#1988: Nama Arafah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin kepastian apa perbezaan antara Arafah dengan Arafat sebagaimana yang tercatat? Dan kenapa dinamakannya dengan Arafah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada saudara yang ingin bertanya seperti ini. Untuk persoalan yang dikemukakan ini, saya mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah),

Surah al-Baqarah (198)

Berdasarkan nas di atas, disebut dengan kalimah عَرَفَاتٍ yang memberi maksud padang Arafah atau nama tempat untuk khalayak masyarakat berwukuf.

Arafat yang diperkirakan berjarak 21 kilometer dari Makkah dengan luas 8 kilometer persegi ini, tanah yang sangat luas dan datar ini menyimpan banyak sejarah. Arafat adalah sebuah daerah padang sahara (Shara’) terletak di timur Mekah, sedikit condong ke selatan, dengan luas kira-kira 18 kilo meter persegi, yang terdapat di antara jalan Thaif dan Mekah (Tarikh al-Hajj).

Daripada Abd al-Rahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

 الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah.”

Riwayat al-Tirmizi (814)

Begitu juga,  daripada Abu Qatadah al-Ansari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan kepada Allah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun selepasnya.”

Riwayat Muslim (1162), Abu Dawud (2425), al-Tirmizi (749), Ibn Majah (1730) dan Ahmad (22650)

Imam al-Nawawi  berkata: “Sabda baginda SAW: ‘Puasa pada hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah agar menghapuskan (dengannya) dosa-dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang’; bermaksud menghapuskan dosa-dosa bagi orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun. Mereka (para ulama) berkata: Maksudnya adalah menghapus dosa-dosa kecil.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/50-51)

Justeru, berdasarkan dua nas hadith di atas, bila mana disebut perkataan عَرَفَةَ ia memberi maksud hari Arafah iaitu masa pada 9 Zulhijjah. Itulah perbezaan antara Arafah ( عَرَفَةَ) dengan dengan Arafat (عَرَفَاتٍ). 

Ulama telah khilaf berkenaan dengan sebab penamaan Arafah ini. Antaranya:

  • Saidina Ali bin Abi Talib RA berkata: Allah SWT mengutus malaikat Jibril AS kepada Nabi Ibrahim AS, kemudian Malaikat Jibril melakukan haji bersama Nabi Ibrahim AS, setelah sampai ke tempat itu (padang Arafah), Nabi Ibrahim berkata “عَرَفْتُ” (Aku Tahu), kerana sebelumnya ia sudah pernah mendatangi tempat tersebut. 
  • Sedangkan dalam riwayat lain, sebagaimana yang disampaikan oleh Ibn Mubarak, dinamakan Arafah kerana malaikat Jibril mengajar manasik haji kepada Nabi Ibrahim AS, dan Nabi Ibrahim AS mengulang dua kali, “عَرَفْتُ، عَرَفْتُ” (aku tahu…aku tahu), maka sejak itulah dinamakan Arafah. Tempat ini juga dinamakan al-Masy’ar al-Halal dan al-Masy’ar al-Aqsha. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, hlm. 1/261)
  • Abu Hasan Ali bin Muhammad menyampaikan beberapa pendapat, dinamakan Arafah kerana bertemunya (ta’aruf) Adam dan Hawwa’ di tempat tersebut, setelah Allah SWT turunkan Adam di bumi India dan Hawwa’ di Jiddah, kemudian keduanya bertemu di tempat tersebut. 
  • Masih dalam kitab Al-Hawi, Arafah adalah sebutan dari gunung yang ada ditempat tersebut, dan Jamaah Haji melaksanaan wuquf di tempat itu, sedangkan gunung Arafah sebagai pengenal (al-A’araf), sebagaimana dalam ayat, “وَعَلَى الْأَعْرَافِ رِجَالٌ” (Surah al-A’raf: 46). 
  • Sedangkan menurut al-Qasim bin Muhammad; orang-orang mengakui (ya’tarifu) akan dosa-dosanya di tempat itu, dan Allah seketika itu Allah mengampuni dosa-dosa mereka. (Lihat Kitab al-Hawi al-Kabir, 4/425)
  • Setelah peristiwa mimpi yang dialami Nabi Ibrahim AS mulai mimpi menyembelih Ismail tetapi masih ragu (tarwiyah) kemudian yakin setelah adanya wahyu pada malam tersebut (arafah). Maka harinya disebut hari Arafah (يَوْمِ عَرَفَةَ), sedangkan penamaan tempatnya sebagaimana diriwayatkan oleh Thufail daripada Ibnu Abbas, setelah Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih puteranya datanglah malaikat Jibril AS dan mengajari manasik haji (ibadah haji), kemudian pergi menuju Arafah. (Lihat ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sahih al-Bukhari’,  4/259)
  • Dinamakan Arafah karena jamaah haji berkumpul pada hari Arafah di puncak gunung, dan mereka mengenal satu sama lain, dan juga mengenal Tuhan mereka. Pada hari itu kasih sayang (rahmah) Tuhan turun, hamba-hamba dibebaskan.

Semoga satu hari nanti kita dapat mengunjungi Arafah untuk berwukuf pada masa melaksanakan haji. Amin. 

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H