Soalan
Assalamualaikum ustaz. Seorang isteri baru hendak solat. Kemudian suaminya menyuruh untuk menyusukan anak terlebih dahulu yang sedang menangis. Bagaimana hukumnya?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Penyusuan anak merupakan tanggungjawab yang wajib digalas dan diberi perhatian oleh kedua-dua ibu dan bapa. Tiada khilaf dalam kalangan para fuqaha’ bahawa penyusuan anak adalah wajib selagi anak itu masih berada dalam umur susuan (dua tahun) dan memerlukannya. Menurut ulama mazhab Syafi’e dan Hanbali, menjadi kewajipan ke atas bapa untuk menyediakan penyusuan anaknya, dan tidak menjadi kewajipan ke atas ibu untuk menyusukan sendiri anaknya, serta suami tidak boleh memaksa isterinya untuk berbuat demikian. ( Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 22/239)
Jelas daripada petikan di atas, kedua-dua ibu dan bapa perlu memainkan peranan dalam memastikan penyusuan terhadap anak. Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).
(Surah al-Baqarah (233)
Dalam menjawab persoalan di atas, perkara ini perlu dilihat daripada dua situasi.
Situasi pertama, jika waktu solat berbaki amat pendek maka hendaklah diutamakan perlaksanaan solat kerana kewajipan solat sudah menjadi mudhayyaq (sempit).
Situasi kedua, jika waktu solat berbaki masih panjang, maka hendaklah si isteri menyusukan anak kerana mentaati suaminya, dan juga menghilangkan dahaga anaknya, serta menghilangkan perkara yang boleh mengganggu khusyuk solat.
Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَحَضَرَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ
Maksudnya: “Apabila solat hampir dilaksanakan lalu didatangkan makan malam, maka mulakan dengan makan malam.”
Riwayat al-Bukhari (5465)
Hadis ini menunjukkan bahawa matlamat solat adalah untuk mendatangkan khusyuk. Justeru perlu dihilangkan perkara yang mengganggu khusyuk sebelum solat.
Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berkata: Hadis-hadis yang tersebut (dalam isu ini) menjelaskan bahawa tidak disukai solat ketika makanan telah dihidangkan bagi mereka yang ingin memakannya, kerana hal demikian itu dapat menghilangkan kehusyukan. Termasuk juga dalam hal ini segala perkara yang dapat menyibukkan hati. Hal ini berlaku apabila waktu solat masih panjang. Adapun apabila waktu solat telah sangat sempit, maka hendaklah segera melaksanakan solat untuk menjaga kehormatan waktu. (Lihat Fath al-Bari, 4/229)
Ini dikuatkan dengan hadis lain bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ
Maksudnya: “Tidak sempurna solat ketika makanan dihidangkan, dan tidak sempurna solat bagi orang yang menahan dua benda kotor (kencing dan tinja).”
Riwayat Muslim (560)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) dan selain daripada mereka.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/46)
Syeikh al-Bassam menukilkan bahawa al-San’ani berkata: “Perlu diingat bahawa hal ini bukan termasuk bab mendahulukan hak hamba mengatasi hak Allah, tetapi itu termasuk masalah menjaga hak Pencipta, agar tidak termasuk dalam ibadah kepada-Nya dengan keadaan hati yang tidak diterima munajatnya.” (Lihat Taisir al-‘Allam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/76)
Selain itu, dalam hadis riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
مَا صَلَّيْتُ وَرَاءَ إِمَامٍ قَطُّ أَخَفَّ صَلاَةً، وَلاَ أَتَمَّ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنْ كَانَ لَيَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ، فَيُخَفِّفُ مَخَافَةَ أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ.
Maksudnya: “Aku tidak pernah sekali-kali solat di belakang seorang imam yang lebih ringkas solatnya, namun lebih sempurna melainkan Nabi SAW. Jika Baginda mendengar tangisan bayi, Baginda akan meringkaskan solat dan bacaan kerana bimbang ibu bayi itu berasa terganggu.”
Riwayat al-Bukhari (708)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘أَنْ تُفْتَنَ أُمُّهُ‘ (ibu bayi itu terfitnah atau berasa terganggu), Yakni tidak dapat fokus dan menumpukan perhatian dalam solatnya kerana hatinya disibukkan oleh tangisan anak itu. (Lihat Fath al-Bari, 4/354)
Ini juga menjawab persoalan di atas, bahawa betapa isu khusyuk dan sebab yang menghilangkan rasa khusyuk perlu dihindarkan dalam solat.
Anas bin Malik R.A turut meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنِّي لَأَدْخُلُ فِي الصَّلاَةِ وَأَنَا أُرِيدُ إِطَالَتَهَا، فَأَسْمَعُ بُكَاءَ الصَّبِيِّ، فَأَتَجَوَّزُ فِي صَلاَتِي مِمَّا أَعْلَمُ مِنْ شِدَّةِ وَجْدِ أُمِّهِ مِنْ بُكَائِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku sedang berada dalam solat dan aku ingin memanjangkan solat itu, kemudian aku mendengar suara tangisan bayi, justeru aku ringkaskan solatku kerana aku tahu betapa terkesannya perasaan ibu (yang menjadi makmum Nabi) itu mendengar anaknya menangis.”
Riwayat al-Bukhari (709)
Hadis ini menunjukkan hati ibu perlu tenang dan tidak terganggu dangan tangisan bayi, perasaan rimas dan gusar kerana anaknya lapar.
Wallahu a’lam.