#631: Status Aurat Kaki Wanita

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah kaki wanita itu aurat? Maksud saya, bahagian bawah buku lali dan tapak kaki. Ini kerana, saya sering melihat perempuan yang tidak memakai sarung kaki, dan ada juga antara mereka yang tidak memakai sarung kaki ketika solat. Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Maksud Bahagian Kaki

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, kaki bermaksud bahagian tubuh manusia atau haiwan, yang bermula daripada paha ke bawah dan digunakan untuk berjalan, berdiri dan lain-lain.[1]

Namun, bahagian kaki yang menjadi perbincangan di dalam isu ini bukanlah kaki secara keseluruhannya yang melibatkan bahagian peha dan betis. Adapun yang dibincangkan di sini adalah bahagian zahir kaki yang nampak setelah menutup aurat seperti bahagian di bawah buku lali dan juga tapak kaki.

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Adakah Kaki Wanita Aurat?

Permasalahan mengenai sama ada kaki wanita itu aurat ataupun tidak adalah perkara khilaf yang berlaku  dikalangan para ulama. Secara umumnya terdapat dua pendapat di dalam permasalahan ini. Kami perincikan pandangan dan hujah-hujah mereka seperti berikut:

Pertama: Kaki wanita itu adalah aurat.

Ini adalah pendapat jumhur para ulama dari mazhab Maliki, Syafi’e dan ianya juga adalah pendapat  mazhab Hanbali.

Pandangan jumhur yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat berdasarkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Umm Salamah R.Anha, di mana pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW:

أَتُصَلِّي الْمَرْأَةُ فِي دِرْعٍ وَخِمَارٍ لَيْسَ عَلَيْهَا إِزَارٌ قَالَ ‏ ‏ إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

Maksudnya: Adakah boleh seorang perempuan itu solat dengan memakai baju dan tutup kepala tanpa memakai izar (kain yang dipakai di bahagian bawah badan). Jawab Nabi SAW: “Boleh, sekiranya baju itu labuh menutupi zahir kedua kaki.”

Riwayat Abu Daud (640)

Dalam menjelaskan hadith di atas, Imam al-Khattabi berkata: “Khabar ini menjadi dalil ke atas sahihnya pendapat yang mengatakan tidak sah solat sekiranya terdedah bahagian badan melainkan sekiranya pakaian itu labuh, besar sehingga menutupi bahagian zahir kedua kaki. Ini menjadikan syarat sah solat itu adalah dengan tidak mendedahkan sesuatupun dari tubuh badannya.” (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/180)

Dalam kitab al-Mughni oleh Ibn Qudamah, disebut: “Dan telah berkata Malik, al-Auza’ie dan al-Syafi’e bahawa keseluruhan wanita itu adalah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangan, dan apa selainnya wajib ditutup di dalam solat.” (Lihat al-Mughni, 1/431)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata: Mengikut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, telapak kaki wanita dikira aurat yang wajib ditutup ketika dihadapan lelaki asing dan juga di dalam solat. Jika tidak ditutup, maka tidak sah solatnya sama ada solat fardu atau sunat. (Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/213)

Kedua: Kaki wanita itu bukanlah aurat.

Ini adalah pendapat muktamad dari kalangan mazhab Hanafi dan ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari mazhab Syafi’e dan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.

Pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukan aurat adalah kerana kedua kaki secara kebiasaannya akan terdedah dalam melakukan sesuatu tugasan dan sebagainya.

Adapun hadith Umm Salamah R.Anha yang menjadi dalil mengatakan bahawa kaki wanita itu aurat dijawab dengan mengatakan bahawa hadith tersebut adalah mauquf semata-mata. Ini dapat difahami melalui komentar Imam Abu Daud sendiri di akhir hadith tersebut yang mengatakan bahawa ramai yang meriwayatkannya tidak menyebut nama Nabi SAW sebaliknya meriwayatkan terus daripada Umm Salamah R.Anha. Disebabkan oleh itu, al-Albani menghukum hadith tersebut sebagai dhoif (lemah) kerana ianya adalah riwayat yang mauquf (terhenti pada Sahabat).

Pendapat kedua ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab Hanafi. Ianya juga adalah pendapat al-Imam al-Muzani dari kalangan Syafi’eyyah dan juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dari kalangan Hanabilah.

Ini seperti mana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn ‘Abidin yang mana menyebutkan: “Sesungguhnya kedua kaki itu bukanlah aurat pada pendapat yang muktamad.” (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/369)

Imam al-Nawawi juga turut menyebutkan juga di dalam kitabnya, al-Majmu’: “Telah berkata Abu Hanifah, al-Thauri dan al-Muzani bahawa kaki wanita itu juga bukanlah aurat…” (Lihat al-Majmu’, 3/169)

Disebut juga dalam kitab al-Mughni oleh Ibn Qudamah: “Dan telah berkata Abu Hanifah, kedua kaki bukanlah aurat kerana keduanya adalah sesuatu yang pada kebiasaannya terzahir (terlihat) seperti muka…” (Lihat al-Mughni, 1/430-431)

Kesimpulan

Mengetahui bahawa permasalahan ini adalah khilaf, kami berpendapat bahawa pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu adalah aurat lebih selamat, berhati-hati dan keluar dari khilaf. Oleh itu, tidak sah sekiranya seorang wanita itu solat jika terdedah bahagian kakinya melainkan ditutup dengan kain yang labuh ataupun dengan memakai sarung kaki.

Namun, sekiranya kita ada terlihat wanita yang solat tanpa memakai sarung kaki dan terdedah bahagian kakinya, boleh jadi mereka itu jahil ataupun berpegang dengan pendapat yang mengatakan bahawa kaki wanita itu bukanlah aurat. Tegur dan tanyalah dengan cara yang berhemah agar tidak meninggalkan persepsi yang negatif kepada saudara seislam kita.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 3 Mac 2022 bersamaan 29 Rejab 1443H