#1989: Dinamakan Hari Nahar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Hari Raya Haji dinamakan Hari Nahar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ ‎﴿١﴾‏ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ‎﴿٢﴾‏ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

Surah al-Kauthar (1-3)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Menjawab persoalan di atas, saya kemukakan kenyataan Badr al-Din al-’Aini: “Setelah peristiwa mimpi yang dialami Nabi Ibrahim AS mulai mimpi menyembelih Ismail tetapi masih ragu (tarwiyah) kemudian yakin setelah adanya wahyu pada malam tersebut (arafah). Maka harinya disebut hari Arafah (يَوْمِ عَرَفَةَ), sedangkan penamaan tempatnya sebagaimana diriwayatkan oleh Thufail daripada Ibnu Abbas, setelah Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih puteranya datanglah malaikat Jibril AS dan mengajari manasik haji (ibadah haji), kemudian pergi menuju Arafah.” (Lihat ‘Umdah al-Qari’ Syarh Sahih al-Bukhari’,  4/259)

Dinyatakan bahawa Nabi Ibrahim bermimpi pada kali ke-3 iaitu pada malam 10 Zulhijjah. Maka, keyakinannya bertambah yang dia mesti melaksanakan sembelihan ke atas anaknya. Bahkan, dilaksanakannya. Sembelihan ini dinamakan nahr dan hari tersebut disebut dengan ‘يَوْمُ النَّحْرِ’. Kisah tersebut dirakamkan dalam al-Quran pada surah Saffat:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٠٢﴾‏فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ‎﴿١٠٣﴾‏ وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ ‎﴿١٠٤﴾‏ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ‎﴿١٠٥﴾‏ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ‎﴿١٠٦﴾‏ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: “Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.

Surah al-Saffat (102-107)

Semoga Allah SWT memberi kepada kita kefahaman dalam agama-Nya dan mampu melaksanakan ibadat korban. Amin.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H