#1935: Ibadah Korban untuk Pesakit Stroke

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Keluarga terdekat saya ditimpa stroke dan tidak sedarkan diri. Bolehkah kami melakukan korban atas nama beliau tanpa meminta izin disebabkan beliau tidak sedarkan diri? Mohon Pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menyembelih korban adalah suatu ibadah yang telah disyariatkan berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’. Pensyariatan ini telah berlaku sejak tahun ke-2 Hijriyah. Ia adalah tahun di mana turut disyariatkan solat dua hari raya
(Aidil Fitri dan Aidil Adha), dan juga tahun disyariatkan zakat harta (mal). (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/75 dan Fiqh al-Udhiyah, hlm. 7)

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

Surah al-Kauthar (2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)  

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ‏.‏

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing dan aku juga melakukan korbang dengan dua ekor kambing.”

Riwayat al-Bukhari (5553)

Hukum melaksanakan korban ini adalah sunat Muakkad (sangat dituntut) bagi setiap muslim yang berkemampuan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/478)

Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ berbeza pendapat tentang kewajiban korban ke atas orang yang berkemampuan. Sebahagian besar ulama’ berpendapat bahawa korban itu sunat bagi orang yang mampu. Jika tidak melakukannya tanpa sebarang keuzuran, maka dia tidak berdosa dan tidak harus menggantikannya. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa korban itu wajib ke atas orang yang mampu. (Lihat al-Minhaj, 13/110)

Melakukan Korban Untuk Orang Lain

Setiap amalan yang dilakukan itu diberi ganjaran mengikut apa yang diusahakan. Ini kerana pada asal ibadah, tidak boleh dilakukan oleh orang lain, melainkan terdapat dalil yang membolehkannya. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

(Surah al-Najm: 39)

Berdasarkan persoalan di atas, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya: “Mengikut pandangan ulama’ al-Syafi’i, tidak boleh melakukan ibadah korban selain daripada mendapat keizinannya. Begitu juga, ke atas orang yang meninggal dunia tidak boleh melainkan sekiranya ia diwasiatkan, maka barulah diharuskan”. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2743)

Imam al-Nawawi berkata: “Sekiranya seseorang itu melakukan ibadah korban ke atas orang lain tanpa keizinan daripadanya, maka tidak terlaksana ibadah korban ke atasnya”. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 8/406)

Selain itu, Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata: “Sesungguhnya tidak sah melakukan ibadah korban ke atas seseorang yang hidup melainkan mendapat keizinan daripadanya. Hal ini kerana ibadat secara asalnya tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan di datangkan dengan dalil. Terutamanya apabila tidak mendapat keizinannya. Akan tetapi sekiranya seseorang daripada isi rumah itu melakukan korban maka tertunai sunat kifayah ke atas keluarga yang lain walaupun mereka tidak mengetahuinya”. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/490)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya orang itu mewasiatkan untuk melakukan ibadah korban, maka dibenarkan untuk melakukan korban untuknya, Namun sekiranya dia tidak mewasiatkannya, maka tidak dibenarkan untuk melakukannya. Hal ini kerana korban merupakan ibadah. Dan ibadah pada asalnya tidak dilakukan oleh orang lain melainkan dengan dalil membenarnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 2/490)

Sebaiknya kami nasihatkan untuk saudara melakukan ibadah korban ke atas diri saudara sendiri beserta dengan niat untuk disedekahkan pahala kepada saudara yang terdekat. Hal ini seperti yang dilakukan Baginda SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Baginda SAW menyebut ketika melakukan sembelihannya:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Jika sekiranya orang yang stroke dan tidak sedarkan diri itu merupakan tanggungannya seperti anaknya, maka dibolehkan untuk berkorban bagi pihak anaknya. 

Akhir kalam, kami nukilkan di sini kenyataan Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti: “Janganlah meninggalkan ibadah korban jika seseorang itu mampu untuk menunaikannya. Ini kerana Nabi SAW sendiri memerintahkan: “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu.” Selayaknya bagi mereka yang mampu untuk tidak meninggalkan ibadah korban. Ini kerana dengan berkorban, ia akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan. Wallahu a’lam. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/618) 

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H