#1980: Perjanjian Antara Imam Yang Dilantik Dan Kerajaan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan tentang kerajaan sekular Turki (Türkiye) yang melantik imam. Bagi mereka untuk dilantik sebagai imam mereka perlu menandatangani sumpah yang menyatakan ini: 

Perkara 2 – Penjawat Awam wajib mematuhi Perlembagaan dan undang-undang Republik Turki dengan setia dan melaksanakan undang-undang dengan setia. Penjawat Awam menentukan isu ini dengan mengangkat sumpah di majlis yang akan diadakan oleh institusi mereka selewat-lewatnya sebulan selepas dilantik menjadi Penjawat Awam utama. Teks sumpah adalah di bawah: 

“Saya dengan setia akan mematuhi Perlembagaan Republik Turki, reformasi dan prinsip Atatürk, dan Nasionalisme Turki yang dinyatakan dalam Perlembagaan; Saya akan melaksanakan undang-undang Republik Turki dengan berada di dalam perkhidmatan Negara secara saksama dan berpegang kepada prinsip kesaksamaan; Saya akan menerima pakai, melindungi dan membangunkan nilai kebangsaan, moral, kemanusiaan, rohani dan budaya Negara Turki. Saya bersumpah atas kehormatan dan penghormatan saya, bahawa saya akan bekerja untuk anda, mengetahui tugas dan tanggungjawab saya terhadap Republik Turki, yang merupakan negara undang-undang negara, demokratik dan sekular berdasarkan hak asasi manusia dan prinsip asas Perlembagaan, dan bahawa saya akan menunjukkannya dalam tingkah laku saya.” 

Adakah solat diterima di belakang seorang imam sekular yang menandatangani sumpah menerima dan melindungi sekularisasi dan juga untuk mengambil perhatian hal ehwal agama menghalang imam-imam ini daripada bercakap tentang ayat-ayat tertentu seperti sesiapa yang memerintah dengan selain daripada hukum Allah SWT adalah kafir dan ayat tentang riba dan syirik. Kami tidak mempunyai ulama atau mufti bebas untuk berunding di negara saya selain daripada para imam yang dilantik oleh kerajaan ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan terima kasih atas soalan ini. Saya mulakan dengan kriteria untuk menjadi imam. Abu Mas’ud RA berkata bahawa Nabi SAW berkata:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Berdasarkan hadith ini para ulama mazhab al-Syafie telah pun menulis hal ini di dalam kitab-kitab mereka. Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-masri di dalam kitabnya Umdah al-Salik (128):

  • Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • Yang paling baik bacaan al-Quran
  • Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
  • Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
  • Yang paling awal memeluk islam
  • Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
  • Yang paling baik keperibadian
  • Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
  • Yang paling lunak suara
  • Yang paling baik penampilan

Jika sekiranya kriteria tersebut wujud atau sebahagiannya, maka merekalah yang layak untuk menjadi imam. Berkenaan dengan syarat yang dinyatakan, saya yakin dan percaya para ulama di Turkiye dan mereka yang diberi mas’uliyyah atau tanggungjawab lebih mengetahui hakikat sebenar maksud dan makna sebuah perjanjian atau akad sumpah dalam melaksanakan tugas. 

Sementelahan lagi, pada masa kini Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan adalah presiden yang amat mengetahui berkenaan dengan negaranya. Beliau telah merangka banyak dasar-dasar yang baik termasuklah sistem pentadbiran di negaranya. 

Ketika menjawat jawatan sebagai mufti sekitar tahun 2018, kami sempat mengunjungi Turkiye dan mengadakan ziarah ke Diyanet (seperti JAKIM) yang diketuai oleh Prof. Dr. Ali Erbas. Kami dimaklumkan betapa banyaknya kerangka dan program Islam secara besar cuba diserapkan dan dilaksanakan dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan. Semoga usaha tersebut berjaya.

Justeru, bak kata pepatah:

أَهْلُ مَكَّةَ أَدْرَى بِشِعَابِهَا

Maksudnya: “Penduduk Makkah lebih mengetahui tentang lereng-lerengnya (bukit di Makkah).”

Ia memberi maksud, penduduk setempat lebih mengetahui akan selok-belok, geografi, suasana termasuk budayanya (culture) melebihi daripada orang lain.

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita. Kita hanya menghukum secara zahir selama mana seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, solat dan berkiblat dengan kiblat kita, maka dia termasuk di kalangan orang Islam. Daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap (sebagaimana kita menghadap) ke kiblat kita, makan (sebagaimana kita makan) sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Baginya jaminan Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Akhir kalam, kami tutup dengan doa: 

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H