#1939: Adakah Akan Dibentangkan Buku Catatan Amalan Di Akhirat Kelak?

Soalan:

Assalamualaikum Dr Zulkifli. Saya ingin bertanya satu perkara iaitu adakah dosa atau amal buruk yang dilakukan oleh manusia yang telah bertaubat dan diampunkan oleh Allah SWT ketika di dunia, akan tetap dibentangkan ketika proses hisab di padang mahsyar? Mohon pencerahan dari Ustaz. Jazakallahukhairankathira.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

(Surah al-Taubah: 105)

Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Setiap manusia akan mendapat balasan atas perbuatannya. Jika perbuatan itu baik, balasannya juga baik. Jika perbuatan itu buruk, balasannya juga buruk. Amalan perbuatan itu dilihat dan disaksikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang beriman.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/53)

Firman Allah SWT lagi :

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Al-Sobuni berkata: “Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka.” (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”

Riwayat al-Tirmizi (747) Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib.

Daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ذَانِكَ يَوْمَانِ تُعْرَضُ فِيهِمَا الْأَعْمَالُ عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Dua hari tersebut akan dibentangkan amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku lebih suka jika amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.”

Riwayat al-Nasa’ie (2358)

Antara makna hadith di atas adalah setiap amalan akan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT, sama ada amalan tahunan yang diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan juga amalan mingguan yang akan diangkat pada hari Isnin dan Khamis. (Lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12/313)

Menjawab bagi persoalan di atas, setelah meneliti kalam ulama kami dapat nyatakan di sini ulama ada berbeza pendapat dalam isu ini sebagaimana berikut : 

Pendapat pertama : Sesiapa yang melakukan perbuatan maksiat kemudian dia bertaubat maka dosanya itu tetap akan ditulis dalam catatan amalan dan dibentangkan. Begitu juga dengan taubat ia juga akan tercatat dalam buku amalan.

Al-Hafiz Ibn Rajab Hanbali menukilkan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama menyatakan : Dosa-dosa yang dilakukan tidak akan terhapus dalam catatan amalan dengan bertaubat bahkan orang yang melakukan dosa akan membacanya sendiri pada hari kiamat. ( Lihat Tafsir Ibn Rajab Hanbali, 1/659 ). Firman Allh SWT :

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ‎﴿٧﴾‏ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ 

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).

(Surah al-Zalzalah:7-8)

Pendapat Kedua : Terhapusnya dosa seseorang itu dari catatan amalannya selepas dia bertaubat.

Firman Allah SWT:

إِلَّا مَن تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَٰئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Furqan:70)

Al-Qurtubi menyatakan : Perbuatan buruk tidak membatalkan perbuatan baik, sebaliknya perbuatan baiklah yang menghapuskan perbuatan buruk, itu adalah dengan anugerah dan limpahan rahmat Allah.”  (Lihat al-Jami’ Li Ahkami al-Quran, 3/295)

Diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda  :   

وأتبعِ السَّيِّئةَ الحسنةَ تمحُها

Maksudnya“Dan iringilah perbuatan kejahatan dengan perbuatan kebaikan nescaya ia (yang baik) akan menghapuskannya.”

Riwayat Tarmizi 1987, Syuai’b Arna’ut menilai hadith ini sebagai hasan dalam Takhrij al ‘Awasim Wal Qawasim, 9/64

Zahir hadith ini menunjukkan bahawa keburukan yang dilakukan akan dihapuskan dalam catatan amalan dengan perbuatan baik. Abdullah Ibn Umar R.Anhuma juga menyatakan :  Barangsiapa yang mengingati kesalahan yang telah dilakukan dan hatinya ketakutan terhadapnya, maka hendaklah dia memohon ampun kepada Allah. Oleh yang demikian  Allah tidak akan menghisab kesalahan tersebut sehingga Dia  menghapuskannya. (Lihat Jami’ Ulum Wal Hikam, 2/536 )

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :

ألا أدُلُّكُمْ على ما يَمْحُو اللهُ به الخَطايا، ويَرْفَعُ به الدَّرَجاتِ؟ قالُوا بَلى يا رَسولَ اللهِ، قالَ: إسْباغُ الوُضُوءِ على المَكارِهِ، وكَثْرَةُ الخُطا إلى المَساجِدِ، وانْتِظارُ الصَّلاةِ بَعْدَ الصَّلاةِ، فَذَلِكُمُ الرِّباطُ

Maksudnya : “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua sesuatu yang dapat menghapus kesalahan dan menaikkan darjat?” Para sahabat menjawab, “Tentu, wahai Rasulullah.” Beliau bersabda, “Berwuduk dengan sempurnanya pada keadaan dan situasi yang menyulitkan serta tidak disukai, memperbanyak langkah kaki menuju ke masjid dan menunggu solat (fardhu) setelah solat (fardhu). Yang demikan itulah dinamakan ribath.”

Riwayat Muslim (251)

Justeru, dapat kami nyatakan di sini dosa-dosa boleh terhapus dengan melakukan kebaikan. Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memperbaiki diri dan melakukan kebaikan serta menjauhi segala larangan Allah SWT supaya apa yang tercatat dalam buku amalan itu adalah perkara-perkara yang baik.

Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H