#1911: Memakan Guinea Pig (Tikus Belanda)

Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Saya hendak bertanya mengenai status halal tikus belanda atau dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai guinea pig. Adakah ia halal untuk dimakan? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Guinea Pig (Tikus Belanda)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tikus belanda ialah sejenis binatang mengerip yang rupanya seakan-akan arnab tetapi lebih kecil.[1] Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai guinea pig, manakala dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai khinzir ghiniya (خنزير غينيا).

Gambar di atas: Tikus Belanda

Tikus belanda ialah mamalia kecil di Amerika Selatan. Ia adalah sejenis cavy liar yang dijinakkan. Ahli sains menggunakan haiwan ini dalam eksperimen yang banyak ubat. Tikus belanda juga digunakan untuk penyelidikan dalam bidang kelakuan, keturunan, dan pemakanan. Tikus belanda menjadi haiwan kesayangan yang baik kerana ia jarang menggigit dan mudah dijaga.

Tikus belanda adalah rodensia, seperti beaver, tikus dan tupai. Tikus belanda panjangnya dari 25 sentimeter hingga 35 sentimeter dan beratnya lebih kurang 0.5 kilogram. la mempunyai kepala yang besar, telinga yang kecil dan kaki yang pendek. Kebanyakan tikus belanda yang semula jadi mempunyai bulu berwarna perang atau kelabu yang panjang, kasar. Tikus belanda yang dibiakkan oleh pembiak baka haiwan mungkin mempunyai bulu yang panjang atau pendek yang berbeza-beza teksturnya. Haiwan ini mungkin berwarna hitam, perang, merah, atau putih, atau gabungan warna- warna ini. Di sesetengah negara, tikus belanda adalah popular sebagai haiwan pertunjukan.

Cavy,[2] iaitu saudara kepada tikus belanda, hidup liar dalam kumpulan lima hingga 10 ekor. la membuat sarang di dataran berumput, di pinggir hutan, di paya dan kawasan berbatu. la menggali lubang dalam tanah atau di celah-celah batu-batan dan tinggal di situ pada waktu siang. Kadangkala ia mengambil alih lubang yang ditinggalkan oleh haiwan-haiwan lain. la aktif biasanya pada waktu malam, apabila ia memakan tumbuh-tumbuhan. la adalah pemalu dan mengeluarkan jeritan yang kuat bak tiupan wisel apabila ketakutan. Selepas mengawan, tikus belanda betina bunting selama lebih kurang 70 hari. Kebanyakan cavy liar betina melahirkan anak sebanyak satu hingga empat ekor. Dalam kurungan, sebanyak lapan anak tikus belanda boleh dilahirkan. Anak tikus belanda beratnya lebih kurang 85 gram semasa lahir dan cukup sifatnya. Ibunya akan menjaganya selama lebih kurang tiga minggu.

Tikus belanda bela jinak boleh hidup sehingga lapan tahun. Tikus belanda diburu sebagai makanan selama beratus-ratus tahun. Orang Asli Inca di Peru menjinakkan haiwan ini apabila penjelajah Sepanyol tiba pada tahun 1500-an. Pedagang Belanda kemudiannya membawa tikus belanda ke Eropah.

Tikus belanda kesayangan hendaklah dipelihara dalam sangkar yang baik pengudaraannya dan diberi makan bijiran kering, sayur hijau, dan rumput kering. Makanan dan air yang bersih hendaklah disediakan sepanjang masa. Gigi depan tikus belanda, sebagaimana gigi rodensia-rodensia lain, terus tumbuh sepanjang hayat. Oleh sebab ini, tikus belanda hendaklah diberikan seketul kayu yang tidak beracun untuk digerogot supaya giginya haus. Haiwan ini hidup paling sihat pada suhu ke atas daripada 18°C. la sensitif kepada kelembapan dan perubahan suhu dengan cepat. Dari segi pengelasan saintifik, tikus belanda tergolong dalam famili Caviidae dan genus Cavia. Kebanyakan tikus belanda kesayangan adalah C. Porcellus. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 21/482).

Gambar di atas: Tikus Belanda atau Guinea Pig di atas rumput kering

Manakala dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Alamiyyah (10/170) dinyatakan bahawa guinea pig ialah mamalia kecil Amerika Selatan, dan ia adalah spesies cavia liar (الكابيا الوحشي) yang dijinakkan. Guinea pig bukanlah babi pada hakikatnya, akan tetapi ia adalah termasuk dalam jenis rodensia sebagaimana beaver (القنادس), tikus dan tupai. Sudah tersebar dalam kalangan orang ramai bahawasanya guinea pig ini ialah haiwan yang dikenali sebagai al-wabar (الوَبَر). Wabar ialah haiwan yang saiznya sebesar arnab, ia menyerupai guinea pig, yang memakan tumbuh-tumbuhan.

Hukum Memakan Guinea Pig (Tikus Belanda)

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Secara umumnya, guinea pig atau tikus belanda tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Berkenaan kehalalan hasyarat (hukum memakannya), ringkasnya terdapat dua pendapat ulama. Pendapat pertama menyatakan semua hasyarat adalah haram untuk dimakan kerana dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor serta tabiat yang sihat menjauhinya. Inilah pendapat ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali. Mereka mengecualikan daripada hasyarat itu belalang kerana umat telah bersepakat mengenai kehalalannya.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali turut mengecualikan dhab kerana ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat yang halal untuk dimakan. Begitu juga ulama mazhab Hanbali mengecualikan jerboa dan wabar (hyrax) dan berpendapat kedua-duanya adalah halal untuk dimakan. Manakala ulama mazhab Syafi‘i menambah lagi (selain daripada jerboa dan wabar) dengan turut mengecualikan ummu hubain (trapelus), landak dan bint ‘irs (weasel), dan berpendapat ia adalah halal untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua menyatakan semua jenis hasyarat adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan mazhab Maliki, yang pada asalnya terdapat dua riwayat mengenainya. Kemudian mazhab telah bersetuju dengan pendapat ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/279).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya. Manakala Imam Malik pula berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Dawud (3798)

Manakala Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut mereka (Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya), makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat (termasuklah ular) iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, berdasarkan kepada penjelasan dan maklumat yang ada mengenai tikus belanda, begitu juga tidak ada yang menunjukkan kepada pengharamannya. Apatah lagi jika benar ia adalah tergolong dalam jenis wabar sebagaimana yang disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Alamiyyah, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah halal kerana ia adalah haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga ia tidak memiliki taring yang digunakan untuk memburu bagi mendapatkan makanan dan ia tidak termasuk dalam haiwan yang dianggap sebagai istikhbath (jijik dan kotor).

Imam al-Nawawi telah menaskan dalam kitabnya mengenai kehalalan wabar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/272). Selain itu, Ibn Qudamah al-Hanbali menyebutkan, diharuskan untuk memakan wabar. Ini juga merupakan pendapat ‘Ata’, Tawus, Mujahid, ‘Amr bin Dinar, al-Syafi‘i, Ibn al-Munzir dan Abu Yusuf. Manakala al-Qadhi berpendapat, ia adalah haram untuk dimakan dan ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah dan ashabnya kecuali Abu Yusuf. Menurut Ibn Qudamah, dalil yang menunjukkan kepada keharusan memakannya adalah ia hendaklah ditebus dengan dibayar ganti bagi sesiapa yang memburunya ketika dalam ihram atau di tanah haram. Tambahan lagi, ia adalah seperti arnab. Ia memakan tumbuh-tumbuhan dan kekacang. Oleh itu, diharuskan untuk memakannya seperti mana arnab. Selain itu, hal ini juga kerana hukum asalnya adalah diharuskan dan keumuman nas mengharuskannya, serta tidak ada nas yang menunjukkan kepada pengharamannya. Maka, atas dasar tersebut, ia dibenarkan untuk dimakan. (Lihat al-Mughni, 13/326).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tikus belanda atau guinea pig ini adalah halal untuk dimakan dan boleh berjual beli dengannya kerana ia kembali kepada hukum asal haiwan darat iaitu halal dan diharuskan selagi mana tidak ada yang menunjukkan kepada pengharamannya. Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya ia mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain.

Pada hakikatnya, ia bukanlah babi mahupun tikus yang diharamkan untuk dimakan, sebaliknya ia adalah haiwan yang berbeza sama sekali. Apatah lagi ia tergolong dalam jenis haiwan herbivor yang hanya memakan tumbuh-tumbuhan seperti bijiran kering, sayur hijau, dan rumput kering, dan bukan tergolong dalam jenis haiwan pemangsa yang memiliki taring untuk memburu bagi mendapatkan makanan.

Selain itu, guinea pig ini juga dikaitkan dengan wabar dan kebanyakan ulama berpendapat wabar adalah halal untuk dimakan seperti mana arnab. Tambahan lagi, dikatakan juga bahawa ia telah diburu sebagai makanan selama beratus-ratus tahun.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Tikus. Diakses pada 13 Jun 2023.

[2] Cavy ialah nama umum beberapa rodensia berkaitan di Amerika Selatan. Tikus belanda adalah cavy yang paling dikenali dan menjadi haiwan kesayangan yang baik kerana ia mudah dijaga. Cavy lain termasuk mara, yang juga dikenali sebagai kelinci Patagonia dan moko. Kebanyakan cavy mempunyai badan yang lebar, kaki yang pendek dan bulu kejur yang pendek. Tetapi mara mempunyai kaki yang panjang dan kurus. Beberapa jenis tikus belanda yang dijinakkan mempunyai bulu panjang. Semua cavy adalah pemakan tumbuhan. Dari segi pengelasan saintifik, Cavy tergolong dalam order Rodentia, famili Caviidae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/133).

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H