Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kekeliruan dan ingin menanyakan soalan. Mengapa Allah SWT menciptakan sesetengah orang cantik rupa parasnya dan sesetengahnya buruk rupa parasnya. Bukankah Allah itu bersifat Maha Adil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada yang bertanya. Soalan seperti ini sentiasa bermain dalam fikiran di sebahagian kita. Ini kerana, kita sentiasa merasa kekurangan dan orang lain mempunyai kelebihan.
Termasuklah dalam isu cantik, handsome, kuat, gagah, cerdik, pintar, berjaya atau sebaliknya, kurang cantik, hodoh, lemah, sakit, lembam, kurang cerdik serta gagal. Inilah hukum manusia berdasarkan zahir dan hanya melihat selapis sahaja.
Sebaliknya, apabila kita memahami pelbagai hikmah ciptaan Tuhan, nescaya kita akan menyebut Subhanak (Maha Suci Kamu Ya Rab). Kami noktahkan terlebih dahulu dengan firman Allah SWT:
لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”
Surah al-Tin (4)
Guru kami Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir fi al-Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj menjelaskan bahawa makna “فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ” adalah sebaik-baik rupa, sebagus-bagus bentuk, sesempurna-sempurna anggota tubuh, dengan susunan yang tersusun rapi dan seimbang. Ditambah lagi dengan ilmu, pemikiran, kalam (komunikasi), kepemimpinan dan kebijaksanaan (hikmah), semakin menegaskan bahawa manusia layak menjadi khalifah (pemimpin) di muka bumi ini.
Dari keterangan ini jelaslah bahawa makhluk terbaik yang diciptakan Allah itu bernama manusia. Segala potensi, keistimewaan, kemuliaan ada pada diri dan selalu melingkupi manusia. Kemuliaan tersebut akan terus ada dan menyertai manusia, jika dia mempertahankan dan menjaganya melalui aktiviti mulia berupa peningkatan kualiti hubungan dengan Allah (hablun minallah) dan hubungan dengan manusia (hablun minannas). Atau dengan kata lain, kemuliaan manusia akan terpelihara dengan baik jika ibadah ritual dan ibadah sosial terjalin erat satu sama lain.
Nas di atas menunjukkan setiap manusia mempunyai kelebihan tertentu mengikut kurniaan Allah SWT. Mungkin seseorang lebih dari sudut rupa paras tetapi mereka kurang dari sudut harta atau pun kecerdikan. Ini kerana, tiada manusia yang sempurna agar sentiasa ingat dan kembali kepada Allah SWT.
Keduanya, kelebihan yang dikurniakan bukan untuk dimegah tetapi disyukuri dan diingati yang bahawa ia adalah daripada kurniaan Allah SWT untuk kita syukuri dan tidak takabbur dengannya.
Kisah nabi Sualiaman AS sebagai jawapan yang cukup menarik. Apabila dia berada di persada kuasa. Firman Allah SWT:
قَالَ الَّذِي عِندَهُ عِلْمٌ مِّنَ الْكِتَابِ أَنَا آتِيكَ بِهِ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَ ۚ فَلَمَّا رَآهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”
Surah al-Naml (40)
Natijah daripada nas ini, jelas menunjukkan betapa hebatnya Nabi Allah Sulaiman AS yang orang yang hebat dan jin tunduk kepadanya serta ikut arahannya. Beliau seterusnya, kembali kepada Allah SWT dengan menisbahkan kelebihan tersebut kepada Tuhannya seraya berkata, “هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي” yang memberi maksud, “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku,”.
Ketiga, kurniaan Tuhan juga hendaklah difahami sebagai ujian daripada Tuhan untuk kita semua. Adakah kita termasuk di kalangan yang bersyukur atau tidak? Dengan sebab itu, Nabi Sulaiman AS menyebut selepas kurniaan Tuhannya dengan “ لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ” yang mmeberi maksud, “untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”
Nabi Sulaiman AS telah memilih untuk bersyukur serta mengiktiraf dan mengakuinya dengan kurniaan Allah SWT. Bukan sekadar itu, Nabi Sulaiman AS telah menyebut kelebihan syukur dan kehinaan kufur sebagaimana nas Ilahi yang dinyatakan, “ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّي غَنِيٌّ كَرِيمٌ” yang membawa maksud, “Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”
Keempat, dunia ini adalah pentas ujian sama ada kita sabar atau kita syukur. Ini kerana hasil daripada kedua-dua tersebut akan melahirkan redha kepada Allah SWT dan dengan keduanya itulah yang akan mendorong manusia menuju ke syurga Allah SWT. Daripada Suhaib R.A, sabda Rasulullah SAW:
عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
Riwayat Muslim (7692)
Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)
Kelima, kadang-kadang rupa cantik, handsome, kelebihan yang tertentu yang dimiliki oleh seseorang boleh membawa fitnah dan kesukaran dalam menempuh kehidupan. Alhamdulillah, di dunia ini terlalu banyak contoh yang menunjukkan kelebihan tersebut menjadi sukar dalam meniti kehidupan yang sempurna serta bebas.
Ada yang menyebut, seolah-olah mereka yang mempunyai kelebihan seperti ini, berada dalam sangkar emas, tidaklah bebas sebagai mana orang ramai. Kisah seperti ini bukan satu dua, tetapi amat banyak bahkan menjadi realiti.
Pengalaman kami bertemu dengan orang-orang yang semasyhur seperti ini, kadang-kadang apabila berbincang dari hati ke hati dan bercakap berkenaan dengan kehendaknya, maka mereka dengan insaf dan rasa sedih menceritakan kehidupannya yang sentiasa diburu oleh paparazzi serta orang ramai yang menyebabkan mereka merasa rimas kerana tidak ada privasi dalam kehidupan.
Kisah Seorang Artis
Berikut ialah surat terbuka seorang artis yang sangat masyhur suatu ketika dahulu. Aktres tersebut ialah Marilyn Monroe, seorang lagenda Hollywood yang terkenal. Mari kita lihat ceritanya untuk dijadikan iktibar.
Surat itu ditemui oleh kakitangan pihak Bank Manhattan yang mengandungi banyak pesanan Marilyn di saat-saat dia membunuh diri. Pada sampul surat itu tertulis perkataan yang berbunyi,“Surat ini tidak boleh dibuka sebelum aku meninggal dunia.” Setelah surat itu dibuka oleh yang berhak, maka tahulah bahawa surat itu ditujukan kepada seorang gadis yang meminta nasihat kepadanya tentang pekerjaan di dunia perfileman serta kehidupan sebagai seorang bintang filem.
Marilyn menulis: “Aku memberi peringatan kepada setiap orang yang ingin hidup di dalam gemerlapan sinar, bahawa aku merupakan orang yang paling sengsara di dunia ini. Aku tidak sanggup menjadi seorang ibu dan jiwaku selalu merasa sedih. Sebenarnya aku adalah seorang perempuan yang lebih mengutamakan kehidupan rumah tangga. Kehidupan suami isteri bersama anak-anak sebenarnya lebih mulia daripada segala-galanya. Kebahagiaan perempuan yang sebenar adalah terletak di dalam rumah tangga. Mulia dalam gemerlapan dunia artis adalah mulia pada zahirnya sahaja. Kehidupan suami isteri itulah rumusan daripada kebahagiaan perempuan yang sebenarnya dan juga seluruh manusia.”
Dan akhirnya dia mengatakan bahawa: “Semua orang telah menganiaya aku. Bekerja sebagai artis itu membuatkan seseorang perempuan menjadi barang dagangan yang sangat murah. Ketika itu, aku mencapai keagungan dan kemahsyuran yang palsu. Oleh itu aku menasihatkan kepada semua anak perempuan, janganlah cuba untuk terjun ke dalam dunia perfileman. Orang yang bekerja di situ dan menjadi bintang filem, maka akan mengakhiri hidupnya nanti seperti aku.”
Itulah pengakuan seorang lagenda yang menyedari hakikat dunia yang serba palsu. Namun dirinya tidak mampu untuk menghadapi kenyataan buat meneruskan hidup, lalu memilih jalan dengan membunuh diri. Sebenarnya jika semua orang mahu meneliti sedalamnya tentang kehidupan sebenar artis yang berkecimpung di dalam industri hiburan, mereka tidak akan mampu.
Semoga kita memperolehi kebahagiaan yang sebenarnya mengikut neraca syarak yang bersifat abadi sehingga layak kita menghuni syurganya. Amin. (Lihat Baiti Jannati: Rumahku Syurgaku oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, hlm. 82)
Keenam, kepada yang rupa parasnya tidak menarik atau cantik, sebenarnya kecantikan bagi manusia adalah bersifat subjektif. Natijah akhir, kecantikan sebenar dan hakiki bagi seseorang manusia akan kembali kepada akhlak dan kesolehan seseorang. Inilah yang sebenar. Dalilnya cukup mudah, terdapat pasangan yang cantik, kaya, berpangkat tetapi berakhir dengan perceraian.
Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”
Riwayat Muslim (715)
Abu al-’Abbas al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).
Ketujuh, kurniaan Allah SWT kepada seseorang tidak sama, bahkan kadang-kadang kita melihat seseorang yang pada pandangan kita kurang cantik, handsome, tetapi ia mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu, seperti, setia, cerdik, pintar, dapat melaksanakan tugas dengan baik, akhlak yang mulia, bahasa yang lemah lembut, dan yang lebih penting dia amat mulia di sisi Tuhan.
Bacalah kisah sahabat Rasulullah SAW bernama Julaibib RA. Beliau ialah seorang kelainan upaya yang sangat disayangi Baginda Nabi SAW. Julaibib RA dikatakan mempunyai saiz fizikal yang kerdil, tidak mempunyai rupa paras yang elok, tiada harta dan keluarga namun seorang periang dan suka bergurau senda. Nabi SAW menganggap Julaibib RA seperti sebahagian dari diri Baginda sendiri sehingga Baginda SAW berusaha mencari jodoh yang terbaik buat beliau. Julaibib kemudiannya dikatakan telah menyertai perang bersama Rasulullah SAW dan telah syahid di saat sebahagian sahabat Rasulullah SAW tidak menyedarinya kecuali Rasulullah SAW dan baginda bersabda “Aku telah kehilangan Julaibib”. Jasad Julaibib ditemui bersama tujuh mayat Musyrikin yang dibunuhnya dan Rasulullah SAW bersabda lagi; “Dia sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripada dirinya”. (Lihat Sirah Nabawiyah Kama Ja’at fi Ahadis Sahihah oleh Muhammad al-Suyani)
Syeikh Mahmud al-Misri berkata: Adapun Julaibib, maka Allah SWT enggan selain menganugerahkan kepadanya dengan mati syahid di jalan-Nya untuk menikahkannya dengan bidadari. Sesungguhnya, apabila dia mendengar sahaja panggilan jihad, “Wahai kuda-kuda Allah, naiklah!” – Sedangkan pada hari itu, Julaibib akan menemui mempelai wanitanya yang jelita, – dia lalu berjaya meraih mati syahid di jalan-Nya agar Dia menikahkannya dengan bidadari di syurga yang tidak pernah mata melihatnya, telinga mendengarnya dan tidak juga pernah terlintas di dalam hati manusia. Semoga Allah meredhai Julaibib dan para Sahabat seluruhnya. (Lihat Ashab al-Rasul, 4/310)
Justeru, saya katakan untuk menjawab isu seperti di atas, banyak hal yang boleh diketengahkan tetapi cukuplah tujuh perkara yang dibataskan seperti di atas. Sebenarnya, kelebihan seseorang bukan hanya dilihat pada mata kasar atau nilai harta benda yang dimiliki tetapi renunglah dengan mata hati, kelebihan dari sudut amalannya dan juga hatinya. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”
Riwayat Muslim (2564)
Akhir kalam, manusia yang paling mulia di sisi Allah SWT sudah tentulah mengikut jawapan Allah SWT:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ
Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”
Surah al-Hujurat (13)
Kami akhiri dengan doa yang sewajarnya kita amalkan:
اللَّهُمَّ حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي
Maksudnya: “Ya Allah, sebagaimana Engkau telah memperindah rupaku maka perindahlah pula akhlakku.”
Riwayat Ibn Hibban (964), Abu Ya’la al-Musili dalam Musnadnya (4944). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan, isnadnya hasan.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H