Soalan:
Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Apa hukum sekiranya terdapat ramai orang yang memberi fatwa di dalam media sosial sedangkan dia tidak berkelayakan dan mendahului mufti?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan di sini terlebih dahulu ancaman memberi fatwa tanpa ilmu. Dengan sebab itu ramai ulama di zaman dahulu amat menjaga dalam bermudah-mudahan dalam memberi fatwa.
Kami nukilkan di sini pendapat Ibn Hamdan al-Harrani dalam kitabnya yang menyebut:
Diharamkan ke atas orang yang jahil untuk berfatwa sekalipun jawapannya tepat. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ
Maksudnya: “Dan janganlah kalian berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram…”
(Surah al-Nahl: 116)
Ia juga berdasarkan ucapan Nabi SAW:
مَنْ أُفْتِيَ بِفُتْيَا غَيْرَ ثَبَتٍ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang diberikan fatwa dengan fatwa yang tidak kukuh (tidak bersumberkan dalil), sesungguhnya dosanya kepada pemberi fatwa.”
Riwayat Ahmad (8266), Ibn Majah (55), al-Darimi (161), al-Hakim (349), al-Baihaqi dalam al-Madkhal (789) dan dalam al-Sunan al-Kubra (20323) dan al-Khatib (1044)
Dalam sebahagian lafaz:
مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang diberikan fatwa tanpa ilmu, dosanya ke atas orang yang memberi fatwa kepadanya.”
Riwayat Ahmad (8776), Abu Daud (3657), al-Hakim (350), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (20353) dan Ibn Abd al-Barr dalam Jami’ Bayan ‘Ilm (1889)
Para ulama apabila mensyarahkan hadis ini berkata: Ucapan baginda: Sesiapa yang meminta fatwa, iaitu meminta satu hukum daripada hukum-hukum syarak kepada seseorang lalu orang tersebut menjawabnya berdasarkan permintaan tersebut. Iaitu: Setiap orang jahil yang bertanyakan kepada orang alim tentang sesuatu permasalahan lalu orang alim itu menjawabnya dengan jawapan yang batil. Sedangkan si penyoal itu tidak tahu akan jawapan tersebut sebenarnya batil. Lalu apabila si penyoal itu beramal dengan jawapan tersebut maka tidak ada dosa ke atas dirinya disebabkan dia tidak tahu akan kesalahan jawapan tersebut. Sesungguhnya dosa itu adalah ke atas orang yang memberikan jawapan tersebut. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, hlm. 336)
Dan sabda Baginda SAW:
مَنْ أَفْتَى بِغَيْرِ عِلْمٍ لَعَنَتْهُ مَلائِكَةُ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi fatwa tanpa ilmu, para malaikat langit dan bumi akan melaknatnya.”
Riwayat Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (20/52) dan dalam Mu’jam al-Syuyukh (no. 676), al-Khatib dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih (no. 1043) dan Ibn al-Jauzi dalam Ta’zim al-Futya (no. 58).
(Lihat Sifat Mufti al-Mustafti, hlm. 9-10)
Berkenaan dengan situasi seperti itu, Ibn Hamdan juga berkata: Apabila seseorang yang tidak berkelayakan telah mendahului dalam menjawab fatwa, maka seorang mufti itu tidak boleh berfatwa bersama-sama dengannya. Ini kerana, perbuatan itu merupakan taqrir (pengakuan) ke atas perkara yang mungkar. Bahkan, dia memukul (memberikan hukuman) atas perbuatan tersebut. (Lihat Sifat Mufti al-Mustafti, hlm. 182)
Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dan menjarakkan kita dari golongan juhala’ terutamanya dalam berbicara dalam urusan agama. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H