Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf menganggu, saya hendak minta pendapat Ustaz. Alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan anak 2 hari lepas. Dapat anak lelaki, sekarang sedang mahu memilih nama anak yang sesuai.
Kami bincang nak bagi nama bermula dengan huruf F. Kedua anak lelaki saya nama Ahmad Fateh dan Ahmad Fayyadh. Nama yang dicadang untuk anak yang baru ni Ahmad Fabian Gibran. Kami sekeluarga amat berbesar hati jika Ustaz sudi memberi pendapat/cadangan. Terima kasih YDH Datuk. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah atas kelahiran dan kurniaan cahaya mata lelaki. Semoga ia menjadi anak yang soleh dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.
Sebagai mana yang kami ulangi berdasarkan kepada nas yang sering kami sebut hendaklah menamakan anak dengan nama yang baik. Sebagai mana saranan Rasulullah SAW dengan nama Abdullah, Abdul Rahman, Muhammad, Ahmad dan lain-lain.
Ini amat penting kerana nama adalah doa kepada pemilik nama di samping tafa’ul yang baik dan ia akan dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama tersebut. Justeru, perelokkanlah nama.
Berkenaan dengan cadangan nama Ahmad Fabian Gibran kami katakan:
- Nama Ahmad adalah salah satu daripada nama Rasulullah SAW yang terpuji.
- Fabian pula dikatakan nama seseorang lelaki yang berasal daripada Latin. Masyhur di kalangan barat, dikatakan Fabian musytaq diambil daripada Fabianos. Ia dianggap sebagai nama yang suci di sisi orang-orang Kristian kerana nisbah kepada Baba Fabian yang hidup pada kurun ke-3. Dengan sebab itu dalam bahasa Itali dipanggil dengan Fabiano dan dalam bahasa Perancis dipanggil dengan Fabiu.
- Mengikut sebahagian ahli bahasa, Fabian adalah nama yang memberi maksud kemuliaan, yang sentiasa bersedia, khusus, bahaya, bercahaya dan diyat.
- Berkenaan dengan makna Gibran biasanya disebut dalam bahasa Arab dengan Jibran yang memberi makna dikuatkan. Antara tokoh yang bernama Gibran yang terkenal ialah Jibran Khalil Jibran. Lahir 6 Januari 1883 M. Merupakan seorang penyair, pelukis dan penulis Lubnan yang terkenal.
Selepas memahami maksud, saya menyatakan tidaklah salah kita menamakan seperti itu dengan maksud dan makna yang baik-baik sebagai qasad atau niat serta tujuan kita. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H