Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Saya sedang solat, tetapi ketika saya sedang rukuk atau sujud, anak saya yang masih lagi memakai pampers panjat belakang saya. Jadi, bagaimanakah status solat saya kerana kemungkinan pampers anak saya ada najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, memikul atau mendukung kanak-kanak ketika sedang solat adalah dibolehkan. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan Baginda memikul (mendukung) Umamah binti Zainab binti Rasulullah SAW, dan dia merupakan anak kepada Abu al-‘As bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila Baginda sujud, Baginda meletakkannya, dan apabila Baginda berdiri, Baginda mendukungnya.”
Riwayat al-Bukhari (516) dan Muslim (543)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, ia menunjukkan akan keharusan membawa kanak-kanak masuk ke dalam masjid. Demikian juga harus menyentuh kanak-kanak kecil dan ia tidak memberi kesan kepada taharah (kesucian). Begitu juga sahnya solat bagi sesiapa yang memikul anak Adam, dan juga haiwan yang suci. (Lihat Fath al-Bari, 1/703).
Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan, hadith ini terdapatnya dalil bahawa sahnya solat seseorang yang memikul anak Adam, atau haiwan yang suci seperti burung ataupun kambing dan selainnya. Selain itu, pakaian dan jasad anak-anak kecil adalah bersih sehinggalah dikenalpasti kenajisannya. Sesungguhnya perbuatan atau pergerakan yang sedikit itu tidak membatalkan solat, serta pergerakan itu sekiranya dilakukan berkali-kali akan tetapi tidak secara berturutan, bahkan dilakukan secara berpisah (berasingan) tidak membatalkan solat. Selain itu, pada hadith ini juga terdapat petunjuk akan sifat tawadhu‘ bersama dengan kanak-kanak dan keseluruhan golongan yang lemah, menyayangi mereka serta saling berlemah lembut kepada mereka.
Menurut mazhab Imam al-Syafi‘i, hadith ini menjadi dalil bahawa dibolehkan untuk memikul kanak-kanak kecil baik lelaki atau perempuan, dan juga haiwan yang suci di dalam solat fardhu dan juga solat sunat. Ia boleh dilakukan oleh imam dan juga makmum, serta orang yang solat sendirian. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 5/198).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya para ulama meletakkan syarat anak yang didukung itu tidak menanggung najis. Dalam erti kata lain, jika dia mengetahui bahawa anaknya itu sedang menanggung najis, maka tidak sah solat dalam keadaan mendukungnya. Hal ini kerana syarat sah solat ialah suci daripada hadas dan najis. Namun begitu, sekiranya dia tidak mengetahui bahawa anaknya sedang menanggung najis, maka pada asalnya anaknya itu kekal suci dan boleh untuk mendukungnya sebagaimana hadith Nabi SAW mendukung Umamah.
Menurut Syams al-Haq ‘Azim Abadi, hadith ini merupakan dalil bahawa baju anak kecil dan badan mereka itu suci selagi belum diketahui kenajisannya. Selain itu, dalam hadith ini juga menjadi dalil bahawa amalan sedikit itu tidak membatalkan solat. Begitu juga hadith ini merupakan dalil bahawa bolehnya anak kecil masuk ke dalam masjid. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 3/133).
Bahkan Mantan Mufti Besar Arab Saudi juga ada menyebutkan, jika dia mengetahui bahawa anaknya itu menanggung najis, maka dia tidak boleh mendukungnya ketika solat. Manakala jika dia berada dalam keadaan bersih, maka tidak mengapa. Hal ini kerana telah thabit bahawa Rasulullah SAW solat dalam keadaan mendukung cucu Baginda bernama Umamah, dan Baginda solat sedemikian dan dilihat oleh orang ramai. Apabila Baginda sujud, Baginda meletakkannya dan apabila Baginda bangun, Baginda mendukungnya. Para ulama mengatakan bahawa kemungkinan Baginda mendukungnya dalam keadaan bersih dan suci. Sebagai langkah berhati-hati adalah dengan tidak mendukungnya ketika solat kecuali diketahui bahawa anaknya itu berada dalam keadaan bersih dan suci. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 7/314).
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa sekiranya anak yang masih memakai pampers memanjat atau naik ke atas saudara ketika sedang rukuk atau sujud, dan solat yang didirikan itu tetap sah. Hal ini kerana ia kembali kepada hukum asalnya iaitu anak tersebut serta pakaiannya (pampersnya) kekal suci selagi mana tidak diketahui secara pasti ia bernajis. Ini bertepatan dengan kaedah:
الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ
Maksudnya: “Hukum asal sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/13).
Begitu juga dengan kaedah:
اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).” (Lihat al-Qawaid li al-Hisni, 1/204).
Berdasarkan kaedah ini, jika seseorang itu syak berkenaan kesucian pampers anaknya itu sama ada telah bernajis ataupun tidak, maka syak yang datang itu sedikit pun tidak menjejaskan kesucian atau hukum asal pampers tersebut yang asalnya sudah diyakini akan kesuciannya.
Namun, jika diketahui secara pasti bahawa pampers anaknya itu sudah bernajis, solatnya juga tidak batal dengan sebab anak itu panjat ke atasnya. Hal ini kerana perkara tersebut diluar daripada kawalannya. Akan tetapi dia hendaklah segera menurunkan anaknya itu jika dia boleh melakukannya dan tidak memudaratkan anaknya. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْرًا لِّأَنفُسِكُمْ ۗ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-perintah-Nya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Al-Sa‘di menyebutkan dalam tafsirnya, Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan (1/868) bahawa Allah SWT memerintahkan para hamba-Nya untuk bertaqwa kepada-Nya iaitu dengan mematuhi segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Oleh itu, ayat ini menunjukkan bahawa segala kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba akan gugur daripadanya. Begitu juga, jika seorang hamba itu mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu pada sebahagian kewajipan yang lain, maka hendalah dia menunaikan kewajipan tersebut mengikut kadar kemampuannya dan tergugur daripadanya apa yang dia tidak mampu sebagaimana sabda Nabi SAW:
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
Riwayat al-Bukhari (7288)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H