#1940: Membuang Tahi Lalat Pada Wajah

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membuang tahi lalat? Anak perempuan saya macam tiada keyakinan diri bila di sekolah, sering memakai mask untuk sorokkan tahi lalat dia dan dia sering menangis bila ada kawan bertanya tentang tahi lalat dia, pernah juga dia diejek tahi lalatnya besar sehinggakan dia tidak mahu ke sekolah disebabkan oleh perkara tersebut.  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Tali Lalat

Tahi lalat adalah bintik coklat kecil, sedikit kehitaman, dan terletak di atas permukaan kulit. Tahi lalat muncul akibat pengelompokan sel-sel melanosit, sel yang menghasilkan pewarna kulit. Selain berwarna coklat atau lebih gelap, ada juga tahi lalat yang sama persis dengan warna kulit. Bentuknya bulat, bujur, menonjol, atau rata. Tekstur permukaan tahi lalat juga berbeza-beza, ada yang licin atau kasar, malah ada juga yang tumbuh rambut.

Tahi lalat biasanya dimiliki oleh orang yang berkulit cerah berbanding mereka yang berkulit gelap. Secara amnya tahi lalat muncul semasa 30 tahun pertama kehidupan. Namun, ada juga tahi lalat yang muncul sejak lahir. Perkara yang perlu ditekankan, bilangan dan penampilan tahi lalat boleh berubah dengan perubahan hormon. Sebagai contoh, bilangan tahi lalat boleh meningkat apabila anda memasuki usia remaja. Selain itu, warna tahi lalat juga cenderung menjadi lebih gelap pada wanita hamil.

Sebagaimana yang telah disebutkan, tahi lalat muncul kerana pengelompokan sel yang menghasilkan pewarna kulit yang dipanggil melanosit. Bahan yang tidak menyebar itu akan membentuk pigmen untuk menutupi permukaan kulit.

Tahi lalat umumnya tidak berbahaya, tetapi keadaan ini boleh mengurangkan keyakinan diri sesetengah orang kerana penampilan mereka yang mengganggu. Sementara itu, tahi lalat berbahaya adalah tahi lalat yang menjadi tanda kanser kulit. Lebih tepat lagi kanser kulit yang dipanggil melanoma.[1] Ciri-ciri tahi lalat melanoma ini sangat berbeza jika dibandingkan dengan tahi lalat biasa. Penampilan tahi lalat melanoma adalah tidak simetri, tepinya agak kasar dan tidak rata, dan umumnya terdiri daripada dua atau tiga warna. Begitu juga diameternya umumnya lebih besar. Dalam kebanyakan kes, tahi lalat melanoma terasa gatal, kadangkala ia boleh berdarah.

Seseorang yang mempunyai keadaan berikut mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat melanoma, di antaranya:

  • Mempunyai tahi lalat biasa lebih daripada 50 buah.
  • Sering terdedah kepada cahaya matahari. Sinaran UV boleh merosakkan tisu kulit. Ini boleh meningkatkan risiko mendapat kanser kulit.
  • Mempunyai sejarah keluarga melanoma.
  • Sering mengambil ubat, seperti antidepresan atau antibiotik. Ubat jenis ini boleh mengurangkan prestasi sistem imun dan menjadikan kulit lebih sensitif kepada cahaya matahari.
  • Mempunyai tahi lalat dengan bentuk yang luar biasa. Anda perlu berhati-hati jika anda mempunyai tahi lalat yang lebih besar daripada tahi lalat biasa dengan warna coklat gelap di tengah atau dengan warna yang lebih terang pada tepi yang tidak rata.
  • Pernah mengalami melanoma sebelum ini.
  • Mempunyai kulit sensitif yang mudah terbakar sinar matahari.[2]

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  •     Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  •     Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  •     Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Soleh al-Fauzan ada membahaskan dalam kitabnya berkenaan hukum menghilangkan parut, tanda lahir dan pigmentasi, yang mana termasuklah juga di dalamnya tahi lalat. Beliau membahaskan berkenaan perkara ini dengan mambahagikannya kepada tiga keadaan atau situasi iaitu:

Keadaan Pertama: Seseorang itu takut ia akan berubah menjadi tumor kanser yang berbahaya. Perkara tersebut jika dia mendapat sebahagian tanda yang menunjukkan perubahannya kepada kanser. Dalam situasi ini, dia dibenarkan untuk menghilangkan parut dan pigmentasi tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

  • Membiarkannya kekal berada di tubuh mendedahkan tubuh kepada bahaya yang teruk seperti terkena kanser. Ia adalah kemudaratan yang teruk yang memberi gejala yang serius kepada badan, dan boleh membawa kepada kematian. Sedangkan syarak datang untuk memelihara nyawa. Lebih-lebih lagi, kaedah fiqh menyebutkan:

الضَّرَرُ يُزَالُ

Maksudnya:Kemudaratan itu mestilah dihilangkan.”

  • Menghilangkan pigmentasi dan parut dalam kes ini bukanlah bertujuan untuk kecantikan dan begitu juga ia tidak melibatkan perubahan ciptaan Allah SWT yang dilarang. Sebaliknya, ia bertujuan untuk rawatan dan hasil daripada prosedur tersebut melalui cara pembedahan kosmetik tidak memberi kesan apa-apa kerana itu bukanlah tujuan asal yang dikehendakinya, tetapi ia adalah sesuatu yang sabit dengan sebab pembedahan atau prosedur rawatan tersebut (yakni yang mengikutinya).

Keadaan kedua: Kewujudan perkara-perkara itu mengganggu badan dan dianggap suatu keaiban sebagaimana jika saiznya yang besar dan jelas pada wajah, atau ia dilihat sebagai pelik menurut uruf suatu negara, kabilah dan bangsa. Misalnya, tanda lahir yang berdarah, pigmentasi yang jelas kelihatan, dan parut besar disebabkan oleh beberapa prosedur pembedahan serta tahi lalat menurut sesetengah negara dan uruf. Dalam situasi ini, dia dibenarkan untuk menghilangkannya — yakni perkara-perkara tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

  • Parut, tanda lahir dan pigmentasi ini, dalam kes ini dianggap sebagai suatu keaiban (kecacatan) dan kejadian yang bukan menurut kebiasaannya (normal), lalu menghilangkannya melalui pembedahan termasuk dalam perkara merawat keaiban, menghilangkan kecacatan dan adanya keperluan untuk perkara itu dilakukan. Jadi, ia tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Hal ini kerana ia tidak dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan semata-mata. Sebaliknya, ia adalah untuk menghilangkan keaiban pada badan yang menyebabkan kecacatan yang jelas. Justeru, dalam prosedur ini, sebenarnya telah mengembalikan kejadian yang tidak normal kepada kepada kejadian asalnya (normal), dan bukannya mengubahnya (dari kejadian asal sebagaimana kebiasaannya kepada yang lain). Sebagaimana yang kami telah nyatakan sebelum ini bahawa pengubahan yang diharamkan ialah “Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”
  • Sebahagian fuqaha berpendapat, harus atau boleh untuk menghilangkan kalaf[3] dan seumpamanya pada muka. Ibn al-Jauzi setelah menyebut berkenaan hukum mengupas muka menyatakan, “Adapun ubat-ubatan yang menghilangkan kalaf dan memperelokkan wajah bagi pasangan, maka aku berpendapat ia tidak mengapa. Kalaf adalah satu bentuk pigmentasi. Ini menunjukkan kepada prinsip berhadapan dengan perkara yang mendatang secara tiba-tiba dengan segala cara yang mungkin, yang tidak melibatkan bahaya, dan pembedahan plastik adalah cara yang berkesan untuk membuangnya tanpa bahaya  apabila ia dilakukan di bawah pengawasan pakar perubatan.
  • Pembedahan ini menghilangkan kerosakan moral akibat daripada keaiban ini yang mencacatkan badan, dan boleh menyebabkan pemiliknya menderita penyakit mental dan berkeinginan untuk berkahwin serta bergaul dengan orang lain.
  • Qiyas ke atas apa yang dinyatakan oleh para fuqaha berkenaan keharusan menghilangkan atau membuang sebahagian daripada lebihan atau tambahan yang berlaku dalam badan. Jadi, sebagaimana dibolehkan perkara itu, maka dibolehkan juga pembedahan ini kerana ia menghilangkan kecacatan atau keaiban yang mendatang yang tidak terdapat pada ciptaan asal (kejadian normal).

Keadaan ketiga: Kewujudan perkara-perkara itu tidak dianggap suatu keaiban atau kecacatan pada badan khususnya pada wajah. Sama ada disebabkan ia terlalu kecil tidak kelihatan, atau kerana ia sesuatu yang dianggap biasa menurut uruf suatu negara, kabilah, atau bangsa seperti tahi lalat yang kecil dan parut yang tidak kelihatan. Dalam situasi ini, dia tidak dibenarkan untuk menghilangkannya (yakni perkara-perkara tersebut) dengan pembedahan kosmetik (plastik).

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebab-sebab yang berikut:

  • Kewujudannya pada badan tidak dianggap suatu keaiban mahupun kecacatan dalam situasi ini. Oleh itu, prosedur atau pembedahan untuk membuangnya itu tidak mencapai darurat atau adanya keperluan. Bahkan, terdapatnya kemungkinan ia termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT demi mencari atau mendapatkan kecantikan tambahan, maka terpakailah ketika itu nas-nas yang melarang pengubahan ciptaan Allah SWT.
  • Pembedahan untuk menghilangkan parut, pigmentasi dan seumpamanya ini, tidak terlepas daripada komplikasi dan kesannya pada kulit. Apatah lagi pada asalnya haram jasad manusia yang terpelihara dan tidak boleh mencederakannya dengan memotong dan melukakannya melainkan adanya keperluan. Jadi, pembedahan dalam kes ini, tidak terdapat padanya sebarang keperluan. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 302-305).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat seseorang itu boleh atau diharuskan untuk membuang tahi lalat yang terdapat pada badannya terutamanya pada wajahnya, lebih-lebih lagi jika tahi lalat itu bersaiz besar dan menyebabkan diri seseorang itu dilihat pelik. Hal ini kerana perbuatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan, sebaliknya bertujuan bagi menghilangkan keaiban pada wajahnya dengan mengembalikannya semula kepada kejadiannya yang asal (normal). Apatah lagi, tahi lalat yang besar pada wajah seseorang, di samping ia menjadi suatu keaiban, boleh mengurangkan keyakinan diri sebahagian orang serta menjadi bahan ejekan.

Selain itu, sebagaimana yang diketahui tahi lalat juga bukanlah secara asalnya wujud pada badan seseorang, akan tetapi ia muncul kerana pengelompokan sel yang menghasilkan pewarna kulit yang dipanggil melanosit. Bahan yang tidak menyebar itu akan membentuk pigmen untuk menutupi permukaan kulit. Maka, jelaslah bahawa ia adalah sesuatu yang mendatang pada kulit dan bukannya kejadian yang asal.

Walau bagaimanapun, kami turut menasihatkan agar merujuk kepada pakar perubatan — mengenai kesesuaian prosedur atau rawatan yang ingin dilakukan — sebelum mengambil apa-apa prosedur untuk menghilangnya bagi mengelakkan berlakunya sebarang komplikasi yang tidak diingini.

Di samping itu, kami juga menyarankan jika tiada sebarang sebab untuk menghilangkannya seperti tahi lalat itu bersaiz terlalu kecil sehingga tidak kelihatan, atau berada di kawasan yang tersembunyi, atau seumpamanya, maka tidak melakukan pembedahan untuk menghilangkannya adalah lebih baik, agar tidak termasuk dalam pendapat mereka yang melarangnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Melanoma, jenis kanser kulit yang paling serius, berkembang dalam sel (melanosit) yang menghasilkan melanin — pigmen yang memberikan warna pada kulit anda. Melanoma juga boleh terbentuk di mata anda, dan jarang sekali di dalam badan anda seperti di hidung atau tekak anda. (Lihat https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/melanoma/symptoms-causes/syc-20374884. Diaskes pada 14 Jun 2023).

[2] Lihat https://www.halodoc.com/kesehatan/tahi-lalat. Diakses pada 14 Jun 2023.

[3] Kalaf ialah Jeragat di muka, atau coklat kemerahan di muka. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/ الكلف/. Diakses pada 14 Jun 2023)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H