#1959: Hukum Melanggan Pelan Grabfood dan Food Panda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum melanggan grab unlimited atau panda pro? Kita perlu membayar nilai tertentu pada setiap bulan kepada pihak Grabfood atau Foodpanda, dan boleh nikmati pelbagai bentuk potongan harga ke atas makanan jika kita gunakan baucar diskaun.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا 

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan penerangan berkenaan Grabfood dan Foodpanda secara ringkas. Kedua-duanya adalah syarikat penghantaran yang menyediakan khidmat memesan dan menghantar makanan yang dipesan oleh pengguna melalui aplikasi khusus.

 

Grabfood dan Grab Unlimited

Grabfood mempunyai tiga cara untuk membuat pesanan:

  • Instant Delivery (Penghantaran Segera): Tidak kira di mana pengguna berada, mereka boleh memesan makanan dari pelbagai restoran dari Grabfood dan membuat penghantaran segera.
  • Scheduled Delivery (Penghantaran Berjadual): Jika pengguna tahu juadah apa yang ingin dimakan pada keesokannya atau 2 hari akan datang,  mereka boleh membuat pesanan melalui aplikasi dengan cara ini.
  • Self Pick-up (Mengambil Pesanan Sendiri): Cara ini membolehkan pengguna yang enggan beratur dan menunggu lama membuat pesanan, ia mampu menjimatkan kos penghantaran apabila pengguna mengambil pesanan di restoran.

Grab Unlimited adalah sebuah pelan yang boleh dilanggan secara bayaran ansuran bulanan. Pelan ini menyediakan bentuk promosi dan potongan harga yang ditawarkan oleh pihak Grab. Mereka yang pertama kali melanggan pelan ini tidak perlu membayar pada 2 bulan pertama, kemudian pada bulan-bulan seterusnya pengguna perlu membayar RM4.90 untuk pelan ini. Perincian mengenai pelan ini juga ada dipaparkan sebelum pengguna dapat meneruskan proses langganan. Semua promosi atau baucar yang diberi dalam Grab Unlimited adalah tertakluk kepada bandar yang tempat menetap pelanggan yang mereka tetapkan pada awal proses melanggan Grab Unlimited. Setiap bandar mungkin mempunyai promosi atau baucar yang berbeza, dan harga pelan langganan Grab Unlimited juga mungkin berbeza tertakluk kepada penentuan pihak Grab.

 

Foodpanda dan PandaPro

Foodpanda pula berfungsi dengan 4 langkah asas berikut:

  • Pemilihan Restoran: Pengguna memasukkan kawasan dia menetap pada halaman utama, kemudian aplikasi akan Foodpanda akan mengimbas senarai restoran yang pengguna boleh membuat pesanan. Pengguna memilih restoran yang dia suka dan boleh lihat menu yang disediakan.
  • Memesan Makanan: Pengguna memilih daripada mana-mana restoran yang diingini, mengimbas menu dan memilih makanan yang dikehendaki. Makanan yang dipilih akan muncul pada simbol troli di sebelah kanan aplikasi.
  • Checkout dan Membuat Pembayaran: Setelah pengguna berpuas hati dengan pesanannya, dia perlu menekan butang ‘ORDER NOW’ dan memasukkan alamat penghantaran.
  • Penghantaran: Foodpanda akan menghantar SMS yang mengesahkan pesanan dan masa penghantaran.

PandaPro adalah pelan langganan yang membolehkan pengguna menerima tawaran dan faedah eksklusif untuk makanan dan barangan runcit yang terpilih. Harga langganan bermula dengan RM4.90 sebulan.

Setelah melanggan, pengguna dapat menikmati faedah secara automatik untuk pelanggan semasa pembayaran, tanpa sebarang proses yang rumit. Pelanggan juga boleh menyemak baki faedah mereka pada bila-bila masa. Mereka hanya perlu pergi ke akaun peribadi dan tekan ‘Manage Subscription’.

 

Melanggan Pelan Grabfood dan Foodpanda

Langganan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah hubungan jual beli atau urus niaga yang tetap antara seseorang penjual dengan pembeli yang selalu membeli daripadanya.

Apabila membincangkan tentang jual beli, ia akan terkait dengan rukun-rukun asas bagi akad (kontrak) yang telah ditetapkan oleh fuqaha’. Kami ringkaskan setiap rukun ini seperti berikut:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang yang ingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  • Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”. (Lihat  al-Mu‘tamad Fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/15)

Setiap dari rukun ini juga mempunyai syarat-syaratnya yang dibahaskan secara panjang lebar oleh fuqaha. Apabila suatu akad jual beli itu memenuhi segala rukun asas dan syarat yang ditetapkan, maka hukumnya adalah sah dan diharuskan. Syara‘ menghalalkan jual beli secara umum selagi tidak terdapat larangan khusus, firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya. Keharusan ini juga berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang mengharuskan jual beli:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Secara zahirnya, pelan yang ditawarkan oleh pihak Grabfood dan Foodpanda ini lebih menyamai dengan “Kad Diskaun,” iaitu kad untuk mendapatkan potongan harga bagi sesuatu perkhidmatan. Melihat kepada perbincangan yang kami nyatakan berkenaan pelan-pelan yang disediakan oleh Grabfood dan Foodpanda, kami cuba memperjelaskan rukun-rukun asas ketika berlakunya proses langganan Grab Unlimited dan PandaPro seperti berikut:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Pihak Grabfood dan Foodpanda selaku penjual, manakala pengguna selaku pelanggan.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Grab Unlimited dan PandaPro sebagai “Kad Diskaun” yang dijual, dan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM4.90 selaku sesuatu yang dijadikan tukaran.
  • Sighah (lafaz akad): Penulisan perincian peribadi yang perlu diisi dalam borang yang disediakan oleh pihak Grabfood dan Foodpanda sebelum meneruskan langganan pelan-pelan di atas.

Noktah yang menjadi asbab perbincangan hukum langganan ini adalah, syarat al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan) yang mesti dipenuhi. Antaranya syarat yang disebutkan adalah: barang jualan tersebut mestilah diketahui, yakni ‘ain produk tersebut, sifat dan juga kadarnya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/397; Tuhfah al-Muhtaj, 4/250; Nihayah al-Muhtaj, 3/405; Mughni al-Muhtaj, 2/352)

Berdasarkan pembacaan dan penelitian kami terhadap terma dan syarat yang digariskan oleh pihak Grab dan Food Panda, kami mendapati Grab Unlimited dan PandaPro ini tidak menjelaskan secara terperinci perihal bayaran berjumlah RM 4.90 yang ditetapkan dan apakah sifat-sifat produk yang akan diperoleh pelanggan; kerana sifat dan kadar diskaun yang diberikan tidak ditentukan secara tetap. Hal ini disebutkan sebagai ketidakpastian atau gharar pada al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan).

Secara umumnya, unsur gharar ini akan menyebabkan suatu urusniaga itu terbatal, sebagaimana yang dipersetujui oleh fuqaha. Larangan jual beli apabila terdapatnya gharar ini jelas dinyatakan dalam hadith yang thabit daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang melakukan jual beli dengan batu kerikil dan jual beli dengan menipu.”

Riwayat Muslim (1513)

Berkenaan hukum jualan produk berbentuk “Kad Diskaun” ini, jawatankuasa Fatawa al-Lajnah al-Da’imah telah memutuskan bahawa hukumnya adalah dilarang atas sebab-sebab tertentu, antaranya: 

  • Terdapat gharar, kerana pembayaran sejumlah wang untuk memperolehnya umpama pembayaran tanpa imbal balas yang sebenar. Ia mungkin akan tamat tempoh tanpa digunakan oleh pelanggan, atau penggunaannya tidak sepadan dengan jumlah bayaran yang dibayar sebagai yuran. Allah SWT berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.”

(Surah al-Nisa’: 29)

  • Di dalamnya mempunyai unsur riba, kerana boleh jadi terdapat suatu tempoh di mana pihak yang mengeluarkan kad ini tidak memberi diskaun kepada pelanggan seperti yang dinyatakan, dan ini adalah riba yang diharamkan. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 14/16)

Ini juga dipersetujui oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah, sebagaimana yang mereka nukilkan dari qarar al-Majma‘ al-Fiqhi oleh Rabitah al-‘Alami al-Islami bahawa urusniaga seperti ini tidak dibenarkan jika ia dikenakan dengan bayaran tetap atau yuran tahunan, kerana pelanggan dikehendaki membayar sejumlah wang tanpa mengetahui apa yang akan diperolehinya sebagai balasan. Maka kerugian dalam hal ini adalah pasti, manakala keuntungan yang diperoleh hanya bersifat kemungkinan sahaja.

Terdapat juga sebahagian pihak lain yang mendakwa keharusan langganan ini atas alasan gharar yang berlaku tersebut pada tahap yang ringan sahaja, dan gharar ringan ini dibenarkan oleh fuqaha al-Syafi‘iyyah. Imam al-Nawawi berkata, terbatal suatu urusniaga dengan kewujudan gharar ini atau sahnya ia, kesemuanya bergantung sama ada terdapat kesukaran untuk berhati-hati dari gharar tersebut dan keperluan untuk berlakunya urusniaga itu. Apabila terdapat keperluan yang mendesak untuk melakukan gharar dan tidak mungkin dielakkan kecuali dengan kesukaran, atau apabila gharar itu kecil, maka jual beli itu dibenarkan. Sebagai contoh, gharar yang terdapat apabila seseorang membeli rumah, dia tidak tahu apakah bahan yang digunakan untuk dibina rumah tersebut. (al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/258)

Akan tetapi, pada pengamatan kami, produk yang akan diperoleh pengguna selepas melanggan Grab Unlimited dan PandaPro ini tidaklah sukar untuk dijelaskan, tambahan pula urusniaga ini tidak mencapai tahap hajat keperluan yang darurat kepada pengguna sebagaimana rumah diperlukan sebagai tempat berlindung. Maka gharar tersebut tetap dikira merosakkan akad urusniaga yang berlaku.

 

Kesimpulan

Kami katakan, hukum melanggan pelan Grab Unlimited dan PandaPro adalah tidak diharuskan selagimana tidak dijelaskan secara terperinci produk yang dilanggan oleh pengguna, kerana setiap faedah yang akan diperoleh pihak pengguna tidak disebutkan secara tetap dan jelas. Hal ini juga ekoran terdapatnya kebarangkalian pelanggan akan hanya dapat merasai produk tersebut pada masa-masa tertentu sahaja, dan tidak dapat menikmatinya pada masa yang lain.

Seandainya pihak Grabfood dan Foodpanda memenuhi syarat al-Ma‘qud ‘Alaih ini, dengan menjelaskan bahawa bayaran ditetapkan sebagai cas perkhidmatan ke atas pengguna atau menetapkan secara jelas manfaat yang akan diperoleh pelanggan, maka hukum langganan tersebut adalah harus selama tidak menyalahi ketetapan syara‘.

Dalam kesempatan ini, kami juga mencadangkan agar saudara mengajukan persoalan ini kepada badan-badan berautoriti dalam bidang muamalat dan kewangan Islam agar mereka dapat membincangkan masalah ini dengan lebih lanjut. Semoga perbahasan ringkas yang kami bawakan ini memberikan manfaat serta faedah kepada semua, dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H