#1131: Menyambut Ramadhan al-Mubarak

Original price was: RM265.00.Current price is: RM200.00.

Siri Umrah dan Haji

[eBook] Panduan Haji dan Umrah

Original price was: RM50.00.Current price is: RM40.00.

Siri Kematian

10 eBook Siri Kematian

Original price was: RM60.00.Current price is: RM35.00.

Soalan:

Bagaimana keadaan orang-orang soleh terdahulu menyambut Ramadhan al-Mubarak?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Pertamanya, mereka seupaya mungkin untuk berdoa supaya mereka sampai ke bulan Ramadhan. Kata Abdul Rahman al-Sa’di, “Sepatutnya, kita juga berdoa supaya diberkati di bulan Ramadhan.” Ini bermakna kita mahu Ramadhan yang kita perolehi diisi dengan sebaik mungkin sebarang bentuk ketaatan sama ada bersifat wajib atau sunat di bulan Ramadhan.

Kedua, mereka cuba mempelajari hukum-hakam terkait dengan puasa, solat tahajjud, solat tarawih, zakat yang sepatutnya dilakukan pada bulan Ramadhan. Hal ini jika dapat direalisasikan, dia sentiasa memperbetulkan segala kekurangan dan mengislahkannya ke arah lebih baik dalam menghadapi Ramadhan dengan pelbagai acara ketaatan. 

Ketiga, bagi menambahkan lagi semangat untuk beramal serta beribadah di bulan Ramadhan, hendaklah kita juga mempelajari dan mengetahui betapa besarnya pahala seseorang itu apabila dilakukan di bulan Ramadhan dengan ikhlas lagi sempurna. 

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ ‏.‏ وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah SWT berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi.”

Riwayat Muslim

Menurut satu hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَقَرَّبَ فِيهِ بِخَصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ، كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً، كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan amalan sunat daripada perkara kebaikan di dalamnya (bulan Ramadan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardu di bulan-bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardu (di bulan Ramadan), sama seperti pahalanya menunaikan 70 amalan fardu di bulan-bulan yang lain.”

Sahih Ibn Khuzaimah (1887)

Keempat, mereka akan mengubah kehidupan mereka sebelum daripada bulan Ramadhan kepada lebih untuk beribadah kepada Allah SWT seperti menghadiri masjid untuk solat berjemaah, berzikir, membaca al-Quran dan beriktikaf di dalam masjid. 

Kelima, mereka menjadikan bulan Ramadhan sebagai bulan al-Quran. Ini kerana bulan Ramadhan diturunkan padanya al-Quran. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Surah al-Baqarah (183)

Antara amalan salafussoleh berkenaan dengan al-Quran pada bulan Ramadhan:

  • Imam Malik Rahimahullah memberi kecaknaan yang sungguh-sungguh untuk beramal ibadat di bulan Ramadhan, khususnya membaca al-Quran. 
  • Begitu juga, Imam al-Zuhri tidak meriwayatkan hadith pada bulan Ramadhan tetapi menekuni untuk membaca al-Quran. 
  • Al-Imam al-Bukhari dikatakan khatam al-Quran pada bulan Ramadhan setiap hari sekali. 
  • Imam Ahmad khatam al-Quran setiap 3 hari sekali dan jika masuk kepada 10 akhir Ramadhan, beliau akan khatam al-Quran sehari sekali. 
  • Diriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha’ie, seorang tabi’in iaitu al-Aswad Ibn Yazid mengkhatamkan al-Quran pada setiap dua malam pada bulan Ramadan.
  • Begitu juga, Qatadah mengkhatamkan al-Quran dalam masa tujuh hari, apabila tiba bulan Ramadan beliau mengkhatamkan dalam masa tiga hari dan apabila tiba sepuluh terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.
  • Mujahid pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak sekali pada setiap malam di bulan Ramadan.
  • Manakala  Imam al-Syafie pula mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di dalam bulan Ramadan sepertimana yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sepertimana dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.

Bukan semata-mata mereka membaca al-Quran, tetapi mereka tadabbur, fahami ayat-ayat al-Quran serta menghayatinya.

Keenam, mereka bukan sahaja menjaga dan memelihara puasa daripada terbatal, tetapi mereka juga memelihara daripada terbatalnya pahala ibadat puasa tersebut. 

Ketujuh, mereka sentiasa mengawal lidah dan tangan mereka dari terjebak untuk melakukan perkara yang tidak baik seperti mengumpat, mengeji dan menulis dengan bahasa yang tidak baik serta memfitnah. 

Kelapan, mereka seupaya mungkin untuk bersedekah dengan sekerap yang mungkin. Ini kerana Rasulullah SAW sendiri adalah contoh terbaik dalam memberi sedekah apatah lagi pada bulan Ramadhan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA, bahawa beliau berkata:

كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ

Maksudnya:” Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.”

Riwayat al-Bukhari (3220)

Kesembilan, mereka cuba menjamu orang-orang yang memerlukan makan minum di bulan puasa seperti fakir miskin, orang-orang yang susah, anak yatim dan lain-lain lagi. Justeru, mereka benar-benar ingin mendapat pahala berdasarkan hadith Nabi SAW:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat al-Tirmizi (807)

Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”

Surah Al-An’am (160)

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan kadar manakah yang dikira sebagai memberi makan berbuka kepada golongan yang berpuasa ? Adakah pahala memberi makan itu terhasil dengan memberi sekalipun sebiji kurma atau sebekas air atau memberi makanan-makanan yang menghasilkan kekenyangan kepada golongan yang berbuka puasa?

Kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadis kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: ‘’Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadis) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka’’. (Lihat Al-Furu’, Ibn Muflih, 3/73).

Oleh yang demikian seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadis.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’.’

Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)

 

Manakala pendapat yang kedua menyebut bahawa pahala memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa tidak terhasil melainkan bagi mereka yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa (melalui makanan yang disediakan). Ini kerana dengan terhasilnya kekenyangan akan tercapailah maksud dari sudut memberi kekuatan kepada orang berpuasa tersebut untuk beribadah dan mencukupkan dirinya pada malam tersebut. Inilah pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.

Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”

Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi

Rasulullah SAW bersabda:

الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ

Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.”

(Riwayat al-Tarmizi dan Ibn Majah)

Berdasarkan nas hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang memberi makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.

Dinyatakan di sini sikap dan sifat tokoh ulama dalam memberi makan orang yang berpuasa:

  • Hasan al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
  • Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
  • Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
  • Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin. Wallahu a’lam.

Semoga apa yang dinyatakan ini dengan amalan para salafussoleh dapat juga kita lakukannya ketika kita menyambut Ramadhan al-Mubarak. Hasilnya, semoga kita memperolehi dan menatijahkan taqwa. Amin. 

Bertarikh: 23 Mac 2023 bersamaan 1 Ramadhan 1444H