#409: Meninggalkan Masjid Selepas Azan Dilaungkan

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum seseorang yang keluar dari masjid ketika azan dilaungkan? Dengan maksud, dia keluar dan meninggalkan masjid tersebut. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

 Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

Riwayat Imam Ahmad (7045)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/66, al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Selain itu, terdapat kelebihan-kelebihan besar yang tertentu buat mereka yang solat secara berjemaah. Sabda Nabi SAW:

صَلاةُ الجَماعَةِ تَفْضُلُ صَلاةَ الفَذِّ بسَبْعٍ وعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada solat secara bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”

Riwayat al-Bukhari (645)

Begitu juga, terdapat ganjaran buat mereka yang berjalan (menuju) ke masjid sebagaimana di dalam hadis:

فإنَّ أحَدَكُمْ إذا تَوَضَّأَ فأحْسَنَ، وأَتى المَسْجِدَ، لا يُرِيدُ إلّا الصَّلاةَ، لَمْ يَخْطُ خَطْوَةً إلّا رَفَعَهُ اللَّهُ بها دَرَجَةً، وحَطَّ عنْه خَطِيئَةً، حتّى يَدْخُلَ المَسْجِدَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi masjid dengan tidak ada tujuan lain melainkan untuk solat, maka tidak ada langkah yang dilakukannya melainkan Allah akan mengangkat kedudukannya (bagi setiap langkah tersebut) dan menghapuskan daripadanya dosa-dosa sehinggalah dia masuk ke dalam masjid.”

Riwayat al-Bukhari (477) dan Muslim (649)

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff telah menyenaraikan beberapa faedah solat berjemaah, antaranya :

  • Bebas dan selamat daripada api neraka
  • Selamat daripada sifat orang Munafik.
  • Solat diterima.
  • Mendapat keampunan daripada dosa.
  • Ganjaran pahala yang besar.
  • Menghilangkan penyakit waswas dan dipelihara daripada syaitan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289-290)

Meninggalkan Masjid Selepas Azan Dilaungkan

Berbalik kepada persoalan di atas, terdapat hadith sahih yang jelas melarang perbuatan seperti pertanyaan di atas, iaitu keluar dari masjid setelah azan berkumandang. Abu al-Sya’tha’ meriwayatkan:

كُنَّا قُعُودًا فِي الْمَسْجِدِ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ فَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ فَقَامَ رَجُلٌ مِنَ الْمَسْجِدِ يَمْشِي فَأَتْبَعَهُ أَبُو هُرَيْرَةَ بَصَرَهُ حَتَّى خَرَجَ مِنَ الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ أَمَّا هَذَا فَقَدْ عَصَى أَبَا الْقَاسِمِ صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya: Ketika mana kami sedang duduk bersama Abu Hurairah, maka telah azan muazin dan telah bangun seorang lelaki berjalan keluar dari masjid. Mata Abu Hurairah memerhatikannya sehinggalah lelaki tadi keluar dari masjid lalu berkata: Adapun perbuatan lelaki tersebut, sesungguhnya dia telah menderhaka kepada Abu al-Qasim (Nabi Muhammad SAW).

Riwayat Muslim (655)

Dalam sebuah hadith yang lain, daripada Abu Hurairah RA berkata:

أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ  صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  إذَا كُنْتُمْ فِي الْمَسْجِدِ فَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَلَا يَخْرُجْ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُصَلِّيَ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengarahkan kami (bahawa): “Jika kalian berada di masjid dan azan sedang berkumandang untuk didirikan solat, maka janganlah keluar seorang pun dari kalian sehinggalah solat.”

Riwayat al-Imam Ahmad (10933)

Para ulama’ berbeza pandangan terhadap hukum keluar dari masjid setelah azan berkumandang tanpa uzur. Sebahagian mengatakannya haram dan sebahagian lagi mengatakan ianya makruh.

Di dalam fiqh mazhab Hanbali, Ibn Qudamah Rahimahullah di dalam al-Mughni menyebutkan bahawa tidak dibolehkan untuk keluar dari masjid selepas azan kecuali uzur. Beliau kemudian membawakan kalam al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah yang mana juga menyebutkan bahawa ianya adalah amalan ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi SAW dan mereka yang hidup selepasnya yang mana tidak seorang dari mereka keluar dari masjid selepas azan kecuali yang uzur. (Lihat al-Mughni, 1/296)

Begitu juga di dalam al-Iqna’ turut mengatakan haram keluar dari masjid selepas azan tanpa uzur atau niat untuk kembali menunaikan solat. (Lihat al-Iqna’ fi Fiqh al-Imam Ahmad bin Hanbal, 1/80)

Al-Imam al-Syaukani pula menyebutkan bahawa kedua hadith yang disebutkan di atas (hadith Abu al-Sya’tha’ dan Abu Hurairah) menjadi dalil bahawa haram untuk keluar dari masjid selepas mendengar azan kecuali bagi mereka yang tiada wudhu’, qadha’ hajat, darurat sehinggalah ditunaikan solat tersebut. (Lihat Nail al-Awtar, 2/192)

Di dalam kitab fiqh mazhab Maliki pula, sekiranya keluar selepas iqamah bagi yang ingin bersuci untuk solat tersebut namun tidak kembali, maka perbuatan tersebut adalah haram. Adapun keluar selepas azan maka hukumnya makruh kecuali dengan niat untuk kembali ke masjid. Namun sekiranya dia keluar dari masjid dengan tujuan untuk berpaling tidak menunaikan solat, maka dia adalah munafik dan ditakuti akan ditimpa musibah ke atasnya seperti sebahagian manusia. (Lihat al-Fawakih al-Dawani ‘ala Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani, 1/172)

Imam al-Nawawi pula ketika mensyarahkan hadith Abu al-Sya’tha’ di atas, beliau mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh sahaja bagi mereka yang keluar dari masjid selepas azan berkumandang sehingga dia solat fardhu kecuali uzur. Perkara yang sama disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/157, al-Majmu’, 2/179)

Adapun uzur yang membolehkan seseorang itu untuk keluar dari masjid selepas berkumandangnya azan adalah seperti untuk mengambil wudhu’ yang mana tempat wudhu’nya berada di luar masjid atau pun keluar dengan niat untuk kembali ke masjid seperti mengejutkan ahli keluarga kemudian kembali ke masjid ataupun keluar menuju ke masjid yang lain untuk berjemaah kerana diketahui akan kelebihan imam di situ. Boleh juga untuk keluar sekiranya terdapat perkara yang darurat, sakit yang mana perlu mendapatkan rawatan segera dan sebagainya.

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa makruh hukumnya untuk keluar dari masjid setelah azan berkumandang  tanpa sebarang keuzuran sesuai dengan pendapat Syafi’eyyah seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/711)

Meskipun makruh hukumnya untuk keluar, sebaiknya adalah dengan kekal di dalam masjid jika azan telah dikumandangkan dan tunaikan solat secara berjemaah sehingga selesai sebagai jalan keluar terhadap khilaf dalam permasalahan ini, melainkan padanya terdapat keuzuran. Wallahu a’lam.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H