Buku Fizikal
RM40.00 Original price was: RM40.00.RM30.00Current price is: RM30.00.
eBahth Ilmi
RM100.00 Original price was: RM100.00.RM60.00Current price is: RM60.00.
Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum. Bayar zakat fitrah kepada asnaf atau melalui pejabat zakat, mana lebih baik?
Jawapan:
Alhamdulillah, kami rafa’kan syukur kepada-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarganya, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini zakat hendaklah diberikan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya seperti firman Allah SWT dalam al-Quran al-Karim:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
Surah al-Taubah (60)
Hukum menunaikan zakat bagi orang Islam yang mencukupi syaratnya adalah wajib secara nas dan ijma’ sepertimana yang termaktub dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA:
هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ
Maksudnya: Kefarduan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin.
Sahih al-Bukhari (1454)
Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.”
Riwayat Muslim (984)
Merujuk hadis di atas telah dinyatakan kewajipan zakat ke atas setiap umat Islam serta tempoh masa untuk mengeluarkan zakat berkenaan. Menurut Imam Nawawi, lafaz رمضان dalam hadis berkenaan adalah merujuk kepada waktu wajib iaitu setelah tenggelamnya matahari serta telah masuk permulaan malam pertama aidilfitiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/58)
Para fuqaha’ bersepakat bahawa pemerintah mempunyai hak untuk mengutip dan mengagihkan zakat, serta pemerintah hendaklah mengurusnya secara sistematik dan tersusun. Ini supaya zakat tersebut dapat diuruskan dengan efisyen serta memastikan ia disalurkan kepada golongan asnaf yang benar-benar memerlukan. (Lihat Fiqh al-Zakat al-Qaradawi, 2/208)
Justeru, pemerintah wajib untuk melantik amil untuk memungut zakat. Rasulullah SAW dan para khalifah selepas Baginda telah menghantar wakil-wakil untuk memungut zakat. Ini kerana dalam kalangan masyarakat ada yang tidak mengetahui kewajiban untuk mengeluarkan zakat atau bakhil, maka wajib atas pemimpin untuk melantik wakil bagi memungutnya. (Lihat Kitab Al-Majmu’ Syarh Muhazzab, 6/168)
Mengikut undang-undang di Malaysia, kuasa memungut dan mengagihkan zakat diletakkan di bawah kuasa negeri. Tugas tersebut dijalankan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Justeru, tindakan mengagihkan sendiri zakat tanpa melalui wakil yang dilantik pemerintah adalah melanggar undang-undang di bawah Seksyen 16 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) dan boleh dikenakan hukuman jika sabit kesalahan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walaubagaimanapun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.
Semoga Allah SWT kurniakan kefahaman kepada kita dan seterusnya menajdi golongan yang tegar membayar zakat sama ada zakat harta atau zakat fitrah. Amin.
Bertarikh: 29 Mac 2023 bersamaan 7 Ramadhan 1444H