#587: Perbuatan Tidur Secara Meniarap

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah terdengar bahawa perbuatan tidur secara meniarap adalah dilarang, dan ada hadis Nabi SAW yang melarang perbuatan ini. Mohon penjelasan ustaz.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Adab dan Sunnah Ketika Tidur

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan penjelasan berkaitan adab-adab dan sunnah ketika hendak tidur. Antaranya:

Pertama: Tidur dalam keadaan berwudhu`.

Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ

Maksudnya: “Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwudhu`lah seperti mana wudhu`mu untuk melakukan solat.”[1]

Kedua: Menutup pintu dan lampu

Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَطْفِئُوا المَصَابِيحَ إِذَا رَقَدْتُمْ، وَغَلِّقُوا الأَبْوَابَ

Maksudnya: “Padamlah lampu sekiranya kamu ingin tidur dan tutuplah pintu.”[2]

Ibn Daqiq al-‘Id berkata: “Menutup pintu mengandungi kemaslahatan agama dan duniawi, iaitu untuk menjaga jiwa dan harta daripada pelaku kerosakan, lebih-lebih daripada para syaitan.”[3]

 

Ketiga: Mengebas tempat tidur

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَنْفُضْ فِرَاشَهُ بِدَاخِلَةِ إِزَارِهِ، فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي مَا خَلَفَهُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengebas tempat tidurnya dengan memegang bahagian dalam kainnya kerana dia tidak mengetahui apa yang terdapat di atasnya.”[4]

Keempat: Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)

Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ

Maksudnya: “…kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan.”[5]

Kelima: Membaca Ayat al-Kursi

Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya (no. 2311).

Keenam: Membaca 3 Qul

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏{‏قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ‏}‏ وَ‏{‏قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ‏}‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”[6]

Ketujuh: Membaca Doa

Antara doa tidur yang boleh diamalkan:

بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.”[7]

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ‏

Maksudnya: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu kerana mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.[8]

 

اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ

Maksudnya: “Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.”[9]

Kelapan: Buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur.

Kesembilan: Meletakkan tangan kanan di bawah pipi kanan

Daripada Hafsah R.Anha katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَرْقُدَ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى تَحْتَ خَدِّهِ ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ، عِبَادَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ

Maksudnya: “Apabila Baginda SAW ingin tidur, Baginda SAW akan meletakkan tangan kanannya di bawah pipi kanan. Lalu Baginda akan membaca: “اللَّهُمَّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ، عِبَادَكَ” (Ya Allah, Peliharalah diriku daripada azab-Mu iaitu pada hari Engkau membangkitkan hamba-hamba-Mu!)” sebanyak tiga kali.[10]

Kesepuluh: Membaca doa ketika bangun dari tidur

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Huzaifah RA:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ ‏”‏ اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ ‏”‏‏.‏ وَإِذَا أَصْبَحَ قَالَ ‏”‏ الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW jika mendatangi tempat tidurnya akan berdoa: ‘اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ’. Apabila bangun dari tidur berdoa: ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ’.[11]

 

Hukum Tidur Secara Meniarap

Sememangnya terdapat hadis dari Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan mengunakan kaki lalu berkata:

إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.[12]

Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

قُمْ وَاقْعُدْ فَإِنَّهَا نَوْمَةٌ جَهَنَّمِيَّةٌ

Maksudnya: “Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka.”[13]

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan larangan agar tidak tidur secara meniarap.

Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi`e, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

وَيُكْرَهُ الِاضْطِجَاعُ عَلَى بَطْنِهِ

Maksudnya: “Dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap).[14]

Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah turut menyebut bahawa disunatkan untuk mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.[15]

Berdasarkan hadis di atas juga, antara faedah yang boleh diambil daripadanya adalah keharusan seseorang membangunkan orang lain yang sedang tidur dengan menggunakan kaki. Perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW melalui hadis di atas menjadi dalil akan keharusannya bahkan Nabi SAW adalah manusia yang paling tawadhu` dan perbuatan tersebut tidaklah dikira sebagai takabbur.

Sekiranya yang mengejutkan itu padanya perasaan takabbur maka pada perbuatan tersebut ada hukumnya yang lain. Namun, jika hanya semata-mata membangunkan seseorang dengan menggerakkan kaki dan mencuit maka tidaklah mengapa dan tidak dikira sebagai takabbur.

Namun perlulah juga melihat kepada keadaan orang yang ingin dibangunkan itu. Sekiranya ditakuti orang yang akan dibangunkan itu merasa diperkecilkan dan dipandang rendah dengan perbuatan membangunkan dirinya dengan menggunakan kaki, maka perbuatan itu hendaklah dielakkan. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 4/343)

Kesimpulan

Larangan dari tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut. Sebaliknya, amalkanlah adab-adab dan sunnah ketika hendak tidur sepertimana yang dijelaskan di atas.

Tidur secara meniarap juga menurut kajian boleh membawa kepada masalah kesihatan. Kebanyakannya adalah melibatkan sakit tulang belakang. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah-Nya untuk terus mengamalkan Sunnah Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

[1] Riwayat al-Bukhari (247), Muslim (2710) dan Abu Daud (5046)

[2] Riwayat al-Bukhari (6296)

[3] Lihat Fath al-Bari, 18/45

[4] Riwayat al-Bukhari (6320)

[5] Riwayat al-Bukhari (247) dan Muslim (2710)

[6] Riwayat al-Bukhari (5017)

[7] Sahih Muslim (2714)

[8] Riwayat al-Bukhari (7488)

[9]  Riwayat al-Bukhari (7394)

[10] Riwayat Abu Daud (5045). Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai hasan.

[11] Riwayat al-Bukhari (7394)

[12] Riwayat Abu Daud (5040) dan al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)

[13] Riwayat Ibn Majah (3725)

[14] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/474

[15] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/309