#279: Mengikuti Imam yang Fasiq dan Munafiq

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang melakukan solat dengan mengikut imam yang melakukan maksiat dan munafik? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan perbincangan tentang kriteria menjadi imam. Hal ini berdasarkan hadis daripada Abi Mas’ud Uqbah bin Amru al-Badri al-Ansari R.A, katanya: Sabda Rasullullah SAW:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا

Maksudnya: Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Justeru, sifat yang sangat digalakkan bagi seseorang imam antaranya ialah yang lebih alim, lebih fasih, lebih soleh dan lebih tua di kalangan mereka. Apabila sifat-sifat ini terdapat kepada seseorang imam, maka bersolatlah di belakangnya adalah lebih afdhal dan pahalanya lebih diharapkan.

Manakala antara imam yang dimakruhkan untuk diikuti ialah ahli bidaah dan orang yang fasiq (mereka yang dikenali kerap berbuat maksiat). Namun jika bertembung antara mana yang lebih adhal; solat bersendirian atau berjemaah dengan ahli bidaah atau orang fasiq, maka di sini ada perbezaan pendapat. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan lebih baik bersolat sendirian, manakala Imam al-Ramli pula berkata bersolat Jemaah bersama mereka adalah lebih afdhal. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat, hlm. 308)

Hadis di atas juga dengan jelas menerangkan kriteria umum untuk mengimami solat jamaah yang disebutkan oleh Nabi SAW. Ia sebagaimana yang dihuraikan di dalam kitab-kitab Fiqh antara syarat-syarat untuk menjadi imam adalah: Islam; baligh; berakal; baik bacaannya; tidak mempunyai penyakit kencing tidak lawas dan bersih dari hadas. Ini merupakan keutamaan dalam syarat pemilihan imam.

Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya:

  • Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • Yang paling baik bacaan al-Quran
  • Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
  • Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
  • Yang paling awal memeluk islam
  • Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
  • Yang paling baik keperibadian
  • Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
  • Yang paling lunak suara
  • Yang paling baik penampilan. (Lihat Umdah al-Salik, 128)

Maksud Fasiq

Perkataan fasiq adalah berasal dari perkataan ‘فسَق يَفْسِقُ ويَفْسُقُ فِسْقاً وفُسوقاً’. Ibn Manzur menyebut: “Al-Fisq iaitu kederhakaan dan meninggalkan perintah Allah Azza wa Jalla dan keluar dari jalan kebenaran.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/308)

Fasiq pada istilah bermaksud seorang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa-dosa kecil. (Lihat Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 3/227)

Imam al-Syaukani menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi yang menyebut: “Adapun kefasiqan yang umumnya digunakan dalam Syariat ialah: (Perbuatan yang menyebabkan) keluar dari batas ketaatan kepada Allah SWT. Terkadang perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekafiran dan boleh juga dianggap sebagai kemaksiatan.” (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 1/583)

Ini sepertimana disebut dalam hadis, Nabi SAW bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya“Memaki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya perbuatan kufur.”

Riwayat Bukhari (7076)

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang Muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut:

الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

Maksudnya“Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan dan tanggungan).”

(Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 59)

Mengikuti Imam yang Fasiq dan Munafiq

Berbalik kepada isu di atas, dibolehkan mengikut imam yang seperti itu tetapi hukumnya adalah makruh. Daripada Anas RA berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةً: رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ، وَرَجُلٌ سَمِعَ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ ثُمَّ لَمْ يُجِبْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat tiga golongan, lelaki yang menjadi imam kepada sesuatu kaum sedangkan mereka membencinya, perempuan yang tidur sedangkan suaminya marah kepadanya dan lelaki yang mendengar seruan حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ(marilah solat) sedangakan dia tidak menyahutnya.

Riwayat al-Tirmizi (358)

Sebaliknya imam hendaklah mereka yang menepati syarat sama ada syarat sah atau syarat afdhal. Kami nukilkan hadis daripada Ibn Mas’ud RA sepertimana yang telah dijelaskan pada awal perbincangan, di mana Rasulullah SAW bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِى الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِى السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِى الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِناً

Maksudnya: Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.

Riwayat Muslim (613)

Kami nukilkan juga di sini kenyataan daripada Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ yang menyebut: Solat Ibn Umar berimamkan Hajjaj bin Yusuf adalah thabit di dalam Sahih al-Bukhari dan selainnya di dalam al-Sahih, dan banyak hadis yang menunjukkan kepada sahnya solat berimamkan orang yang fasiq dan pemimpin yang zalim.

Ashab kami berkata: Solat berimamkan orang fasiq adalah sah dan tidak haram. Akan tetapi ia adalah makruh. Begitu juga dimakruhkan berimamkan orang yang melakukan bid’ah yang tidak sampai tahap kufur dengan bid’ahnya. Sekiranya sampai pada tahap kufur, maka kami telah jelaskan bahawa tidak sah solat berimamkannya sepertimana orang-orang kafir yang lain.

Imam al-Syafie telah menaskan di dalam al-Mukhtasar berkenaan makruhnya solat berimamkan orang fasiq dan mubtadi’. Namun sekiranya dilakukan, sah solatnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/151)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami bahagikan isu fasiq ini kepada dua;

Pertama, berdasarkan pengamatan kami, terdapat nas yang menunjukkan fasiq boleh membawa kepada kufur. Jika sampai kepada tahap ini, maka solat di belakangnya adalah tidak sah sekiranya makmum mengetahui.

Kedua, adapun fasiq yang tidak membawa kepada kekufuran, maka ia tidaklah menjadi kesalahan untuk solat di belakangnya tetapi hukumnya adalah makruh lebih-lebih lagi dalam keadaan terdapat imam yang tidak fasiq.

Dengan mengamati nas hadis Nabi, jelas menunjukkan kepada kita bahawa seorang yang hendak diimamkan hendaklah mempunyai kriteria yang terbaik, soleh lagi aslah berbanding dengan yang lain. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Mas’ud al-Ansari, Rasulullah SAW pernah bersabda:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ

Maksudnya“Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Semoga Allah menjadikan kita orang yang benar-benar beriman dan bertakwa dan selamat daripada perbuatan yang membawa kepada fasiq. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 11 Januari 2022 bersamaan 8 Jamadil Akhir 1443H