#1157: Keperluan Bersahur

Soalan:

Assalamualaikum. Dato’ Seri, saya rasa susah la nak bangun sahur. Perlu ke bangun?

Jawapan:

Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.

Kami telah menjawab soalan di atas dalam ruangan Ahkam Syar’iyyah tetapi untuk kali ini, sekali lagi kami jawab. 

Daripada Anas Bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

تَسَحَّرُوا، فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya : “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” 

Sahih  al-Bukhari (1923) dan Muslim (1095)

Perkataan  بَرَكَةً sepatutnya kita dambakan dalam menjalani ibadat puasa kerana sudah tentu ia melahirkan kebaikan yang banyak. Saya berpendapat seboleh mungkin saudara hendaklah bangun kerana kita mengharapkan doa Rasulullah SAW dengan perbuatan kita bersahur ini. Antara cara yang terbaik adalah memohon kepda keluarga mengejutkan kita. Sama ada suami isteri, anak-anak, adik, abang atau kakak, dan pastikan kita dapat bangun untuk bersahur. 

Di samping itu, kita ingatkan diri kita bukan semata-mata bersahur tetapi matlamatkan bersama untuk qiyamullail, solat witir, zikir, baca al-Quran, istighfar dan pelbagai ketaatan yang lain yang kita boleh ambil dalam waktu yang terbatas ini.

Selain daripada itu, dengan kita bangun bersahur peluang untuk kita menambahkan lagi kekuatan dan bekalan untuk kita menghadapi puasa akan menjadi lebih ringan dan mudah. Hal ini bukan semata-mata kerana makan tetapi psikologi diri kita sendiri menjadikan kita bertambah yakin untuk mengahdapi ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

Semoga kita sentiasa bersahur pada setiap hari sebagai mukadimah untuk puasa kita di samping untuk meraih keberkatan serta doa daripada Allah dan malaikat-Nya. Renungkanlah, sebuah hadith yang menggambarkan dengan jelas fadhilat dan keutamaan ibadah sahur khasnya untuk orang yang berpuasa. 

Daripada Abu Sa’id al-Khudri, sabda Rasulullah SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

Riwayat Imam Ahmad (11102), Ibn Abi Syaibah (9013) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8064). Syeikh Syuaib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sahih dalam takhrij al-Musnad.

Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang melaksanakan segala ibadat yang wajib dan sunat yang terkait dengan ibadat puasa dengan sesempurnanya. Natijahnya, kita mengharapkan daripada Tuhan Yang Maha Esa untuk mengurniakan kepada kita ketaqwaan. Amin.

Bertarikh: 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444H