#408: Nasib Malang pada Angka Tertentu

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah angka dan nombor tertentu boleh memberi implikasi tertentu pada kehidupan seseorang, seperti membawa nasib yang baik dan nasib buruk dan malang? Contohnya, nombor rumah, nombor kereta, nombor telefon dan seumpamanya. Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara dasarnya, Islam telah meletakkan dasar pegangan yang kukuh bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّـهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Yunus: 107)

Ibnu Kathir berkata: “Sesungguhnya kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui-Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, 7/407)

Larangan Menganggap Sial dan Anjuran Menyebut yang Baik-baik

Islam melarang umatnya daripada mengaitkan hari tertentu, atau bulan tertentu, atau kejadian tertentu, mahupun angka tertentu kepada sesuatu perkara malang. Hal ini seperti seseorang mengaitkan angka tertentu dengan nasib malang dan sial yang dilaluinya. Begitu juga seperti mengaitkan bulan-bulan tertentu dengan nasib malang lalu menghindari daripada mengadakan majlis-majlis tertentu pada bulan tersebut.

Kesemua perkara ini jelas ditegah oleh Islam kerana ia menjerumuskan kepercayaan bahawa sesuatu musibah itu adalah datang daripada makhluk sedangkan makhluk tidak sedikitpun mempunyai kuasa yang boleh mendatangkan manfaat mahupun mudarat. Ia juga boleh merosakkan sifat tawakal seseorang kepada Allah SWT. Sebaliknya Islam mengajar kita untuk sentiasa optimis dan bersangka baik dengan segala apa yang berlaku.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ ، ثَلاَثًا ، وَمَا مِنَّا إِلاَّ وَلَكِنَّ اللَّهَ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ.

Maksudnya: “al-Tiyarah adalah syirik, al-Tiyarah adalah syirik (Baginda menyebutnya tiga kali) dan setiap orang pasti (pernah terlintas dalam hatinya sesuatu dari hal ini). Hanya sahaja Allah SWT menghilangkannya dengan tawakkal.”

 Riwayat Abu Daud (3910), Ibn Majah (3538) dan al-Tirmizi (1614)

Istilah tatayyur atau tiyarah berasal daripada perkataan al-tayr (الطير) iaitu bermakna burung. Dalam kepercayaan masyarakat Arab Jahiliyah, apabila mereka akan mengadakan perjalanan, mereka akan terlebih dahulu melepaskan burung.  Sekiranya burung itu terbang ke kanan, maka ia dikenali sebagai sa’ih, mereka akan gembira dan perjalanan dibolehkan. Sebaliknya, jika ke kiri barih, ia bermakna sial dan mereka akan bersedih kerana ia memberi petanda musibah akan menimpa lantas mereka akan menangguhkan pemergian. (Lihat Miftah Dar al-Sa’adah oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 584-585)

Tiyarah atau tatayyur atau sial majal tidak hanya terbatas pada rasa sedih atau pesimis terhadap burung semata-mata akan tetapi ia juga berkait dengan nama-nama, ucapan-ucapan, tempat-tempat, hari-hari mahupun angka-angka tertentu.

Rasulullah SAW melarang daripada menganggap sesuatu itu sial atau malang lalu menyebabkan seseorang membatalkan tujuannya. Mengambil contoh mudah, seseorang ingin keluar dari dari rumah menuju ke sesuatu destinasi. Sebaik sahaja dia melangkah keluar, tiba-tiba dia melihat biawak melintas di hadapannya. Lalu dia mengatakan bahawa ini sudah pasti ada sesuatu yang buruk bakal berlaku sedangkan perkara tersebut bukanlah petanda yang jelas. Akhirnya dia membatalkan tujuannya atau menangguhkan ke hari yang lain. Inilah yang ditegah oleh Rasulullah SAW.

Daripada Fadhl bin Abbas, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الطِّيَرَةُ مَا أَمْضَاكَ أَوْ رَدَّكَ

Maksudnya“…Sesungguhnya Tiyarah itu adalah yang mana menjadikan kamu terus melangkah, atau yang mana menjadikan kamu menahan niat (dari tujuan kamu).”

Riwayat Imam Ahmad (1824)

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW juga bersabda:

مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ

Maksudnya“Sesiapa yang menangguhkan sesuatu hajat kerana al-Tiyarah maka dia telah berbuat syirik.”

Riwayat Imam Ahmad (7045)

Sebaliknya Rasulullah SAW menyuruh agar bersangka baik dengan menyebut yang baik-baik sahaja sekiranya berlaku sesuatu yang tidak pasti dan tidak jelas. Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا عَدْوَى وَلَا طِيَرَةَ وَيُعْجِبُنِي الْفَأْلُ ، قَالُوا وَمَا الْفَأْلُ؟ قَالَ: كَلِمَةٌ طَيِّبَةٌ.

Maksudnya“Tidak ada ‘adwa dan tidak ada tiyarah. Dan yang menyenangkanku adalah al-fa’lu. Para sahabat bertanya: Apakah al-fa’lu itu? Baginda menjawab: Iaitu kata-kata yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (5776) dan Muslim (5934)

Al-Hulaimi berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW menyukai kepada al-fa’l (sikap optimis) kerana sikap menganggap sial adalah buruk sangka kepada Allah SWT tanpa sebab yang pasti dan jelas. Sementara al-tafa’ul adalah berbaik sangka kepada-Nya. Seorang mukmin diperintahkan untuk berbaik sangka kepada Allah SWT dalam segala hal.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/215)

Al-Tibi berkata, “Maksud dibolehkan al-fa’l dan larangan kepada kesialan ialah seseorang seandainya melihat sesuatu dan merasa ia baik dan dapat mendorongnya untuk mendapatkan hajatnya, maka hendaklah dia melakukannya. Apabila melihat kebalikan dari hal itu (seperti ada sial), maka janganlah dia mempedulikannya, tetapi hendaklah dia teruskan untuk mendapatkannya. Jika dia mengambil peduli terhadapnya dan berhenti daripada mendapatkan hajatnya, maka itulah tiyarah yang dipergunakan untuk kesialan.” (Lihat Syarh al-Thibi ‘ala Mishkat al-Masabih, 9/2978)

Larangan terhadap al-Tiyarah adalah didasarkan beberapa perkara. Antaranya:

  • Menjadikan manusia bergantung kepada selain Allah SWT.
  • Menyebabkan perasaan takut, tidak tenang dalam banyak keadaan dalam diri seseorang hingga boleh menyebabkan jiwa bergoncang.
  • Membuka jalan penyebaran khurafat dalam masyarakat dengan cara memberi kemampuan mendatangkan manfaat dan mudarat kepada pelbagai jenis makhluk yang sebenarnya mereka tidak miliki. (Lihat kitab Syarah Aqidah Ahlus Sunnah wa al-Jama’ah)

 

Contoh-Contoh Lain Tatayyur dalam Masyarakat Melayu

Antara perkara-perkara yang masyarakat Melayu menganggapnya sebagai sebagai sial atau petanda tak baik ialah:

  • Bulan-bulan tertentu tidak elok mengadakan walimah kenduri kahwin, membina rumah dan sebagainya.
  • Menganggap sial angka tertentu seperti angka 13.
  • Kepercayaan kenan. Kenan dari segi bahasa ialah tanda atau cacat pada badan seseorang semenjak ia dilahirkan atau keganjilan tertentu pada gerak-geri atau kelakuan yang terdapat pada seseorang semenjak kecil. Kenan dalam masyarakat melayu ialah satu kecacatan yang mana dikenali juga sebagai badi. Ia berkait rapat dengan perkara-perkara yang dilakukan oleh ibu semasa mengandung atau bapa anak berkenaan yang bersangkutan dengan objek lain, seperti kenan buaya, kenan kucing, kenan monyet, kenan katak dan sebagainya.
  • Pesta Mandi Safar yang dilakukan oleh segelintir masyarakat terutamanya yang tinggal berhampiran sungai atau pantai. Upacara mandi beramai-ramai dan bersuka ria ini dilakukan dengan kepercayaan perbuatan tersebut kononnya boleh menghapuskan dosa dan menolak bala.
  • Terdapat sesetengah masyarakat terutama orang-orang tua tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dan keramaian dalam bulan Safar kerana mereka khuatir bahawa kedua-dua pengantin tidak bahagia dan akan susah atau tidak mendapat zuriat dan mempercayai jodoh pasangan pengantin tersebut tidak akan berkekalan.
  • Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut.

 

Garis Panduan JAKIM Berkaitan Unsur Bercanggah dengan Akidah

Kami sertakan juga di sini berkenaan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh JAKIM yang menyebut berkenaan perkara-perkara atau unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan amalan ahli sunnah wal jama’ah. Walaupun ia adalah garis panduan berkaitan bahan penerbitan bercetak, namun dapat diambil daripadanya beberapa perkara.

Garis panduan antara lain menyebut bahawa termasuk bentuk-bentuk khurafat dan tahyul ialah:

  • Kepercayaan kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.
  • Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana dianggap sebagai isyarat benda tidak baik akan berlaku.

Selain itu, garis panduan turut menjelaskan tentang jenis-jenis penerbitan berkaitan dengan khurafat dan tahyul yang dilarang, iaitu semua penerbitan yang mempromosikan ‘sifat luar biasa’ sesuatu objek-objek tertentu. Contohnya:

  • Mengenai kepercayaan kepada objek-objek seperti cincin batu akek, keris lama, tombak yang dianggap boleh memberi apa-apa manfaat ataupun pertolongan.
  • Mengenai kepercayaan kepada sial-majal seperti adat mandi limau, mandi safar dan adat mandi membuang sial.

Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita bersumberkan daripada kepercayaan lama, kepercayaaan kepada petanda, pantang larang dan adat istiadat yang bercanggah dengan ajaran Islam. Contohnya :

  • Mengenai kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh melihat bayi di cermin muka kerana kononnya kelak ia akan mati di dalam air.
  • Mengenai kepercayaan bahawa tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala.
  • Mengenai kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki, seperti adat memuja semangat padi dan membuang ancak.

Semua penerbitan yang memaparkan kepercayaan kepada sial dan mudharat yang menimpa seseorang atau diri sendiri. Contohnya :

  • Penerbitan yang memaparkan seorang ibu muda sukar untuk bersalin, gara-gara melanggar pantang larang supaya jangan mandi di sungai.[1]

 

Penutup

Kita dilarang sama sekali untuk menganggap sesuatu angka itu memberi sial. Begitu juga hal-hal yang seumpama dengannya. Hal ini bagi mengelakkan kita terjerumus dalam mensyirikkan Allah SWT.

Sebaliknya kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada Allah SWT apabila berlaku sesuatu musibah, bukan menyalahkan angka tertentu atau hari tertentu dengan menganggapnya sebagai angka atau hari sial. Berpegang teguh kepada kekuasaan Allah serta serahkanlah urusan sepenuhnya kepada Allah SWT. Ingatlah firman-Nya:

وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

(Surah al-Talaq: 3)

Antara hikmah larangan ini juga adalah bagi mengelakkan seseorang itu bersikap pesimis dalam hidupnya. Sebaliknya kita dikehendaki agar sentiasa bersikap optimis dalam melalui hari-hari dalam kehidupan walau apa musibah yang melanda sekalipun.

Sekiranya datang pemikiran seperti itu, maka hendaklah ditinggalkan pemikiran tersebut kerana dikhuatiri akan termasuk dalam unsur-unsur al-tiyarah. Berdoalah sepertimana yang diajar oleh Baginda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya“Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan dari-Mu. Tiadalah burung itu (yang dijadikan sebagai tatayyur) melainkan makhluk-Mu. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain-Mu.” 

Riwayat Imam Ahmad (7045)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H

[1] Lihat Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak Dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-Unsur Yang Bercanggah Dengan Akidah Dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hlm. 13-28