#1959: Hukum Melanggan Pelan Grabfood dan Food Panda

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum melanggan grab unlimited atau panda pro?

Kita perlu membayar nilai tertentu pada setiap bulan kepada pihak Grabfood atau Foodpanda, dan boleh nikmati pelbagai bentuk potongan harga ke atas makanan jika kita gunakan baucar diskaun.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Grabfood dan Foodpanda adalah syarikat penghantaran yang menyediakan khidmat memesan dan menghantar makanan yang dipesan oleh pengguna melalui aplikasi khusus.

Grabfood dan Grab Unlimited

Grabfood mempunyai 3 cara untuk membuat pesanan:

  • Instant Delivery (Penghantaran Segera): Tidak kira di mana pengguna berada, mereka boleh memesan makanan dari pelbagai restoran dari Grabfood dan membuat penghantaran segera.
  • Scheduled Delivery (Penghantaran Berjadual): Jika pengguna tahu juadah apa yang ingin dimakan pada keesokannya atau 2 hari akan datang,  mereka boleh membuat pesanan melalui aplikasi dengan cara ini.
  • Self Pick-up (Mengambil Pesanan Sendiri): Cara ini membolehkan pengguna yang enggan beratur dan menunggu lama membuat pesanan, ia mampu menjimatkan kos penghantaran apabila pengguna mengambil pesanan di restoran.[1]

Grab Unlimited adalah sebuah pelan yang boleh dilanggan secara bayaran ansuran bulanan. Pelan ini menyediakan bentuk promosi dan potongan harga yang ditawarkan oleh pihak Grab. Mereka yang pertama kali melanggan pelan ini tidak perlu membayar pada 2 bulan pertama, kemudian pada bulan-bulan seterusnya pengguna perlu membayar RM4.90 untuk pelan ini. Perincian mengenai pelan ini juga ada dipaparkan sebelum pengguna dapat meneruskan proses langganan.[2]

Foodpanda dan Panda Pro

Foodpanda pula berfungsi dengan 4 langkah asas berikut:

  • Pemilihan Restoran: Pengguna memasukkan kawasan dia menetap pada halaman utama, kemudian aplikasi akan Foodpanda akan mengimbas senarai restoran yang pengguna boleh membuat pesanan. Pengguna memilih restoran yang dia suka dan boleh lihat menu yang disediakan.
  • Memesan Makanan: Pengguna memilih daripada mana-mana restoran yang diingini, mengimbas menu dan memilih makanan yang dikehendaki. Makanan yang dipilih akan muncul pada simbol troli di sebelah kanan aplikasi.
  • Checkout dan Membuat Pembayaran: Setelah pengguna berpuas hati dengan pesanannya, dia perlu menekan butang ‘ORDER NOW’ dan memasukkan alamat penghantaran.
  • Penghantaran: Foodpanda akan menghantar SMS yang mengesahkan pesanan dan masa penghantaran.[3]

Panda Pro adalah pelan langganan yang membolehkan pengguna menerima tawaran dan faedah eksklusif untuk makanan dan barangan runcit yang terpilih. Harga langganan bermula dengan RM4.90 sebulan.

Setelah melanggan, pengguna dapat menikmati faedah secara automatik untuk pelanggan semasa pembayaran, tanpa sebarang proses yang rumit. Pelanggan juga boleh menyemak baki faedah mereka pada bila-bila masa. Mereka hanya perlu pergi ke akaun peribadi dan tekan ‘Manage Subscription’.

Semua promosi atau baucar yang diberi dalam Grab Unlimited adalah tertakluk kepada bandar yang tempat menetap pelanggan yang mereka tetapkan pada awal proses melanggan Grab Unlimited. Setiap bandar mungkin mempunyai promosi atau baucar yang berbeza, dan harga pelan langganan Grab Unlimited juga mungkin berbeza tertakluk kepada penentuan pihak Grab.[4]

Melanggan Pelan Grabfood dan Food Panda

Langganan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah hubungan jual beli atau urus niaga yang tetap antara seseorang penjual dengan pembeli yang selalu membeli daripadanya.

Apabila membincangkan tentang jual beli, ia akan terkait dengan rukun-rukun asas bagi akad (kontrak) yang telah ditetapkan oleh fuqaha’. Kami ringkaskan setiap rukun ini seperti berikut:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang yang ingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  • Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”. (Lihat  al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 3/15)

Fuqaha’ juga ada memperincikan berkenaan Sighah (lafaz akad) bagi sesuatu akad. Dr Wahbah al-Zuhaili telah meringkaskan cara-cara boleh berlakunya akad seperti di bawah:

  • Al-Lafzu, iaitu lafaz yang zahir (jelas).
  • Al-Mu‘atah (saling memberi), iaitu pertukaran barang yang dibuat dengan perbuatan sahaja dengan keredhaan kesemua pihak, tanpa  melafazkan ijab dan qabul.
  • Al-Isyarah (isyarat), iaitu isyarat  tangan dan sebagainya bagi mereka yang bisu dan tidak boleh bercakap atas masalah-masalah tertentu.
  • Al-Kitabah (penulisan), iaitu akad dengan bentuk tulisan daripada semua pihak yang melakukan akad, dan ia berlaku dengan dua syarat:
  1. Tulisan mestilah jelas dan kekal sehingga selesainya akad.
  2. Tulisan mesti ditulis dengan cara yang kebiasaannya dilakukan mengikut adat setempat.

(Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2933-2941)

Kesemua bentuk di atas adalah sah menurut majoriti ulama’. Mereka berhujjah dengan umum kaedah fiqhiyyah:

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat itu menjadi penentu hukum.”

Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku.

Jelas seperti perbincangan yang kami nyatakan berkenaan pelan-pelan yang disediakan oleh Grabfood dan Food Panda, terdapatnya kesemua rukun-rukun asas ini ketika berlakunya proses langganan Grab Unlimited dan Panda Pro.

Kami cuba memperjelaskannya seperti berikut:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Pihak Grabfood dan Food Panda selaku penjual, manakala pengguna selaku pelanggan.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Grab Unlimited dan Panda Pro selaku produk yang dijual, dan bayaran ansuran bulanan sebanyak RM4.90 selaku sesuatu yang dijadikan tukaran.
  • Sighah (lafaz akad): Penulisan perincian peribadi yang perlu diisi dalam borang yang disediakan oleh pihak Grabfood dan Food Panda sebelum meneruskan langganan pelan-pelan di atas.

Apabila semua rukun asas ini dipenuhi ketika akad, maka hukum melanggan Grab Unlimited dan Panda Pro ini adalah sah dan diharuskan. Syara‘ menghalalkan jual beli secara umum selagi tidak terdapat larangan khusus, firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Dalam ayat ini, Allah SWT telah menyatakan larangan bagi orang Islam untuk beramal dengan perbuatan riba. Dan Allah SWT juga menjanjikan balasan serta azab yang pedih bagi mereka yang melanggarinya. Adapaun urusniaga berbentuk langganan pelan-pelan di atas tidak terdapat padanya unsur riba’ atau gharar (ketidakpastian).

Keharusan ini juga berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang mengharuskan jual beli:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).”

Kesimpulan

Kami katakan, hukum melanggan pelan Grab Unlimited dan Panda Pro adalah harus kerana tidak mempunyai unsur riba‘ ataupun gharar. Hal ini kerana setiap faedah yang akan diperoleh telah diketahui terlebih dahulu oleh kedua-dua pihak yang melakukan akad.

Adapun baucar yang disediakan oleh pihak Grabfood dan Food Panda adalah salah satu bentuk tarikan dan khidmat pengguna yang ditawarkan kepada pelanggan. Selagi mana ia tidak menyalahi ketetapan syara‘ dalam hukum jual beli dan urus niaga, maka hukumnya adalah harus.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.grab.com/my/food/. Diakses pada 15 Jun 2023.

[2] Lihat https://www.grab.com/my/grabunlimited/. Diakses pada 15 Jun 2023.

[3] Lihat https://www.foodpanda.my/contents/how-it-works. Diakses pada 15 Jun 2023.

[4] Lihat https://www.foodpanda.my/contents/pandapro-consumer-terms-and-conditions. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H