#1992: Penamaan Mina Itu Mina

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mendapat kepastian tempat bermabit semasa melaksanakan ibadat haji pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah adalah di Mina. Kenapa dinamakan Mina itu Mina?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 5 kilometer dari kota Makkah, Arab Saudi. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji. Selain itu, di Mina juga terdapat tanda-tanda yang menjadi tempat penginapan (mabit) bagi jutaan jemaah Haji. 

Pada zaman dahulu, Mina merupakan hamparan padang luas dan belum dibangun sedemikian rupa seperti sekarang ini dengan keluasan sekitar 650 hektar.

Mina adalah tempat jamaah haji singgah pada 8 Zulhijjah sebelum ke Arafah, dan mereka yang berada di Mina pada 8 sampai hari ke-9 Zulhijjah kemudian mereka menuju Arafah pada pagi tersebut. Dan kembali dari wukuf di Arafah dan setelah mabit di Muzdalifah, mereka berada di sana pada hari Nahr, Tasyriq dan malamnya sampai selesai melontar jamrah.

  • Dinamakan Mina kerana كثرة ما يُمنى فيها أي يُراق من الدّماء banyaknya darah yang ditumpahkan di dalamnya. Ini disebabkan mereka melakukan ibadat korban di Mina. Rasulullah SAW sendiri melakukan sembelihan unta sebanyak 100 ekor pada masa Hajjatul Wada’ dan disembelih dengan tangannya yang mulia sebanyak 63 ekor ketika berada di Mina.

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

 أنّ النبيَّ ﷺ حجَّ ثلاثَ حِجَجٍ: حجَّتيْنِ قبلَ أن يُهاجِرَ. وحجَّةً بعدَ ما هاجرَ، معها عمرةٌ، فساقَ ثلاثًا وستينَ بَدَنَةً، وجاءَ عليٌّ من اليمنِ بِبَقِيَّتِها، فيها جملٌ لأبي جهلٍ في أنفِهِ بُرَّةٌ من فضةٍ، فنَحَرَها، فأمرَ رسولُ اللهِ ﷺ من كلِّ بَدَنَةٍ ببضعةٍ، فطُبِخَتْ فشربَ من مَرَقِها.

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW telah melaksanakan tiga kali haji. Dua kali haji sebelum hijrah, dan sekali selepas hijrah yang bersamanya satu umrah (haji qiran). Dan Nabi SAW telah sembelih 63 ekor unta. Kemudian Ali yang datang dari negeri Yaman telah menyempurnakan baki sembelihan yang lain. Terdapat padanya, unta yang asalnya milik Abu Jahal, pada hidungnya terdapat tali hidung daripada perak, dan kemudian disembelihnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh mengambil sebahagian daripada setiap unta, kemudian dimasak. Maka Rasulullah SAW minum dari kuahnya.”

Riwayat al-Tirmizi (815)

  • Ada riwayat menyebut bahawa setelah Jibril ingin meninggalkan Adam ia berkata “تَمَنَّى” (bercita-citalah, mengharaplah), ia menjawab “أَتَمَنَّى الْجَنَّةَ” yang memberi maksud, “Aku bercita-cita untuk masuk syurga.” Oleh sebab itu disebut Mina, kerana adanya harapan (umniyah) untuk masuk syurga.

Semoga Allah memberi kepada kita kefahaman tentang agamanya dan dikurniakan dapat melaksanakan ibadat haji sehingga melayakkan mendapat haji yang mabrur. Amin. 

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H