#1913: Memakan Daging Landak Mini (Hedgehog)

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan landak mini atau landak susu (Hedgehog)? Adakah hukumnya sama seperti mana landak biasa? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya — yakni makan dan ambil manfaat daripadanya, — bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk — yakni kotor dan jijik — seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu — yakni untuk dimakan dan diambil manfaatnya — adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Definisi Landak Mini (Hedgehog)

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, landak ialah sejenis binatang yang kulitnya berduri.[1] Seterusnya, Kamus Inggeris-Melayu Dewan mendefinisikan hedgehog sebagai landak kecil.[2]

Gambar di atas: Landak Kecil (Hedgehog)

Secara ringkasnya, landak kecil ialah nama dua belas spesies mamalia noktural kecil yang mempunyai bulu berduri padat. Landak kecil mencari makanan pada waktu malam. Ia memakan serangga, lintah bulan, cacing, mamalia kecil, ular, burung dan telur burung. Apabila datang cuaca sejuk, landak kecil berhibernat.

Landak kecil biasa Eropah mempunyai kepanjangan kira-kira 25 sentimeter. Telinga dan kakinya pendek, ekornya pendek dan hidungnya panjang. Duri keras bak jarum meliputi belakangnya dan melindungi haiwan ini daripada musuhnya. Apabila ia dalam bahaya, landak kecil menggulung dirinya menjadi seakan-akan bola. la membuat sarang daripada rumput dan daun kering. Anak landak kecil dilahirkan dengan duri di bawah kulit bagi mengelakkan kecederaan kepada ibunya. Landak kecil Eropah telah diperkenalkan ke New Zealand.

Landak kecil bertelinga panjang dan landak gurun di Afrika dan Asia mengorek lubang yang menjadi sarangnya semasa panas pada siang hari. Dari segi pengelasan saintifik, landak kecil tergolong dalam order Insectivora, famili Erinaceidae. Landak kecil Eropah ialah Erinaceus europeus. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 12/70).

Gambar di atas: Landak Mini/Landak Susu (Hedgehog

Ketika kami mengunjungi Hussin Fauzi Farm, di sana dinyatakan bahawa hedgehog juga dikenali sebagai landak mini atau landak susu. Nama saintifiknya ialah Erinaceinae. Ia tergolong dalam jenis haiwan mamalia berduri yang termasuk subfamili dari Ordo Erinaceomorpha. Ada 17 spesies yang dapat ditemukan di Eropah, Asia, dan Afrika. Ia mempunyai badan yang keras dan berduri tajam. Sekiranya diserang, ia akan menggulungkan badan menjadi “bola” yang berduri dan menyakitkan si pemangsa. Ia memakan serangga, cacing, lipan, siput, tikus, katak dan ular.

Dinamakan landak mini kerana caranya yang unik ketika mencari makanan. la akan merentasi tanaman dan di dalam tanah untuk mencari makanan. Dikenali juga dengan julukan hedgehog kerana ia mengeluarkan bunyi seperti khinzir ketika mengeluarkan duri. Ia bergantung kepada deria pendengaran dan bau, kerana deria penglihatan mereka adalah lemah.

 

Hukum Makan Landak Mini (Hedgehog)

Secara umumnya, sebenarnya kami telah membahaskan berkenaan hukum memakan landak dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #736 Makan Landak.[3]

Dalam jawapan kali ini, kami akan memperincikan lagi perbahasan mengenainya. Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Gambar di atas: Landak Besar (Porcupine)

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat beberapa istilah yang digunakan oleh para ulama yang merujuk kepada landak. Di antaranya, al-Qunfuz (الْقُنْفُذُ), al-Duldul (الدُّلْدُلُ) dan al-Nis (النِّيص). Secara umumnya, ketiga-tiga istilah ini sekalipun nampak berbeza tetapi sebenarnya ia merujuk kepada jenis-jenis landak.

Menurut al-Damiri kalimat “الْقُنْفذُ” boleh dibaca sebagai qunfuz atau qunfaz, dan ia merupakan haiwan darat. Nama julukannya (kunyah) ialah Abu Sufyan dan Abu Syauk. Manakala haiwan betinanya pula dipanggil sebagai Ummu Duldul. Kata jamaknya pula disebut sebagai qanafiz (القَنافِذُ). Ia juga dipanggil masa‘is (المَساعِسُ) kerana kekerapannya keluar pada waktu malam. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu qunfuz yang merujuk kepada landak yang terdapat di negara Mesir yang saiznya sebesar tikus.

Manakala satu jenis lagi ialah duldul yang merujuk kepada landak yang terdapat di negara Syam yang saiznya sebesar al-Kalb al-Qalati (anjing poodle). Dalam ruangan yang lain, beliau mendefinisikan duldul sebagai landak yang besar. Kemudian beliau menukilkan perkataan al-Jahiz yang menyatakan, perbezaan antara duldul dan qunfuz adalah seperti perbezaan antara lembu dan kerbau, bakhati dan ‘irab (iaitu jenis-jenis unta), serta juraz (rat) dan fa’ru (mouse). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 3/543-544; 2/361-362).

Seterusnya, al-Nis (النِّيص) pula diertikan sebagai sejenis landak yang besar oleh Dr. Muhammad bin Musa al-Dali.[4]

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum memakan landak. Menurut Imam al-Nawawi, arnab, musang, qunfuz (landak), dhab, wabar (hyrax) dan ibn ‘irs (weasel) adalah halal untuk dimakan dan tidak ada khilaf pada satu pun daripada haiwan-haiwan ini melainkan pada wabar dan qunfuz kerana ada dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i yang berpendapat kedua-dua haiwan itu adalah haram untuk dimakan. Namun pendapat yang sahih yang dinaskan, kedua-duanya adalah halal dan pendapat ini juga yang telah diputuskan oleh jumhur ulama.  Begitu juga duldul (landak besar) adalah halal dimakan mengikut pendapat yang sahih yang dinaskan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/11-12).

Menurut al-Damiri, Imam al-Syafi‘i menaskan mengenai kehalalan duldul (landak besar) dan Ibn Majah serta ulama selainnya telah meriwayatkan pendapat tersebut daripadanya. Manakala al-Rafi‘i menukilkan pendapat al-Syeikh Abu Muhammad yang memutuskan bahawa ia adalah diharamkan. Dalam al-Wasit, dinyatakan bahawa beliau telah menganggapnya termasuk dalam khaba’ith (jijik dan kotor). (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/362).

Kemudian, Imam al-Nawawi menegaskan sekali lagi dengan menyatakan bahawa qunfuz (landak) adalah halal dan tidak makruh memakannya di sisi ulama mazhab Syafi‘i, Malik dan jumhur ulama. Imam Ahmad pula berpendapat, landak haram untuk dimakan, manakala ashab Abu Hanifah pula memakruhkannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12). Namun, Ibn Qudamah menyebutkan, Imam Malik menghukumnya sebagai makruh. (Lihat al-Mughni, 13/317).

Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, landak termasuk dalam jenis haiwan yang halal dimakan kerana ia tidak dianggap jijik oleh orang Arab. Oleh itu, apa-apa yang dianggap sebagai makanan yang baik-baik oleh orang Arab, maka ia adalah halal. Begitu juga apa-apa yang dianggap buruk oleh mereka, maka ia adalah haram. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2794). Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanbali pula berpendapat, landak adalah haram untuk dimakan. Menurut Ibn Qudamah, ini juga merupakan pendapat Abu Hurairah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144; al-Mughni, 13/317).

Di dalam al-Syarh al-Mumti‘ dinyatakan bahawa pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik oleh orang Arab. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 15/25). Tambahan lagi, menurut Ibn Qudamah, landak diharamkan kerana ia menyerupai perkara yang diharamkan dan memakan hasyarat. Justeru, ia menyerupai juraz (tikus). (Lihat al-Mughni, 13/317).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa beliau ditanya berkenaan hukum memakan landak. Lalu beliau membaca ayat:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Kemudian seorang lelaki tua yang berada di sisinya berkata: Aku mendengar Abu Hurairah R.A berkata:

ذُكِرَ عندَ النَّبيِّ ﷺ، فقالَ: إنَّها خبيثَةٌ مِن الخبائِثِ

Maksudnya:Disebutkan di sisi Nabi SAW (berkenaan hukum landak), lalu Baginda bersabda: ‘Itu adalah sesuatu yang buruk di antara yang buruk.’

Maka, Ibn Umar pun berkata: “Jika Rasulullah SAW menyebutkan sedemikian maka ia adalah sebagaimana yang disebutkan.”

Riwayat Abu Daud (3799) dan Ahmad (8954)  

Seterusnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sanadnya adalah lemah. Dinukilkan daripada al-Baihaqi, beliau menyebutkan bahawa hadith ini tidak diriwayatkan melainkan dengan sanad ini, dan dalam sanadnya terdapat perawi yang lemah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/11).

Selain itu, Sayyid Sabiq juga ada menyebutkan bahawa hadith ini daripada riwayat Isa bin Numailah dan dia ialah seorang perawi yang dhaif — yakni lemah. Tambahan lagi, al-Syaukani mengatakan bahawa hadith ini tidak boleh mengkhususkan hukum landak daripada dalil-dalil umum yang menghalalkannya. Justeru, berdasarkan apa yang disebutkan oleh al-Syaukani ini, menunjukkan bahawa ia adalah halal untuk dimakan. Begitu juga Imam Malik, Abu Thaur, dinukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan al-Laith bahawa tidak mengapa memakannya kerana orang Arab menganggapnya sebagai makanan yang baik-baik dan hadith yang menyatakan ia termasuk dalam jenis benda yang buruk adalah lemah. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Hanafi pula berpendapat, hukum memakannya adalah makruh. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/275).

Kesimpulannya:

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa istilah qunfuz yang digunakan oleh para fuqaha lebih hampir kepada jenis landak yang dikenali sekarang sebagai hedgehog, landak kecil, landak mini, landak susu atau seumpamanya. Manakala istilah duldul atau al-Nis pula lebih hampir kepada jenis landak yang besar yang dikenali sekarang Porcupine.

Kami berpendapat landak tidak kira sama ada dari jenis qunfuz atau duldul termasuklah landak mini, landak susu dan hedgehog tergolong dalam haiwan yang halal untuk dimakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Lebih-lebih lagi landak  merupakan makanan yang dianggap baik-baik dan tidak dianggap jijik, sama ada oleh orang Arab mahupun masyarakat Islam di dalam negara kita.

Manakala hadith yang menyatakan mengenai pengharamannya pula tidak boleh dijadikan hujah kerana ia dinilai sebagai lemah. Justeru, hukum landak kembali kepada hukum asalnya iaitu harus dan halal untuk dimakan selagi mana tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya atau memudaratkan pemakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=landak&d=394756&. Diakses pada 13 Jun 2023.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Hedgehog&d=394756&#LIHATSINI. Diakses pada 13 Jun 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/736-makan-landak/. Diakses pada 13 Jun 2023.

[4] Lihat https://dr-aldaly.com/ar/3329. Diakses pada 13 Jun 2023.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H