Buku Fizikal
eBahth Ilmi
Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seseorang berkorban bagi dirinya dan pahalanya dikongsi bagi keluarganya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”
Surah al-Hajj (36)
Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)
Bagi mengukuhkan jawapan ini, kami nyatakan dalam sebuah hadis Aisyah R.anha yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 1967) dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda:
بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.”
Berkata Imam al-Nawawi: “Ulama berpandukan hadis ini bagi membenarkan ibadah korban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafi’iyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.” (Lihat al-Minhaj, 1967)
Marilah sama-sama kita menempatkan diri kita termasuk dalam kalangan orang yang berkorban. Ini kerana fadhilat dan pahala korban cukup besar. Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
Riwayat al-Tirmizi (1493) Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib
Makna Hadith
Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya Aidiladha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat sepertimana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)
Semoga Allah SWT menerima ibadat korban kita. Amin.
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H