Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, adakah boleh seorang wanita membaca ayat Kursi dan surah-surah pendek yang terkandung dalam zikir pagi dan petang seperti buku Hisnu al-Muslim semasa dalam haid?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami nyatakan terlebih dahulu beberapa larangan yang disebutkan oleh ulama’ Mazhab al-Syafi‘i bagi wanita yang didatangi haid, antaranya adalah:
- Menunaikan solat, sama ada solat fardhu atau solat sunat.
- Tawaf.
- Puasa.
- Memegang mushaf Al-Quran.
- Membaca Al-Quran
- Duduk di ruangan masjid.
- Melintasi masjid jika takut mengotorkan masjid.
- Bergaul bersama suami.
(Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah, hlm. 172-175)
Seperti yang dinyatakan di atas, antara perkara yang dilarang oleh wanita ketika haid adalah membaca al-Quran.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ
Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”
Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596). Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan sanad hadith ini dhaif.
Meskipun begitu, terdapat pandangan yang mengatakan bahawa wanita yang didatangi haid boleh membaca beberapa ayat al-Quran dengan niat zikir dan wirid harian.
Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ bersepakat tentang keharusan tasbih, tahlil, dan semua zikir selain al-Quran bagi wanita haid dan wanita nifas. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/357)
Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba‘isyan menyatakan ketika mensyarahkan kalam Imam Ibn Hajar al-Haitami mengatakan bahawa, jika seseorang membaca ayat al-Quran dengan niat berzikir, khutbah, cerita, atau sebagai perlindung, maka tidaklah dilarang. (Lihat Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 130)
Dr Nuh Ali Salman mengatakan di dalam fatwanya di Dairah al-Ifta’ al-Urduniyyah bahawa dibolehkan bagi wanita haid untuk membaca ayat al-Quran dengan niat zikir perlindungan daripada keburukan, seperti membaca ayat kursi dan al-Mu‘awwizatain (iaitu surah al-Falaq dan surah al-Nass).[1]
Kesimpulan
Kami katakan, tidak menjadi masalah bagi seorang wanita yang haid untuk membaca potongan ayat al-Quran yang terdapat di dalam buku zikir Hisnu al-Muslim, al-Mathurat dan sebagainya, dengan syarat dia berniat dengan bacaan tersebut sebagai zikir harian.
Sekiranya dia membaca ayat-ayat tersebut dengan niat mendapatkan pahala bacaan al-Quran, maka ia tidak dibenarkan berdasarkan dalil yang jelas seperti disebutkan. Sebaiknya, lakukanlah amalan lain yang tidak terdapat larangan syara‘ buat mereka, seperti bersedekah, menolong ibu bapa dan sebagainya.
Wallahua‘lam
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H