Soalan
Assalamualaikum ustaz. Apa hukum bertaqlid kepada orang yang telah mati?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi Taqlid
Dari segi bahasa, taqlid diambil daripada perkataan al-qiladah (القلادة), iaitu sesuatu yang dikalungkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/367; Mukhtar al-Sihhah, hlm. 58; Usul al-Fiqh al-Islami oleh Amir Abd Aziz, hlm. 770)
Adapun taqlid dari segi istilah, kami nukilkan seperti berikut:
- Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, hlm. 542)
- Ibn al-Humam berkata, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770)
- Al-Amidi pula menjelaskan, ia adalah satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut. (Lihat al-Ihkam, 4/221)
Jumhur ulama usul pula mentakrifkan taqlid sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 772)
Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, disebut bahawa jumhur ulama’ usul menyatakan harus bertaqlid bagi seseorang bahkan wajib bertaqlid bagi orang awam. Ini kerana para Imam Mujtahid mungkin pandangannya betul atau salah, dan sekiranya pandangannya salah bukan menjadi satu dosa kepadanya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/160)
Majoriti para ulama berpendapat taqlid adalah wajib bagi orang awam. Ini seperti yang dikatakan oleh Ibn Abd al-Bar: Orang awam perlulah bertaqlid kepada para ulama mereka terhadap sesuatu perkara yang berlaku pada diri mereka. Ini kerana para ulama lebih jelas tentang hujah (dalil) dan hujah juga tidak sampai kepada mereka disebabkan tiada ilmu akan hal tersebut. (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti terjemahan PMWP, hlm. 205)
Hukum Bertaqlid kepada Orang yang Telah Mati
Dalam menjawab isu di atas, Ibn Hamdan dalam kitab Sifat al-Mufti wa al-Mustafti berkata:
Dibolehkan untuk bertaqlid kepada orang yang telah mati – menurut pendapat yang paling sahih dan masyhur dalam mazhab – Ini kerana, mazhab-mazhab tidak terbatal dengan kematian para pengasasnya. Oleh yang demikian, ia masih digunakan selepas kematian mereka dalam soal ijma’ dan khilaf.
Pendapat ini dikuatkan bahawa kematian seorang saksi sebelum hukum dan setelah perlaksanaan (hukuman) tidak menghalang hukuman berlaku dengan persaksiannya. Ini berbeza (keadaannya) dengan saksi yang fasik.
Pendapat kedua: Tidak boleh untuk bertaqlid kepada orang yang telah mati. Ini kerana kelayakannya telah hilang dengan kematiannya. Ia sama sahaja sekiranya dia menjadi seorang yang fasik (semasa hayatnya). Dan sekiranya dia hidup, menjadi kewajipan ke atasnya untuk memperbaharui ijtihadnya pada satu-satu mazhab. Boleh jadi ijtihad dan pandangannya akan berubah. (Lihat al-Tamhid, 2/276; Adab al-Mufti, hlm. 160; al-Muswaddah, 2/934; Usul Ibn Muflih, 4/1514; al-Tahbir, 8/3983; al-Durr al-Nadhid, hlm. 364; Manar Usul al-Fatwa, hlm. 210)
Ini (pendapat kedua) disebutkan oleh al-Qadhi dan selainnya sebagai ihtimal (ada kemungkinan). Disebabkan terdapatnya kemungkinan seorang yang telah mati itu tadi berubah ijtihadnya sekiranya dia masih hidup.
Aku katakan: (Ini sekiranya telah menjadi kemestian untuk seorang orang yang bertanya memperbaharui soalan dengan berlakunya kejadian yang kedua pada dirinya).
Dan golongan yang menyokong pendapat pertama mengatakan: (Asalnya adalah kekalnya ijtihad dan hukum).
Berkata Abu al-Khattab: “Sekiranya seorang mufti itu meninggal dunia sebelum peminta fatwa beramal dengan fatwanya, maka dia (mustafti) boleh beramal dengannya.”
Beliau berkata lagi: Ada pendapat lain mengatakan: Tidak boleh (untuk mustafti beramal dengan fatwa tersebut) sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. (Lihat al-Tamhid, 4/394; I’lam al-Muwaqqi’in, 6/202)
Sekiranya dia (mustafti) telah beramal dengannya, tidak boleh baginya untuk meninggalkannya dan berpindah kepada pendapat orang lain dalam kejadian (permasalahan) tersebut. (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 202-203)
Wallahu a’lam