#243: Pendapatan yang Diperoleh Ketika Solat Jumaat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Betulkah perniagaan pada waktu orang solat Jumaat haram pendapatan itu? Jika yang menjaga kedai itu orang perempuan, apa pendapat ustaz?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

MaksudnyaWahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Imam Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ” (Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang), beliau menyebut: “Yang dimaksudkan dengan al-nida’ (seruan azan) ini adalah azan yang kedua, yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW, iaitu apabila Baginda SAW keluar dan duduk di atas minbar. Kerana pada ketika itu, azan dikumandangkan di hadapan Baginda. Maka azan inilah yang dimaksudkan. Adapun azan pertama itu yang telah ditambah oleh Amir al-Mukminin Uthman ibn Affan R.A adalah disebabkan bilangan umat Islam ketika itu semakin bertambah ramai.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/316)

Seterusnya, dalam firman Allah SWT: “وَذَرُوا الْبَيْعَ” (dan tinggalkanlah berjual-beli), Ibn Kathir menjelaskan: “Maksudnya bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli apabila diseru untuk mengerjakan solat. Oleh kerana itu, para ulama’ sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan yang kedua. Kemudian mereka berbeza pendapat berkenaan sah dan tidaknya jual beli yang dilakukan ketika terdengar suara azan. Mengenai yang terakhir ini, terdapat dua pendapat. Dan zahir ayat di atas menunjukkan bahawa jual beli tersebut dikira tidak sah sebagaimana yang telah ditegaskan dalam perbahasannya yang tersendiri. Wallahu a’lam.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/316)

Selain itu, hal ini juga bertepatan denga hadis yang diriwayatkan oleh Said bin Yazid RA:

كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الْإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ، فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ . قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ الزَّوْرَاءُ مَوْضِعٌ بِالسُّوقِ بِالْمَدِينَةِ

Maksudnya: “Dahulu azan pada hari Jumaat dilakukan di awal ketika imam berada di atas minbar. Ini dilakukan pada zaman Nabi SAW, Abu Bakr dan ‘Umar R.Anhuma. Namun ketika zaman ‘Uthman R.A, disebabkan terlalu ramainya jemaah, beliau menambah azan sehingga tiga kali (termasuk iqamah) di al-Zaura’.” Abu ‘Abdillah berkata, “al-Zaura’ adalah salah satu tempat di pasar di Madinah.”

Riwayat al-Bukhari (912)

Dalam hal ini, para ulama bersepakat haram melakukan jual beli setelah azan yang kedua berkumandang dan ketika imam menaiki mimbar untuk menyampaikan khutbah. Imam al-Tahawi menyebut Azan yang dikira (dalam hal ini) adalah ketika imam keluar menaiki minbar. Maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi SAW. (Lihat Mukhtasar al-Tahawi, hlm 24)

Berbalik kepada persoalan di atas, jika seseorang yang wajib ke atasnya solat fardhu Jumaat berniaga selepas gelincirnya matahari, dan selepas azan sudah mula dikumandangkan oleh muazzin, maka haram hukumnya perniagaan tersebut. Dalilnya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumuah: 9)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan suruhan kepada setiap lelaki muslim yang mukallaf agar segera bergerak ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat dan juga larangan daripada melakukan sebarang transaksi jual beli ketika itu.

Imam al-Qurtubi menukilkan di dalam tafsirnya, bahawa Allah SWT melarang melakukan jual beli pada waktu tersebut bagi mereka yang diperintahkan untuk melaksanakan kewajipan solat Jumaat. Meskipun, dalam ayat hanya digunakan lafaz ‘البيع’, namun ia sudah memberi makna keseluruhan kerana penjualan tidak akan terjadi tanpa adanya pembelian (الشراء), lantaran itu hanya disebutkan salah satu daripadanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/107)

Imam al-Qurtubi menambah lagi: Barangsiapa yang tidak diwajibkan untuk menghadiri solat Jumaat, maka dia tidak dihalang untuk melakukan jual beli. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/107)

Mereka yang tidak diwajibkan itu ada disebut di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِى جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِىٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap orang Islam secara berjemaah melainkan kepada 4 golongan iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067)

Maka, jelas di sini bahawa larangan jual beli tersebut adalah pada individu lelaki muslim yang diwajibkan solat Jumaat. Adapun, sekiranya individu tersebut bukanlah dalam kalangan mereka yang diwajibkan Jumaat, Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya dua orang lelaki yang tidak diwajibkan solat Jumaat melakukan transaksi jual beli sesama mereka berdua, maka ia tidak diharamkan pada masa Jumaat dan tidak pula makruh.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/500)

Justeru, jika seseorang itu tidak diwajibkan solat Jumaat seperti kaum wanita dan orang yang bermusafir melakukan jual beli ketika berlangsungnya solat Jumaat, maka tidaklah haram perniagaan tersebut. Namun jika seseorang wanita itu berniaga dengan lelaki yang wajib ke atasnya solat Jumaat maka haram juga hukumnya kerana telah menyibukkan lelaki itu daripada melakukan perkara yang fardu. Adapun berkenaan sah atau tidak sah perniagaan tersebut, maka hukumnya ialah sah sekalipun berdosa. (Lihat al-Mu’tamad oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili, 1/500-501)

Maknanya, sekalipun hasil pendapatan tersebut adalah halal kerana sahnya akad tetapi keberkatannya tiada atau kurang. Jauhilah kita daripada perniagaan sedemikian kerana hidup tanpa keberkatan daripada Allah SWT selalu ditimpa kesusahan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6/1/2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H