#549: Tauhid Menurut Imam al-Ghazali

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh ustaz jelaskan berkenaan maksud tauhid? Dan saya ada juga terbaca berkenaan martabat-martabat tauhid, seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali. Boleh ustaz jelaskan tentang maksud tauhid dan penjelasan oleh Imam al-Ghazali itu? Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Tauhid

Istilah tauhid menurut bahasa berasal daripada perkataan arab “وحّد” yang bermaksud menyatukan sesuatu, dan perkataan tersebut menunjukkan sesuatu yang tunggal. Ia dengan erti tidak memiliki kesamaan dari sesuatu. Disebabkan itu, bagi menunjukkan keesaan Allah, maka orang Arab menyebut “اللهُ وَاحِدٌ” yang bermaksud Allah adalah Esa dan tidak ada yang menyamai-Nya dalam segala hal.

Dengan itu perkataan tauhid (توحيد) mengandungi makna pengetahuan tentang ke-Esaan Allah SWT, tiada tandingan, saingan dan yang sama dengan-Nya. Oleh itu, jika seseorang tidak berkeyakinan sedemikian – meng-Esakan Allah – maka sesungguhnya dia tidak bertauhid. (Lihat Tahzib al-Lughah, 5/192-198 dan Mu’jam Maqayis al-Lughah, hlm. 1084, al-Ta’rifat, hlm. 96)

Manakala kalimah tauhid menurut istilah adalah mengesakan Allah terhadap apa sahaja yang khusus bagi-Nya seperti ke-Ilahian, ke-Tuhanan dan nama-nama serta sifat-sifat-Nya. Penggunaan istilah dan maknanya terdapat dalam beberapa firman Allah SWT dalam al-Quran, antaranya firman-Nya:

قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ

MaksudnyaKatakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

(Surah al-Ikhlas (1-4)

Allah SWT turut berfirman:

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah: 163)

Imam al-Haramain al-Juwaini ketika menjelaskan makna tauhid menyebut, iaitu meyakini keesaan Allah SWT, yang penjelasannya ditujukan untuk membuktikan secara argumentatif keesaan Allah SWT dan bahawa tidak ada Tuhan selain-Nya. (Lihat al-Syamil fi Usul al-Din, hlm. 351)

Imam al-Junaid ketika ditanya berkenaan tauhid, lalu beliau menjawab: “Menunggalkan Yang Maha Tunggal dengan mewujudkan Wahdaniyah-Nya melalui kesempurnaan Ahadiyah-Nya, bahawa Dia-lah Yang Esa Yang tiada beranak dan tidak diperanakkan. Tidak ada sekutu, keraguan dan keserupaan bagi-Nya; tidak perlu ada upaya bertanya bagaimana; tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya. Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Lihat al-Luma’ oleh Abu Nasr al-Siraj al-Tusi – tahqiq Syeikh Abd al-Halim Mahmud dan Taha Abd al-Baqi Surur, hlm. 49)

Imam al-Qusyairi pula berkata: “Tauhid ialah kamu mengenali semua alam yang baharu tercipta dengan sebab Allah, yang berdiri dengan-Nya, manakala Dia-lah yang menjalankannya, menumbuhkannya dan mengekalkannya. Tiada satu pun sama ada zarrah atau sekecil-kecilnya dalam mengadakan dan menciptakan, kecuali daripada-Nya.” (Lihat Lata’if al-Isyarat, 2/23)

 

Hakikat Tauhid dan Martabatnya Menurut Imam al-Ghazali

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya’ Ulum al-Din telah menghuraikan berkenaan hakikat tauhid di mana ia dibahagikan kepada empat martabat seperti berikut:

  • Tauhid orang munafik: Mengucapkan ‘لا أله إلا الله’ dengan lidahnya, tetapi hatinya lalai daripada memahami maknanya.
  • Tauhid orang awam: Hatinya membenarkan makna lafaz sebagaimana orang awam Muslim membenarkannya. Inilah i’tiqad orang awam.
  • Tauhid muqarrabin: Orang yang menyaksikan lafaz itu dengan mencari kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang Allah SWT berikan. Ini adalah maqam mereka yang hampir kepada-Nya. Ini kerana dia melihat semua perkara itu bermacam-macam tetapi dia melihat kepelbagaian itu daripada yang Maha Esa (al-Wahid) dan Maha Memaksa (al-Qahhar).
  • Tauhid Siddiqin: Orang yang hanya melihat Allah SWT sebagai kewujudan yang mutlak. Ini yang dinamakan oleh ahli tasawuf dengan al-fana’ fi al-tauhid. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/212)

Menurut Imam al-Ghazali, martabat yang keempat inilah yang paling tinggi kerana orang tersebut tidak melihat dalam penyaksiannya kecuali satu, dia tidak melihat semua yang wujud itu banyak bahkan ia adalah satu. Inilah martabat yang paling tinggi dalam tauhid.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H