#1960: Surah Yang Afdhal Dalam Solat Hajat

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Surah apakah yang paling afdhal untuk saya baca semasa solat Hajat selepas al-Fatihah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya nyatakan terlebih dahulu berkenaan dengan solat Hajat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Aufa R.A bahawa Rasulullah SAW keluar menemui kami dan bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ إِلَى اللَّهِ حَاجَةٌ، أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ بَنِي آدَمَ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُحْسِنِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ لِيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ لِيُثْنِ عَلَى اللَّهِ، وَلْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang ada sesuatu hajat pada Allah SWT atau pada sesiapa di kalangan anak Adam, hendaklah dia mengambil air wuduk dan berwuduklah dengan baik kemudian hendaklah dia solat dua rakaat kemudian memuji Allah SWT dan berselawat untuk Nabi SAW, seterusnya berdoa:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ الحَلِيمُ الكَرِيمُ، سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ العَرْشِ العَظِيمِ، الحَمْدُ لِلهِ رَبِّ العَالَمِينَ، أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ، وَالغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ، وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ، لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ، وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ، وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Pengasih dan Maha Mulia. Maha suci Allah, Tuhan yang memiliki singgahsana yang agung. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku memohon segala amalan yang membuka pintu rahmat dan keampunan-Mu. Aku memohon perlindungan daripada dosa, kaya dengan segala kebajikan dan selamat daripada dosa. Janganlah Engkau biarkan padaku walau satu dosa kecuali Engkau maafkan ia, walau satu masalah kecuali Engkau selesaikan ia, walau satu hajat yang Engkau redhai kecuali Engkau tunaikan ia, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.

Riwayat al-Tirimizi (479), Ibn Majah (260)

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya menyebutkan, solat hajat adalah sunat mengikut hadith ini, yang diriwayatkan dalam sunan al-Tirmizi dan Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hadith gharib. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/1094)

Selepas itu, hendaklah dia memohon urusan dunia atau akhirat seperti yang dikehendakinya.

Hukum Solat Hajat

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (27/211-212) dinyatakan, para fuqaha telah bersepakat bahawa solat hajat adalah disunatkan. Mereka berdalilkan dengan hadith yang direkodkan oleh Imam al-Tirmizi daripada riwayat Abdullah bin Aufa R.A sebagaimana yang telah disebutkan di atas.

 

Bilangan Rakaat Solat Hajat

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan bilangan rakaat solat hajat. Ada yang berpendapat, bilangan rakaatnya ialah dua, empat atau dua belas rakaat. Perbezaan pendapat ini adalah disebabkan oleh perbezaan riwayat yang ada berkenaan perkara tersebut. Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, kami ringkaskannya sebagaimana berikut:

Pertama: Dua rakaat.

Ini merupakan pendapat dalam kalangan ulama mazhab Maliki, Hanbali, pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan salah satu pendapat dalam mazhab Hanafi. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Abdullah bin Abu Aufa R.A sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Kedua: Empat rakaat.

Ini merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanafi, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn ‘Abidin bahawa solat hajat adalah sebanyak empat rakaat dan dilakukan selepas Isyak. Dalam hadith marfu‘ dinyatakan bahawa dibaca dalam rakaat pertama surah al-Fatihah sebanyak sekali dan ayat kursi sebanyak tiga kali. Manakala baki tiga rakaat lagi pula dibaca surah al-Fatihah serta surah al-Ikhlas dan mu‘auwizatain. Kemudian, Ibn ‘Abidin menyebutkan bahawa guru-gurunya berkata: “Kami lakukan solat ini, lalu ditunaikan hajat-hajat kami.”

 

Ketiga: Dua belas rakaat.

Ini merupakan salah satu pendapat dalam mazhab Hanafi dan pendapat Imam al-Ghazali. Diriwayatkan daripada Wuhaib bin al-Ward bahawasanya beliau menyebutkan, sesungguhnya di antara doa yang tidak ditolak ialah seseorang hamba mendirikan solat dua belas rakaat, yang dibaca pada setiap rakaat dengan Ummul Kitab (yakni Surah al-Fatihah), ayat Kursi dan Surah al-Ikhlas. Apabila selesai (yakni selepas memberi salam) hendaklah sujud lalu membaca doa ini:

سُبْحَانَ الَّذِي لَبِسَ الْعِزَّ وَقَالَ بِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي تَعَطَّفَ بِالْمـَجْدِ وَتَكَرّمَ بِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي أَحْصَى كُلَّ شَيْءٍ بِعِلْمِهِ، سُبْحَانَ الَّذِي لَا يَنْبَغِي التَّسْبِيْحُ إِلَّا لَهُ، سُبْحَانَ ذِي اَلْمـَنِّ وَالْفَضْلِ، سُبْحَانَ ذِي الْعِزِّ وَالْكَرَمِ، سُبْحَانَ ذِي الطَّوْلِ، أَسْأَلُكَ بِمَعَاقِدِ الْعِزِّ مِنْ عَرْشِكَ وَمُنْتَهَى الرَّحْمَةِ مِنْ كِتَابِكَ وَبِاسْمِكَ الْأَعْظَمِ وَجَدِّكَ الْأَعْلَى، وَكَلِمَاتِكَ التَّامَّاتِ العَامَّاتِ اَلَّتِي لَا يُجَاوِزُهُنَّ بَرٌّ وَلَا فَاجِرٌ أَنْ تُصَلِّيَ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Kemudian mintalah hajatnya yang bukan daripada perkara maksiat, insya-Allah akan diperkenankannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/212-213).

 

Cara Melakukan Solat Hajat

Secara umumnya, cara mendirikan solat hajat adalah sama sahaja sebagaimana solat-solat sunat yang lain. Kami ringkaskannya sebagaimana berikut:

    • Niat ketika takbiratul ihram
  • “Sahaja aku solat sunat Hajat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”
  • Membaca doa iftitah
  • Membaca surah al-Fatihah dan ayat-ayat pilihan sama ada ayat kursi atau surah al-Kafirun atau kedua-duanya sekali atau mana-mana surah yang mudah baginya.
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Bangun untuk rakaat kedua
  • Membaca surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas atau mana-mana surah dan ayat yang mudah baginya.
  • Rukuk
  • Iktidal
  • Sujud
  • Duduk di antara dua sujud
  • Sujud kedua
  • Duduk tawaruk
  • Membaca tahiyat akhir
  • Memberi salam
  • Berdoa (bagi orang yang melakukan dua rakaat) tetapi bagi orang yang melakukan dua belas rakaat, para ulama menyebutkan bahawa dia hendaklah sujud selepas memberi salam dan berdoa di dalam sujudnya.

Sebagai tambahan saya nyatakan surah al-Kafirun merupakan al-Bara’ (berlepas diri) dari belenggu kekufuran dan juga syirik. Ibn Abbas R.Anhuma antara lain menyebut yang mafhumnya, “Tiada mana-mana surah dalam al-Quran yang lebih dahsyat bencinya iblis daripada surah ini kerana terangkum padanya berkenaan tauhid dan berlepas diri daripada perkara syirik.” 

Begitu juga, sunat dibaca pada rakaat kedua surah al-Ikhlas. Ibn al-Qayyim berkata dalam Zadu al-Ma’d, Nabi SAW selalu membaca surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun dalam solat sunat fajar dan solat sunat Witir. Ini kerana kedua-dua surah ini mengumpulkan tauhid ilmu dan amal, tauhid makrifah dan iradat, tauhid iktikad dan tujuan. Semoga Allah SWT kurniakan segala hajat kita dan mudahkannya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H