#318: Meninggalkan Tempat yang Dijangkiti Wabak

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum meninggalkan tempat wabak penyakit yang melanda negeri kepada tempat atau negeri yang lebih terjamin kesihatannya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, dalam berhadapan dengan penyakit-penyakit berjangkit seperti taun atau penyakit-penyakit yang lain, Islam amat menitik beratkan soal pencegahan dan mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu. Antara dalil yang menjelaskan akan hal ini adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d Ibn Abi Waqqas R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا ‏

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.”

Riwayat al-Bukhari (5728)

Dalam isu ini juga, terdapat sebuah hadis yang menunjukkan perintah Rasulullah SAW agar menjauhi pesakit kusta yang merupakan salah satu penyakit berjangkit. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :

وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ

Maksudnya: “Dan larilah kamu dari pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari singa.”

Riwayat al-Bukhari (5707)

Para ulama hadis ketika mensyarahkan hadis ini mengemukakan beberapa pandangan yang kami kongsikan seperti berikut :

Pertama: Sebahagian ulama mengingkari hadis ini atas alasan ia bercanggah dengan petunjuk Nabi SAW. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah makan bersama pesakit kusta serta duduk bersamanya. Demikian juga para sahabat Nabi SAW turut melakukan perkara yang sama. Antara hujah yang digunakan adalah sebuah riwayat daripada Abd al-Rahman bin al-Qasim daripada bapanya beliau berkata :

أن وفد ثقيف أتوا أبا بكر الصديق فأتى بطعام فدعاهم فتنحى رجل، فقال مالك؟ قال مجذوم فدعاه وأكل معه

Maksudnya: Gerombolan tetamu dari kalangan Tsaqif telah datang bertemu dengan Abu Bakr Al-Siddiq. Kemudian Abu Bakr menghidangkan makanan dan mengajak mereka makan bersama. Lalu seorang lelaki menjauhkan diri dari tempat tersebut dan Abu Bakr berkata : ‘’Mengapa dengan kamu ?’’. Lelaki itu menjawab: ‘’Aku dijangkiti kusta’’. Kemudian Abu Bakar memanggil lelaki tersebut dan makan bersamanya.

Mereka juga berhujah dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ أَخَذَ بِيَدِ رَجُلٍ مَجْذُومٍ فَأَدْخَلَهَا مَعَهُ فِي الْقَصْعَةِ ثُمَّ قَالَ ‏كُلْ ثِقَةً بِاللَّهِ وَتَوَكُّلاً عَلَى اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah memegang tangan seorang lelaki yang dijangkiti penyakit kusta lalu mengajak lelaki tersebut makan bersama baginda, kemudian baginda bersabda: ‘’Makanlah kamu dalam keadaan tsiqah (percaya) dengan Allah serta bertawakkal kepada Allah.”

Riwayat Ibn Majah (3542)

Kedua: Manakala sebahagian ulama yang lain mensahihkan khabar ini. Mereka menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengarahkan untuk melarikan diri dari mereka yang dijangkiti penyakit kusta, serta berjaga-jaga dari makan dan minum bersamanya. Maka tidak boleh bagi seseorang yang telah mengetahui hal tersebut melainkan dia perlu melarikan diri dari orang yang dijangkiti kusta.

Para ulama ini berhujah menggunakan sebuah riwayat daripada Al-Zuhri bahawasanya Umar Ibn al-Khattab R.A pernah berkata kepada Mu’aiqib (Ibn Abi Fatimah Al-Dausi) R.A yang dijangkiti penyakit kusta dengan katanya :

اجْلِس مِنِّي قَيْدَ رَمْحٍ

Maksudnya : Duduklah dengan kadar panjang galah jaraknya dari aku.

Manakala ada sebuah riwayat lagi dari Kharijah bin Zaid beliau berkata :

كَان عُمَر إذَا أتى بِالطَّعَامِ وعِندَهُ مُعَيْقِيب قَالَ كُلْ مِمَّا يَلِيكَ، وَايمُ الله لَو غَيركَ بِهِ مَابِكَ مَاجَلسَ مِنِّي على أدنى مِن قَيدِ رَمْحٍ

Maksudnya: Umar dahulu apabila dihidangkan makanan kepadanya dalam keadaan di sisi beliau ada Mu’aiqib beliau berkata : ‘’Makanlah dari apa yang hampir dengan kamu. Demi Allah sekiranya orang lain selain kamu dengan penyakit ini nescaya aku tidak akan benarkan duduk berhampiranku kurang dari panjang sebatang galah jaraknya’’. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, oleh Ibn Battal, 9/413)

Berbalik kepada persoalan di atas, dalam hal ini, Nabi SAW pernah mengizinkan para penggembala yang mengadu kesihatan mereka yang tidak baik apabila berada di Madinah agar mereka keluar ke tempat yang agak tinggi dan berada di situ sehingga mereka kembali sihat. Akan tetapi, hukum kebenaran melarikan diri dari tempat yang mempunyai wabak penyakit ini dikecualikan jika penyakit itu ialah wabak taun.

Jika ia adalah wabak taun, maka orang yang berada di tempat itu dilarang daripada keluar berdasarkan sebuah hadis sahih daripada Nabi Muhammad SAW. Akan tetapi, para ulama’ mazhab Maliki berpandangan makruh hukumnya orang yang tinggal di tempat yang dilanda wabak taun untuk lari keluar daripadanya. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/366-367)

Hal ini juga boleh disamakan dengan isu Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, di mana kebanyakan negara menggunakan dasar PKP atau kuarantin, sama ada bersifat perseorangan atau satu-satu tempat. Justeru, hukumnya hampir sama dengan isu yang dibahaskan di atas. (Lihat juga buku yang telah kami terbitkan bertajuk Soal Jawab Fiqh Covid-19)

Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 Januari 2022 bersamaan 16 Jamadil Akhir 1443H