#26: Tempoh Berlakunya Isra’ Mi’raj

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan tafsiran lafaz Lailan (‘لَيْلًا’) dalam ayat Isra’ Mi’raj. Adakah ia membawa makna sebahagian kecil daripada malam atau keseluruhan malam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Peristiwa Isra’ Mi’raj adalah merupakan satu mukjizat yang besar dan tanda kenabian yang sangat jelas. Ia juga merupakan satu kekhususan bagi Nabi Muhammad SAW, di mana ia tidak pernah berlaku kepada para nabi dan rasul sebelum daripadanya.

Lafaz asra (أَسْرَىٰ) yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah melakukan perjalanan pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa. Manakala mi’raj (مِعْرَاج) berasal daripada perkataan yang bermaksud naik. Mi’raj (مِعْرَاج) adalah alat yang digunakan untuk naik. Maksud mi’raj (مِعْرَاج) Rasulullah SAW adalah naik daripada bumi ke langit melewati tingkatan langit sampai ke langit ketujuh.[1]

Pada asasnya, peristiwa Isra’ dan Mi’raj diceritakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[2]

Syeikh Tahir bin ‘Asyur menyebut bahawa perjalanan Israk dan Mi’raj adalah merupakan peristiwa yang mencarik adat (satu mukjizat) yang mana perjalanannya dari awal sehinggalah akhir hanya memakan masa sebahagian malam.[3]

Berkenaan bilakah Isra’ Mi’raj berlaku, tiada dalil yang pasti yang menyatakan berlakunya Isra’ Mi’raj pada bulan yang tertentu atau sepuluh hari tertentu atau dipastikan pada tanggal tertentu. Bahkan, para ulama’ berselisih pendapat berkenaan hal ini dan tidak ada yang dapat menyatakan waktunya yang pasti.[4]

Tafsir Lafaz ‘لَيْلًا’ dalam Surah al-Isra’ (Kadar Panjang Malam)

Allah SWT berfirman:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ‎

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”[5]

Al-Syaukani berkata: Suatu pendapat menyebut bahawa maksud ‘لَيْلًا’ adalah menyedikitkan masa ‘الإسراء’. Yakni, Allah SWT memperjalankan Baginda SAW hanya pada sebahagian malam, dari Mekah ke Syam yang biasanya ditempuh dalam waktu 40 hari (jika menggunakan pengangkutan biasa pada zaman tersebut).

Wajh al-dalalah (bentuk pendalilan) bahawa lafazلَيْلًا’ menunjukkan sedikitnya masa tersebut adalah bentuk nakirah yang menunjukkan sebahagian. Berbeza jika dikatakan ‘سَرَيْتُ اللَّيْلَ (aku berjalan malam tadi), kerana ini bermaksud perjalanan itu mencakupi seluruh malam tersebut.

Dalam menyatakan bahawa lafaz لَيْلًاmenunjukkan sebahagian, pengarang al-Kassyaf berdalilkan dengan qira’at Abdullah dan Huzaifah: ‘مِنَ اللَّيْلِ’ (pada sebahagian malam).[6]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Faedah penyebutan lafaz ‘لَيْلًا dengan bentuknya yang nakirah adalah bagi mengisyaratkan betapa sebentarnya waktu yang ditempuh dalam peristiwa isra’ tersebut. Hal ini juga bagi menunjukkan bahawa peristiwa isra’ itu berlaku pada sebahagian malam kerana bentuk nakirah menunjukkan erti ‘البعضية’ (sebahagian). Sedangkan jarak antara Mekah dengan Syam (yang mencakupi Palestin) ditempuh selama empat puluh malam jika menggunakan alat pengangkutan pada zaman dahulu.[7]

Justeru, berdasarkan tafsiran di atas, dapat difahami bahawa penggunaan lafaz لَيْلًاdalam bentuk nakirah menunjukkan betapa sebentarnya waktu yang ditempuh oleh Nabi SAW ketika malam Isra’ Mi’raj. Hal tersebut jelas merupakan salah satu mukjizat dan tanda kenabian bagi Nabi kita Muhammad SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam memahami syariat-Nya serta mengukuhkan keimanan kita dalam mengimani setiap apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

[1] Lihat al-Tashil li Ta’wil al-Tanzil – Tafsir al-Nahl dan al-Isra’ – oleh Syeikh Mustafa al-‘Adawi

[2] Surah al-Isra’: 1

[3] Lihat Tahrir al-Ma’na al-Sadid wa Tanwir al-‘Aql al-Jadid fi Tafsir al-Quran al-Majid, 14/10

[4] Lihat Zad al-Ma’ad, 1/57-58

[5] Surah al-Isra’: 1

[6] Lihat Fath al-Qadir, 6/470

[7] Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/20