memberikan nasihat atau sekurang-kurangnya dengan mengingkarkan dengan hatinya.

Maka di atas tafsiran ayat dan hadis yang disebutkan itulah ayat ini membawa pengertian hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru orang supaya berbuat kebajikan dan menegah orang daripada mengerjakan kejahatan.

Maka pihak yang berpegang dengan pendapat itu mengatakan ‘الأمر بالمعروف’ dan ‘النهي عن المنكر’ adalah fardu kifayah yang bermakna jika ada seseorang Islam melakukannya terlepaslah tanggungjawab itu dari orang-orang Islam yang lain.

Keempat: Dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah al-Qadhi Abu Ya’la al-Farra’ al-Hanbali berkata: “Jika sekiranya pada kemungkaran tersebut adalah ghalib pada zhannya (sangkaan kuat) perlu mencari rahsia dengan pengkhabaran yang thiqah seperti zina, bunuh, dan lain-lain. Maka harus mengintip untuk memelihara dan mengawasi daripada luputnya yang membawa kepada pengharaman.”

Kelima: Dalam al-Wafi ada menyebut jenis-jenis pengingkaran
terhadap kemaksiatan dan hukumnya, antaranya:

  • Pengingkaran dengan hati. Mengetahui perkara makruf dan mungkar serta mengingkari kemungkaran di dalam hati adalah di antara fardu ain yang diwajibkan ke atas setiap muslim.

Seorang pun tidak dapat melepaskan diri daripada kewajipan ini walau dalam keadaan apa sekalipun. Sesiapa yang hatinya tidak mengetahui perkara makruf dan mungkar, maka dia telah binasa. Sesiapa yang yang tidak mengingkari mungkar dengan hatinya, maka ini menunjukkan imannya telah hilang.

Abu Juhaifah telah meriwayatkan daripada Ali, bahawa beliau berkata: “Sesungguhnya jihad yang pertama sekali kamu kuasainya ialah jihad dengan tangan, kemudian jihad dengan lidah dan selepas itu jihad dengan hati kamu. Apabila hatinya tidak mengetahui makruf dan tidak mengingkari mungkar, maka dia telah terbalik. Lalu dia menjadikan bahagian atas berada di bawah.

Ibn Mas’ud mendengar seorang lelaki berkata: “Binasalah sesiapa yang tidak menyuruh dengan kebaikan dan tidak mencegah kemungkaran.” Lalu Ibn Mas’ud berkata: “Binasalah sesiapa yang tidak mengenali makruf dan mungkar dalam hatinya.

Mengingkari kemungkaran dengan hati yang lemah sudah dapat melepaskannya dari tanggungjawab (iaitu kewajipan mengingkari kemungkaran) jika dia seorang yang lemah dan tidak mampu untuk mengingkari kemungkaran dengan tangan atau lisan. Ini kerana dibimbangi kemudharatan menimpa dirinya, keluarganya dan hartanya sekiranya dia cuba mengingkari kemungkaran dengan tangan dan lisan.

Jika pada sangkaanya, dia tidak akan ditimpa mudharat seperti di atas, maka kewajipan tersebut tidak gugur daripadanya dengan hanya dia mengingkari dengan hati, bahkan dia mesti mengubahnya dengan tangan atau lidah mengikut kemampuannya.

Di samping itu, dalam hadis riwayat Ibn Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِـي أُمَّةٍ قَبـْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَـخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوْفٌ يَقُوْلُوْنَ مَا لَا يَفْعَلُوْنَ ، وَيَفْعَلُوْنَ مَا لَا يُؤْمَرُوْنَ ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيْمَـانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

Maksudnya: “Tidak ada seorang nabi pun yang diutus Allah pada salah satu umat sebelumku melainkan dia mempunyai pengikut setia dan orang-orang yang mengambil sunnahnya dan mengikuti perintahnya. Kemudian setelah itu, datang generasi-generasi yang mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan apa yang tidak diperintahkan. Sesiapa melawan mereka dengan tangannya, dia orang mukmin. Sesiapa yang melawan mereka dengan lisannya, dia orang mukmin. Dan sesiapa melawan mereka dengan hatinya, dia orang mukmin. Dan di belakang itu, tidak ada iman sebesar biji sawi pun.”

Riwayat Muslim (50), Ahmad (1/458), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (9784) dan Ibn Mandah dalam Kitab al-Iman (184)

Hal ini menunjukkan bahawa amar ma’ruf nahi munkar termasuk bahagian daripada iman. Sabda Baginda tersebut juga menunjukkan bahawa orang yang sanggup melakukan salah satu bahagian daripada iman itu lebih baik daripada orang yang meninggalkannya dan tidak sanggul melakukannya. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/253)

  • Mencegah kemungkaran dengan tangan dan lisan.

Dalam masalah ini terdapat dua hukum:

  1. Fardu kifayah, jika kemungkaran diketahui oleh lebih dari satu orang dari masyarakat muslim, maka hukum memberantas kemungkaran tersebut adalah fardu kifayah. Ertinya jika sebahagian mereka, meskipun hanya seorang telah menunaikan kewajiban tersebut, maka kewajiban itu telah gugur terhadap orang Namun jika seorang pun tidak ada yang melaksanakan kewajiban itu, maka semua orang yang sebenarnya mampu melaksanakannya berdosa.

Firman Allah SWT:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru pada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar.

(Surah Ali Imran: 104)

Ibn Kathir berkata: “Maksud ayat ini adalah hendaklah ada segolongan daripada umat ini yang sedia memegang tanggungjawab ini (amar makruf nahi munkar). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/91)

Ibn al-‘Arabi berkata: “Ayat ini dan ayat berikutnya merupakan dalil bahawa amr ma’ruf dan nahi munkar itu adalah fardhu kifayah.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/292)

  1. Fardu ‘ain. Hukum ini berlaku bagi seseorang (sendirian) yang mengetahui kemungkaran, dan mampu untuk memberantas kemungkaran tersebut. Atau jika yang mengetahui kemungkaran tadi masyarakat umum yang ramai, namun hanya satu orang yang mampu memberantasnya. Dan dua keadaan ini, hukum pencegahan kemungkaran bagi orang tersebut adalah fardu ain. Jika dia tidak melaksanakannya, maka akan berdosa, sebagaimana disebut dalam hadis Nabi di atas, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran…..

Keumuman sabda Nabi SAW “Sesiapa antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya…”, menunjukkan bahawa mengingkari kemungkaran adalah wajib atas setiap individu yang memiliki kemampuan serta mengetahui kemungkaran atau melihatnya. (Lihat Qawa’id al-Fawa’id, hlm. 288)

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya amar ma’ruf dan nahi munkar adalah fardhu kifayah, kemudian terkadang menjadi fardhu ‘ain jika pada suatu keadaan tertentu, tidak ada yang mengetahuinya kecuali dia. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/23)

Justeru, orang yang melihat kesalahan kemudian membencinya dengan hati, sama seperti orang yang tidak melihatnya namun tidak mampu mengingkarinya dengan lisan dan tangannya. Sementara orang yang tidak melihat kesalahan itu, kemudian meredhainya, ia sama seperti orang yang melihatnya, namun tidak mengingkarinya sedangkan dia mampu mengingkarinya. Kerana redha dengan kesalahan-kesalahan termasuk perbuatan haram yang paling buruk serta menyebabkan pengingkaran dalam hati tidak dapat dilaksanakan, sedangkan pengingkaran dengan hati meruipakan kewajiban bagi setiap Muslim dan tidak gugur daripada sesiapa pun dalam semua keadaan.

Selain itu, dapat diketahui juga bahawa mengingkari kemungkaran dengan hati adalah wajib bagi setiap Muslim dalam semua keadaan, manakala mengingkarinya dengan tangan dan lidah itu sesuai dengan kemampuan. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 11/245-246)

Hal ini sebagaimana dalam hadith Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيْهِمْ بِالْـمَعَاصِيْ يَقْدِرُوْنَ عَلَـى أَنْ يُغَيِّرُوْا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوْا إِلَّا يُوْشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ.

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum yang dikerjakan di tengah-tengah mereka pelbagai kemaksiatan yang mampu mereka mencegahnya, namun tidak mereka cegah, melainkan Allah pasti akan menurunkan hukuman kepada mereka semua.”

Riwayat Abu Daud (4338), al-Tirmizi (2168), Ibn Majah (4005), Ibn Hibban (304) dan Ahmad (7)

Daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, dia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَيَسْأَلُ الْعَبْدَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يَقُوْلَ : مَا مَنَعَكَ إِذْ رَأَيْتَ الْـمُنْكَرَ أَنْ تُنْكِرَهُ؟ فَإِذَا لَقَّنَ اللهُ عَبْدًا حُجَّتَهُ  قَالَ : يَا رَبِّ ، رَجَوْتُكَ ، وَفَرِقْتُ مِنَ النَّاسِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah pasti bertanya kepada seorang hamba pada hari Kiamat hingga Dia bertanya, ‘Apa yang menghalangmu daripada mengingkari sebuah kemungkaran jika engkau melihatnya?’ Jika Allah telah mengajarkan hujjah kepada hamba-Nya tersebut, hamba tersebut berkata, ‘Rabb-ku, aku berharap kepada-Mu, dan aku tinggalkan manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4017), Ahmad (3/27), Ibn Hibban (7324) dan al-Humaidi dalam Musnadnya (739)

Keenam: Sebahagian ulama yang mentafsirkan ayat ini (وَلْتَكُن مِّنكُمْ)
bahawa kalimat ‘من’ di sini ‘للتبعيض’ ertinya untuk sebahagian, kerana di dalam umat Islam itu terdapat golongan yang lemah dan golongan yang tidak berdaya untuk melaksanakannya ‘الأمر بالمعروف’ dan ‘النهي عن المنكر’. Oleh sebab itu, moleklah adanya kalimah ‘من’ dalam ayat ini, yang membawa pengertian hendaklah ada sebahagian di antara kamu yang menjadi umat yang menyeru kepada kebaikan dengan cara yang menyuruh memperbuat kebajikan dan melarang daripada kejahatan.

Sesetengah mufasirin mengatakan ‘الأمر بالمعروف’ dan ‘النهي عن المنكر’ ini terkhusus kepada para ulama dan ketua-ketua Islam, tidaklah mungkin orang-orang jauh dapat melaksanakannya disebabkan kejahilannya. Ulama-ulama dan ketua-ketua tersebut mempunyai pengaruh dan kekuasaannya yang mana dengan adanya pengaruh dan kekuasaan mereka menjalankannya dan cepat memberi kesan. Pendapat demikian berdasarkan penafsiran bahawa ayat ini hanya
ditumpukan kepada sebahagian daripada umat Islam.

Ketujuh: Dalam melaksanakan nahi munkar keperluan kepada ilmu dan uslub hikmah amat penting bahkan menjadi prasyarat kerana matlamat daripada kedua-dua tersebut ialah untuk menjadikan manusia tunduk dan patuh yang terbit daripada keikhlasan hati kepada Yang Maha Esa, bukan semata-mata kerana takut kepada undang-undang atau orang-orang tertentu.

Ini kerana, jika didasarkan atas demikian sudah pasti seseorang yang berniat tidak baik akan mencari peluang dan ruang, bahkan sanggup menciptanya untuk mencapai hajat dan cita-citanya. Ini sudah tentu konsep amar makruf lebih kepada tempelan semata-mata, tetapi tidak dapat menjiwai hati dan sanubari masyarakat yang membawa sesuatu perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.

Allah SWT berfirman:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ

Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.”

(Surah al-Nahl: 125)

Antara bentuk hikmah adalah dengan memperhatikan keadaan orang yang akan kita perintah dan kita larang. Dalam satu keadaan, maka perlu dengan sikap lemah-lembut dan bersikap halus sepertimana firman Allah SWT:

اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ ، فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ ‎

Maksudnya: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

(Surah Taha: 43-44)

Dan dalam keadaan lain, menggunakan sikap tegas dan keras. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka.”

(Surah al-Taubah: 73)

Oleh itu, orang yang membawa tugas ini wajib memiliki sifat-sifat tertentu. Imam Sufyan al-Thauri berkata: “Tidak boleh melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar kecuali orang yang memiliki tiga sifat: (1) Lemah lembut dalam menyuruh dan melarang; (2) Adil dalam menyuruh dan melarang, dan; (3) Mengetahui sesuatu yang dia perintahkan dan yang dia larang.” (Lihat Qawa’id wa Fawa’id, hlm. 292)

Imam Ahmad berkata: “Semua manusia perlukan sikap lemah lembut dalam amar ma’ruf, bukan sikap keras, kecuali terhadap orang yang memperlihatkan kefasikan, maka sikap keras tidak diharamkan terhadapnya.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/256)

Kelapan: Bagi mereka yang menyeru kepada makruf dan melarang kemungkaran hendaklah dilakukan dengan sikap sopan santun dan berhikmah agar dapat lebih mendekatkan kepada tujuan pencegahan. Imam Syafie berkata: “Orang yang menasihati saudaranya dengan cara tertutup, maka orang itu telah benar-benar menasihatinya dan berbuat baik kepadanya. Akan tetapi orang yang menasihatinya secara terbuka, maka sesungguhnya ia telah menghina dan merendahkannya.

Kesembilan: Ciri-ciri yang selayaknya yang perlu ada bagi daie atau pendakwah yang bertujuan melengkapkan lagi kejayaan dakwah dengan lebih berkesan ialah:

  • Salim al-Akidah

Akidah yang sejahtera (salimul akidah) merupakan sesuatu yang harus ada pada setiap daie. Dengan akidah yang sejahtera, seorang daie akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT dan dengan ikatan yang kuat itu tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan akidah, seseorang daie akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT:

‏ قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

(Surah al-An’am: 162)

  • Sahih al-Ibadah

Ibadat yang sahih (sahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasulullah SAW yang penting. Dalam satu hadisnya yang bermaksud: “Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku solat.”- Riwayat al-Bukhari

Daripada ungkapan ini, dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan, haruslah merujuk kepada sunnah Rasulullah SAW.

  • Matin al-Khuluq

Akhlak yang kukuh (matin al-khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan perilaku yang mesti dimiliki oleh setiap Muslim, lebih-lebih lagi pendakwah (daie), baik dalam hubungannya kepada Allah SWT mahupun dengan makhluk-makhlukNya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apatah lagi di akhirat nanti.

Rasulullah SAW sendiri telah mencontohkan kepada kita akhlaknya yang agung sehingga diabadikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ ‎

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”

(Surah al-Qalam: 4)

  • Qawiy al-Jism

Kekuatan jasmani (qawiyyul jismi) merupakan salah satu ciri peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan bererti seorang daie memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan fizikalnya yang kuat. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang daie dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama dari pengubatan.

  • Muthaqqaf al-fikri

Intelek dalam berfikir (muthaqqaful fikri) merupakan salah satu ciri pendakwah yang penting. Kerana itu salah satu sifat Rasul adalah fatanah (cerdas) dan al-Quran banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir. Contohnya, firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ‎

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya. dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: Yang lebih dari keperluan. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”

(Surah al-Baqarah: 219)

Dalam Islam, tidak ada satu pun perbuatan yang harus kita lakukan kecuali dimulai dengan aktiviti berfikir. Oleh sebab itu, daie seharusnya memiliki wawasan keilmuan yang luas. Kita dapat membayangkan betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa dapat pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu.

Oleh itu, Allah SWT menanyakan kepada kita tentang tingkatan intelektual seseorang sebagaimana firman-Nya:

أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ‎

Maksudnya: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah al-Zumar: 9)

  • Mujahadatu linafsihi

Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatu linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang daie kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada melakukan perkara baik atau buruk. Melaksanakan kecenderungan pada perkara yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada di dalam seseorang yang berjuang dalam melawan hawa nafsu.

Oleh kerana itu, hawa nafsu yang ada pada setiap diri manusia itu dapat ditundukkan dalam ajaran Islam. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa (ajaran Islam).” – Riwayat al-Hakim

  • Harisun ala waqtihi

Bijak menjaga waktu (harisun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar daripada Allah SWT dan Rasul-Nya. Allah SWT banyak bersumpah di dalam al-Quran dengan menyebut nama waktu.

Allah SWT memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama setiap seorang iaitu 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tidak sedikit manusia yang rugi. Bertepatan pepatah yang menyatakan: Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu. Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan kembali.

Oleh kerana itu, setiap daie amat dituntut menggunakan waktunya dengan baik sehingga waktu dapat berlalu dengan baik dan digunakan secara efektif, iaitu tidak melakukan perkara yang sia-sia. Maka, antara yang diambil berat oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara, iaitu: “Waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, senang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.”

  • Munazzamun fi Syu’unihi

Teratur dalam suatu urusan (munazzamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang daie yang ditekankan oleh al-Quran mahupun al-Sunnah. Oleh kerana itu, dalam hukum Islam, baik yang berkait dengan masalah ubudiyah mahupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah SWT menjadi cinta kepadanya.

Dengan erti kata lain, suatu urusan dilakukan secara profesional walau apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian daripada-Nya.

  • Qadirun ala al-Kasbi

Memiliki kemampuan untuk berusaha sendiri (Qadirun ala al-Kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang daie. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang hanya mampu dilaksanakan seseorang dengan adanya kemahiran, terutama dari segi ekonomi. Ramai orang mengorbankan prinsip yang telah dianutinya kerana tidak memiliki kemahiran dari segi ekonomi. Kerana itu, peribadi daie tidaklah mesti miskin.

Seorang daie boleh menjadi kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia mampu menunaikan haji dan umrah, zakat, infaq, sedekah dan mempersiapkan masa depan yang baik. Oleh kerana itu, perintah untuk mencari nafkah amat banyak di dalam al-Quran mahu pun hadis dan hal itu memiliki keutamaan yang sangat tinggi.

Dalam kaitan menciptakan kemahiran inilah seorang daie amat dituntut memiliki keahlian apa sahaja yang baik agar dengan keahliannya itu menjadi sebab baginya mendapat rezeki yang telah Allah SWT sediakan dan harus baginya mengambil untuk keperluan kemahiran mahupun keterampilan.

  • Naf’iun li Ghairihi

Bermanfaat bagi orang lain (nafiun lighairihi) merupakan sebuah tuntuan kepada setiap daie. Manfaat yang dimaksudkan ialah manfaat yang baik walaupun di mana pun dia berada. Orang di sekitarnya merasakan keberadaannya kerana bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang daie adanya tidak mengganjilkan. Ini bererti setiap daie itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksimum mungkin untuk memberi manfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai tidak dapat mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya. Dalam kaitan inilah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat bagi orang lain.” – Hadis ini diriwayatkan oleh al-Qudhaie daripada Jabir.

Demikian secara umum profil seorang daie yang disebutkan dalam al-Quran dan al-Sunnah, sesuatu yang perlu kita pahatkan pada diri kita masing-masing.

Kesepuluh: Dinyatakan di sini beberapa nasihat ulama berkenaan
dengan pencegahan kemungkaran, antaranya:

  • Sufyan al-Thauri berkata: “Tidaklah seseorang itu memerintah perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran kecuali ia mempunyai tiga sifat: lemah lembut dalam apa yang diperintahkan dan dicegahnya, adil dengan apa yang diperintahkan dan apa yang dicegahnya dan seorang
    yang alim dengan apa yang dilarang itu
    .”
  • Imam Ahmad berkata: “Ia memerintahkan dengan sifat lemah lembut dan rendah diri, jika mereka mendengarkan kepadanya apa yang dibencinya nescaya dia tidak marah, maka sebenarnya orang yang seperti itu dia mahu memenangkan untuk dirinya sahaja.

Kesebelas: Iman mengandungi amal dan niat. Ini kerana Baginda SAW telah menjadikan maratib iman atau darjatnya berdasarkan hadis ini.

Aplikasi Hadis Dalam Kehidupan

Menentang kebatilan dan menolak kemungkaran adalah menjadi satu kewajipan ke atas semua muslim mengikut kemampuannya.

Pengingkaran kepada kemaksiatan hendaklah berdasarkan pengetahuan yang jelas bahawa sesuatu itu adalah sebenar-benar maksiat, bukan mencegah dalam perkara yang menjadi perselisihan ulama seperti isu perselisihan ulama dalam masalah fiqh.

Redha dan tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan kita adalah satu dosa besar. Tanggungjawab utama dalam amar makruf dan nahi mungkar sudah tentu kepada mereka yang berautoriti dan diberi kuasa yang layak digelar sebagai muhtasib. Wajib bagi mereka melaksanakan tanggungjawab mereka dengan       penuh integriti dan tanggungjawab.

Syeikh Muhyiddin berkata: “Ketahuilah bahawa bab amar makruf dan nahi mungkar telah diabaikan oleh ramai orang sejak zaman yang panjang. Tiadalah pada zaman kini kecuali resam yang sedikit sahaja. Ini merupakan bab yang besar yang dengannya akan tegak semua perkara dan ingatlah apabila banyaknya kejahatan maka ketika itu bala akan menimpa kepada orang yang baik dan jahat dan jika tidak dihalang daripada kezaliman dibimbangi Allah mengumumkan bala dan azab-Nya. Benarlah firman Allah SWT:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Nur: 63)

Mulailah mencegah dan menahan dari melakukan kemaksiatan dengan diri kita, keluarga dan masyarakat. Marilah sama-sama kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar dengan semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H