#1934: Tinggal Solat Jumaat Tiga Kali

Soalan:

Saya ada baca hukum dosa tinggal solat Jumaat lebih 3 kali. Persoalan saya, ialah ayat “lebih 3 kali”. Adakah ia bermaksud dosa ketika 3 kali atau dosa ketika 4 kali? Sebab saya baca semua artikel berkenaan hukum tinggal solat jumaat ni akan ada “lebih 3 kali”.  Mengikut kefahaman saya, ayat matematik “lebih 3 kali” bermula pada 4, jika ayat “lebih 2 kali” bermaksud bermula pada 3.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

Surah al-Jumu‘ah (9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198) 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan jika seseorang itu meninggalkan solat jumaat sebanyak 3 kali berturut-turut tanpa keuzuran yang dibolehkan syarak, maka hukumnya adalah berdosa besar. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ تَرَكَ ثَلاَثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan tiga kali solat jumaat kerana mengambil mudah akannya, nescaya Allah akan mengunci jantung hatinya.

Riwayat Abu Daud (1052)

Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Jabir bin Abdillah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.

Riwayat Al-Nasa’ie (1370)

Syeikh Badruddin al-‘Aini menyatakan bab ini menjelaskan tentang kerasnya ancaman bagi perbuatan meninggalkan solat Jumaat tanpa sebarang keuzuran. Beliau menambah, perkataan تهاونا بها membawa masud : ‘’(Meninggalkannya) kerana malas serta culas dalam melakukannya’’. (Lihat Syarah Abi Daud, 4/371).

Berdasarkan zahir nas di sini disebut 3 kali, dengan maksud kali ke-3 adapun kali ke-4 adalah perkara yang sudah pasti. Di mana Allah SWT akan mengunci mati jantung hatinya. 

Maka jelas kepada kita bahawa ancaman yang dimaksudkan di dalam hadith di atas merupakan ke atas mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan di syarak. Manakala, jika seseorang meninggalkan solat Jumaat disebabkan ada keuzuran, maka dia tidak termasuk dalam ancaman tersebut. Sebaliknya, diberikan ganjaran sama seperti yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya : Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.

Riwayat Al-Bukhari (2996)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

 

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H