Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah saya melakukan korban di luar negara dan bukannya di negara sendiri? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asalnya, ibadat korban dilakukan di tempat masing-masing dan di kampung masing-masing. Ini sudah menjadi tradisi sejak turun temurun yang diwarisi oleh masyarakat Islam Malaysia.
Tatkala kita mendengar negara yang memerlukan bantuan dan dilanda kemiskinan jauh lebih teruk daripada kita, maka datangnya perasaan untuk memberi bantuan dan melakukan korban ke tempat umat Islam yang memerlukan di negara-negara yang dilanda peperangan atau ekonominya tidak baik. Dalam hal ini, kami akan kemukakan di sini beberapa pandangan.
Secara asasnya, sembelihan haiwan korban itu sunat dilakukan oleh orang yang berkorban dengan tangan sendiri. Perkara ini disepakati paling afdhal kerana ia adalah suatu ibadah selain ia juga Sunnah Nabi SAW di mana Baginda selalu menyembelih sendiri haiwan korbannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibasy yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)
Namun, jika tidak dapat berbuat demikian kerana uzur dan sebagainya, maka sunat bagi orang yang berkorban untuk pergi menghadiri majlis penyembelihan bagi menyaksikan upacara tersebut. Hal ini berdasarkan hadith di mana Rasulullah SAW menyuruh Fatimah untuk menyaksikan sembelihan haiwan korbannya. Nabi SAW bersabda kepada kepada Fatimah:
يَا فَاطِمَةُ قُوْمِي فَاشْهَديِ أُضْحِيَّتَكِ، فَإِنَّهُ يُغْفَرُ لَكِ بِكُلِّ قَطْرَةٍ مِنْ دَمِهَا كُلُّ ذَنْبٍ عَمِلْتِيهِ
Maksudnya: “Wahai Fatimah, bangunlah dan lihatlah korbanmu. Sesungguhnya ia mengampunkanmu kerana setiap titis daripada darahnya mewakili setiap dosa yang kamu lakukan.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3/247); al-Mu‘jam al-Kabir (18/200) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5/239). Ibn al-Mulaqqin menghukumkan hadith ini sebagai dhaif.
Dari situ, pelaksanaan ibadah korban yang dilakukan lebih dapat dirasai dan dijiwai secara langsung dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah sehingga lebih berbekas kesan ibadah tersebut. Tambahan pula, ia adalah daripada syiar Islam yang besar.
Selain itu, terdapat juga ayat al-Quran yang jelas menyatakan bahawa anjuran bagi orang yang melakukan korban untuk makan sebahagian daripada daging korbannya. Sekiranya korban tersebut dilakukan di luar negara atau daerah, maka akan terluputlah sunnah memakan daging korban itu. Allah SWT berfirman:
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah al-Hajj: 29)
Justeru, secara umumnya, ibadah korban adalah lebih baik untuk dilakukan di tempat kita berada dan mencari kehidupan.
Dalam isu berkorban di luar negara ini, terdapat perbezaan pandangan ulama berkenaan dengannya. Perbezaan-perbezaan pendapat ini diringkaskan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (4/282) seperti berikut:
- Mazhab Hanafi: Makruh hukumnya mengagihkan haiwan sembelihan ke luar negara, kecuali jika seseorang mengirim kepada kerabatnya, atau kepada sekelompok komuniti yang sangat memerlukan berbanding orang yang tinggal di negara itu.
- Mazhab Maliki: Tidak boleh mengirimkannya ke daerah yang melebihi batas diperbolehkan mengqasar solat. Ini melainkan sekiranya penduduk daerah tersebut sangat memerlukan daripada penduduk daerah atau negara yang melakukan korban, maka wajib mengirimkan haiwan korban ke daerah atau negara yang memerlukan tersebut lebih banyak, dan menyisakan sedikit bagi penduduk negara atau daerah yang memerlukan korban.
- Mazhab Hanbali dan Mazhab al-Syafi‘i: Mereka berpendapat yang sama dengan pendapat ulama mazhab Maliki iaitu dibolehkan mengirimkannya ke negara atau daerah yang jaraknya kurang daripada jarak diharuskan mengqasar solat, dari negara yang terdapat harta atau haiwan korban. Namun terdapat ulama yang mengharamkan perbuatan mengirimkan binatang sembelihan sebagaimana zakat ke negara yang jaraknya sepadan dengan jarak diperbolehkannya mengqasar solat atau melampaui batas tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/282).
Di dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/425), Imam al-Nawawi turut menyebut dua pendapat berkenaan isu ini. Beliau berkata, sebaiknya korban tersebut dilaksanakan di tempat sendiri. Imam al-Mawardi pula dalam kitabnya menyatakan bahawa tiada halangan untuk dipindahkan haiwan korban ini. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/75).
Imam al-Ramli pula selepas mengambilkira qiyas kepada haramnya memindahkan zakat lebih daripada jarak musafir, maka beliau mengemukakan pendapat dengan tidak mengharuskannya. Imam al-Khatib al-Syirbini turut menyatakan ketidakharusan ini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj. Beliau menyebutkan, tidak boleh memindahkan korban dari negerinya sepertimana memindahkan zakat kerana harapan orang-orang miskin terpaut dengan daging korban ini.
Meneliti beberapa pandangan daripada badan Fatwa dan ulama kontemporari, terdapat pendapat yang menyebut berkenaan keharusan memindahkan ke negara yang mana wujudnya ramai pihak yang lebih memerlukan. Antaranya Syeikh Muhammad bin Muhammad bin al-Mukhtar al-Syanqiti yang berpendapat bahawa ibadah korban di luar negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadah korban. Akan tetapi, melakukan ibadah ini di kawasan tempat tinggalnya adalah lebih afdhal. Namun, sekiranya ibadah korban ini dilakukan di kawasan kediamannya dan dilakukan juga di luar negara yang berdepan dengan kesukaran, maka itu adalah lebih baik. [1]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 turut memutuskan bahawa hukumnya harus untuk mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016, hlm. 44). [2]
Justeru, berdasarkan nas dan beberapa kenyataan di atas, dapat difahami bahawa hukum melaksanakan ibadah korban ke luar negara secara wakil adalah harus dan sah. Namun, melakukan di tempat sendiri adalah yang terbaik dan tiada khilaf padanya.
Kesimpulan
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat di tempat yang amat memerlukan seperti Palestin dan kem-kem pelarian seperti sempadan Turki [3] dan Jordan,[4] maka korban di negara tersebut adalah digalakkan bagi meringankan krisis makanan dan kebuluran yang sentiasa mencabar kehidupan harian mereka.
Adapun negara yang sekadar miskin dan tidaklah sesusah mana, maka korban di tempat sendiri adalah lebih afdhal kerana suasana yang melanda Malaysia sekarang ini memerlukan sejumlah bantuan daging kepada penduduk-penduduk khususnya di kampung dan pedalaman mahupun di bandar untuk sama-sama merasa dan mengecap daging korban bersempena dengan Hari Raya Aidil Adha.
Sesungguhnya, golongan miskin dan yang memerlukan di tempat sendiri lebih utama didahulukan berbanding di tempat lain. Ini kerana kita hidup bersama mereka dan mereka telah mengenali akan kemampuan dan harta yang kita miliki.
Sementelahan lagi, mereka mendengar yang kita telah melaksanakan korban di tempat lain sejumlah lembu atau kambing biri-biri yang banyak. Sudah tentu hati mereka akan terasa.
Sebaliknya, apabila mereka memperolehi daging korban, maka sudah tentu sifat kasih sayang dan penghormatan kepada orang-orang kaya dan berada yang telah melakukan korban akan bertambah. Di samping mereka berdoa untuk golongan yang berkorban di tempat mereka. Akhirnya, akan melahirkan sebuah negeri yang disifatkan sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat Ikhraj al-Udhiyah Kharij al-Bilad li Syiddah al-Hajah. Diterbitkan pada 2 Disember 2006. (http://ar.islamway.com/fatwa/5759).
[2] Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 November 2004 telah membincangkan Hukum Wakalah Dan Beberapa Perkara Berbangkit Dalam Ibadat Korban. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
- Hukum asal wakalah adalah harus.
- Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain dengan keizinan muwakkil.
- Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain sekiranya tidak mampu atau tidak layak melakukan sendiri perkara yang diwakilkan tersebut.
- Harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.
[3] Dicatatkan terdapat seramai 4 juta pelarian yang berada di kem pelarian Turki, menjadikannya sebagai kem pelarian terbesar di dunia. Daripada jumlah itu, sebanyak 3.6 juta orang merupakan pelarian dari negara Syria manakala baki 400,000 yang lain adalah jumlah pelarian dari negara-negara lain. [Lihat UNHCR Turkey – Fact Sheet October 2019. Diterbitkan pada 31 Oktober 2019. Pautan: reliefweb.int/report/turkey/unhcr-turkey-fact-sheet-october-2019]
[4] Sehingga tahun 2019, jumlah pelarian yang didaftarkan di Jordan telah mencecah seramai 744,795 orang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 655,000 adalah dari Syria, 67,000 dari Iraq, 15,000 dari Yaman, 6000 dari Sudan, 2500 adalah dari 52 negara lain. (Lihat UNHCR continues to support refugees in Jordan throughout 2019. Diterbitkan 31 Disember 2019. Pautan: www.unhcr.org/jo/12449-unhcr-continues-to-support-refugees-in-jordan-throughout-2019.html]
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H