#1993: Bank Sperma Bagi Pesakit Kanser Bagi Tujuan Rawatan Kemoterapi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya diuji dengan menghidap kanser testis yang disahkan oleh doktor pakar HKL. Saya juga selesai melakukan pembedahan buang salah satu testis saya. Cuma sekarang sedang menunggu tarikh untuk rawatan kemoterapi. Doktor pakar ada sarankan saya untuk buat Bank Sperma. Saya cuba cari fatwa mengenai hukum buat Bank Sperma tapi tiada. Mohon Dr. kongsikan jawapannya kerana saya sedang buntu untuk buat Bank Sperma ataupun tidak. Sekian terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُم مَّا تُمْنُونَ (58)‏ أَأَنتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ

Maksudnya:(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

(Surah al-Waqi‘ah: 58-59)

Seterusnya dikemukakan terlebih dahulu secara ringkas takrif atau pengenalan mengenai kemoterapi. Dalam bahasa mudahnya, kemoterapi ialah cara rawatan yang menggunakan bahan kimia tertentu untuk merawat dan mengawal sesetengah penyakit (terutamanya penyakit kanser).[1] Menurut Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemoterapi boleh memberi kesan sementara atau kekal kepada kesuburan pesakit. Pesakit wanita mungkin menghadapi kitar haid yang tidak teratur atau putus haid tetapi keadaan ini hanyalah bersifat sementara. Walaupun kebarangkalian untuk mengandung menurun berikutan rawatan kemoterapi, masih ada pesakit wanita yang hamil setelah tamat rawatan.

Bagi pesakit lelaki, rawatan kemoterapi boleh mengurangkan jumlah penghasilan sperma. Bilangan sperma dalam air mani boleh berkurang dalam jumlah yang sedikit atau dalam keadaan yang ekstrem – tiada penghasilan sperma. Kesan sampingan ini boleh bersifat sementara atau kekal. Sesetengah pesakit membuat keputusan untuk menyimpan sperma sekiranya ia diperlukan untuk kegunaan persenyawaan luar rahim kelak.[2]

Selain itu, boleh menyebabkan berlakunya keabnormalan kepada sperma sehingga mengurangkan peluang mendapatkan zuriat, ditambah dengan kecacatan bayi disebabkan masalah genetik. Dalam masa yang sama, rawatan ini merupakan satu keperluan bagi menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.

Sehubungan dengan itu, penyelesaian melalui kaedah Teknologi Bantuan Pembiakan (ART)[3] diberikan kepada pesakit kanser yang belum berkahwin dengan cara pesakit mengeluarkan oocyte atau sperma terlebih dahulu melalui dua cara; sama ada masturbasi ataupun biopsi testis (satu proses mengeluarkan secebis tisu dari buah zakar di bawah bius tempatan dan mengekstrak untuk mendapatkan sperma yang hidup). Kemudian, sperma tersebut disimpan di bank sperma untuk digunakan di kemudian hari bagi mendapatkan anak melalui proses ART dengan pasangannya setelah berkahwin secara sah.[4]

Kemudian, pencantuman benih untuk mendapat zuriat adalah diharuskan jika ia dilakukan dalam tempoh perkahwinan yang sah. Ini dapat dilihat melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) yang telah bersidang pada tahun 2003, di mana mereka telah memutuskan bahawa:

  1. Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram.
  2.   Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.[5]

Kemudian, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 1982 berkaitan Bayi Tabung Uji juga telah memutuskan bahawa:

  • Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara “terhormat” adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah.
  • Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
  • Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara “terhormat”.[6]

Begitu juga berkenaan bank sperma, Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 1981 berkaitan isu bank mani telah memutuskan bahawa:

  • Mengadakan bank air mani adalah haram dalam islam.
  • Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.
  • Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.
  • Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.[7]

Kami melihat pengharaman bank air mani atau bank sperma ini adalah sebagai mengambil jalan Sadd Zarai‘ iaitu menutup jalan kemudaratan yang boleh membawa kepada pencampuran nasab, penyalahgunaan sperma/air mani dan seumpamanya. Justeru, ia selari dharuriyyat al-khams yang diterima dan muktabar dalam hukum Syarak iaitu hifz al-nasabyang bermaksud suatu perlakuan pengembang biakkan keturunan yang bertepatan dengan syariat melalui jalan perkahwinan yang sah dan bukan seperti mana yang berlaku pada haiwan atau yang sesetengah adat yang menghalalkan segalanya sehingga tidak diketahui asal-usul keturunannya. (Lihat ‘Ilm al-Maqasid al-Syar‘iyyah, 1/83).

Di dalam Hukum Syarak, status nasab anak memiliki nilai yang penting dalam kehidupan seorang manusia. Menjadi tanggungjawab lelaki dan wanita yang mukallaf di dalam Islam untuk memastikan keturunan yang mereka lahirkan mesti daripada perhubungan yang sah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”

(Surah al-Furqan: 54)

Kemudian, Rasulullah SAW menghuraikan tentang kepentingan menjaga keturunan. Antaranya, daripada Abu Bakrah dan Sa‘d bin Abu Waqqas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya:Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553).

Tambahan lagi, Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi pernah menyebutkan kepada kami[8] apabila kami mengajukan persoalan berkaitan hukum IVF ini: Hukum IVF ini dibenarkan sekiranya ia menepati tiga syarat:

  1. Tempat penyimpanan mani itu perlulah dijaga dengan amanah dan selamat.
  2. Mani itu perlulah dimasukkan kepada isterinya yang sah.
  3. Apabila pemilik kepada mani meninggal dunia maka air maninya yang disimpan perlu dilupuskan dengan segera.

Seterusnya, oleh kerana ia juga berkait rapat dengan perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja atau lebih dikenali juga sebagai onani atau masturbasi, maka kita akan mulakan perbahasan secara ringkas berkenaan hukumnya terlebih dahulu.

Secara umumnya, mengeluarkan air mani (sperma dan ovum) dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ‎﴿٥﴾‏ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ‎﴿٦﴾‏ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5-7)

Imam al-Syafi‘i menyatakan, ayat di atas jelas menerangkan agar setiap orang Mukmin menjaga kemaluan mereka kecuali pada isteri-isteri mereka dan juga kepada hamba perempuan yang dimiliki serta pengharaman bagi selain daripada keduanya. Ayat ini juga menjadi dalil kepada halalnya pernikahan dan halalnya perbuatan talazzuz (bersedap-sedapan) dan sebagainya pada faraj isteri dan hamba perempuan yang dimiliki selain ia menjelaskan bahawa perbuatan istimna‘ (onani) tidak termasuk dalam perkara yang dihalalkan baginya. (Lihat al-Umm, 5/155).

Seterusnya, turut dinyatakan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (16/421) bahawa hukum mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah haram, dan ramai daripada kalangan ulama yang berpegang dengannya. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Mengahwini hamba perempuan adalah lebih baik darinya (mengeluarkan mani dengan sengaja).” Mereka kesemuanya berpegang pada dalil yang sama iaitu pada surah al-Mukminun ayat 5-7. Perkara ini juga turut diakui oleh pakar-pakar fisiologi dan juga doktor-doktor perubatan bahawa perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja boleh membawa kepada pembunuhan keinginan seksual dalam diri seseorang dan menjadikan seseorang itu tidak dapat mengeluarkannya (air mani) ketika persetubuhan melainkan dengan cara mengeluarkannya sendiri dengan menggunakan tangan seterusnya mengabaikan tanggungjawabnya dan tugasnya sebagai seorang suami. Perbuatan ini juga membunuh fungsi alatnya (kemaluan) atau mengurangkan kebersamaan suami isteri. Maka, kesemua kerosakan dan juga keburukan ini amatlah dilarang daripada berlaku ke atas diri manusia.

Namun, di sebalik pengharaman perbuatan ini, ia dibolehkan dengan sebab-sebab tertentu iaitu:

Pertama: Imam al-Nawawi menukilkan dari Imam al-Mutawalli dan Imam al-Ruyani bahawa kedua-duanya menyebut dibolehkan istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangan isteri atau hamba perempuan yang dimilikinya sepertimana berseronok dengan seluruh tubuh badannya (isteri). (Lihat Raudah al-Talibin, 7/206).

Kedua: Dibolehkan untuk menahan syahwat yang bergelora dalam diri seseorang yang boleh menyebabkannya melakukan zina. Contohnya, seorang lelaki yang ingin bersetubuh dengan isterinya, namun tidak boleh disebabkan haid, maka dibolehkan untuk istimna‘ (onani) dengan menggunakan tangannya sendiri bagi mengelakkan dan menjauhkan dirinya daripada melakukan perbuatan zina. Ini kerana mengambil (melakukan) mafsadah (kerosakan) yang ringan bagi menghalang daripada mafsadah yang berat di antara keduanya. Bahkan diwajibkan pula. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj oleh al-Haitami, 1/389); Hasyiah al-Syabramalisi dalam Nihayah al-Muhtaj, 1/331).

Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, hukum onani dengan menggunakan tangan adalah haram di sisi jumhur ulama dan ia merupakan pandangan yang tepat di antara dua pandangan di sisi mazhab Imam Ahmad. Di samping itu juga, perlu ditakzir bagi orang yang melakukannya. Pada pandangan yang lain, hukumnya adalah makruh dan bukannya haram. Kebanyakan daripada mereka tidak membenarkannya kerana bimbang daripada perbuatan zina dan selain daripadanya. Dinukilkan daripada sekumpulan daripada sahabat dan tabi’in bahawa mereka memberi kelonggaran padanya sekiranya terdapat darurat seperti bimbang terjatuh dalam perbuatan zina dan tidak akan terselamat dia melainkan dengannya (beronani). Begitu juga, sekiranya tidak melakukannya akan sakit. Ini merupakan satu pendapat Imam Ahmad dan selain daripadanya. Adapun jika ia dilakukan tanpa ada darurat, maka aku tidak mengetahui seorang pun yang memberi kelonggaran padanya. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/439).

Di samping itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah bin Baz (Bekas Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi) juga ada menyebutkan, hukum onani adalah haram berdasarkan kepada dalil umum (iaitu surah al-Mukminun, ayat 5-6) disebabkan padanya terdapat banyak mudarat. Ini kerana, ahli perubatan boleh mengeluarkan mani tersebut daripada telurnya dengan cara suntikan. Hal ini merupakan satu keluasan baginya berbanding dengan melakukan onani. Sekiranya pengeluaran mani tersebut tidak boleh dilakukan melainkan dengan cara beronani mengikut kepada keputusan daripada doktor yang pakar dan cara itu membantu dalam proses rawatan, maka ia dibolehkan untuk mengeluarkannya dengan cara beronani. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 22/57).

Begitu juga Syeikh Abdullah bin Humaid (Ketua Majlis Tertinggi Kehakiman dan salah seorang ahli Hai’ah Kibar Ulama di Arab Saudi) ketika ditanya berkaitan hukum onani bagi tujuan pemeriksaan kesihatan untuk rawatan kemandulan, beliau menyatakan, ia dibolehkan dan tidak mengapa selagi mana dia berhajat kepadanya. Para ulama telah berkata, barangsiapa yang beronani tanpa hajat merupakan keuzuran. Adapun perkara ini adalah disebabkan berhajat iaitu mengeluarkan mani bagi tujuan rawatan dan mengetahui akan penyakit yang menyebabkan tidak dapat mengandung kerana boleh jadi sebabnya datang daripadanya iaitu suami atau isterinya. Untuk masalah seperti ini, maka hukumnya adalah tidak menjadi masalah. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah bin Humaid, hlm. 271).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa jumhur ulama berpendapat hukum asal onani atau mengeluarkan air mani dengan sengaja bukan melalui jimak yang sah adalah haram. Hukum ini terpakai ke atas lelaki dan wanita. Sebahagian ulama mengharuskannya jika tidak melakukannya akan membawa kepada fitnah seumpama zina yang lebih besar dosa dan mafsadahnya. Terdapat juga pengecualian lain seperti mengeluarkan air mani menggunakan tangan isteri atau hamba perempuan.

Maka, di sini dapat difahami dan disimpulkan bahawa pengharamannya tidak bersifat mutlak, sebaliknya tertakluk kepada pengecualian dalam keadaan-keadaan tertentu yang melibatkan pertimbangan maslahat seperti darurat dan hajat (keperluan). Antaranya ialah faktor hifz al-nasal. Tujuan menjaga keturunan merupakan salah satu daripada dharuriyyat al-khams yang diterima dan muktabar dalam hukum Syarak. Justeru, salah satu daripada wasilah untuk mencapai hifz al-nasal adalah melalui perkahwinan. Seseorang itu adalah diharamkan untuk mengkasi dirinya atau memandulkan dirinya kerana itu merupakan pengubahan terhadap ciptaan Allah. Begitu juga diharuskan bagi orang yang mandul untuk berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat seperti yang berlaku dalam kes Nabi Zakariyya.

Sekalipun begitu, apabila seseorang diuji dengan ketidaksuburan dan kemandulan maka wajib dia pasrah terhadap takdir tanpa menafikan ikhtiarnya untuk merawat kemandulan itu dan ikhtiar itu juga diiktiraf di sisi hukum Syarak. Hari ini, para ulama memutuskan bahawa kaharusan menggunakan rawatan IVF bagi pasangan yang sudah berkahwin sebagai ikhtiar mendapatkan anak. Dapat difahami juga bahawa usaha mendapatkan zuriat ialah hak setiap individu.

Menjadi amalan kebiasaan dalam perubatan untuk pakar perubatan mencadangkan pesakit kanser menyimpan air mani dan ovumnya sebelum menjalani rawatan kemoterapi. Cara pengeluaran benih itu menggunakan dua cara, sama ada dengan cara masturbasi dan biopsi testis. Malah, sebahagian klinik menyediakan bahan-bahan rangsangan kepada pesakit untuk masturbasi dan ini jelas bertentangan dengan hukum Syarak. Manakala kaedah biopsi testis menyebabkan pesakit terdedah kepada risiko anestesia, yang mungkin tidak sesuai bagi sesetengah pesakit yang memiliki masalah kesihatan.

Demikianlah juga hukum asal bagi istimna‘ (onani) adalah haram, namum dalam beberapa keadaan ia adalah diharuskan, berdasarkan maslahat sama ada pada peringkat darurat (keperluan mendesak) atau hajat (keperluan). Kaedah fiqh menyebutkan:

الضَّرُورَات تُبِيحُ المحْظُورَات

Maksudnya:Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti , hlm. 84).

Sebagai contoh, seseorang itu dibolehkan beronani apabila syahwat begitu kuat dan ditakuti akan terjebak ke dalam kancah zina. Sedangkan zina diharamkan oleh hukum Syarak bagi menolak mafsadah pada peringkat darurat iaitu hifz al-nasal.

Kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya:Hajat (keperluan) mengambil tempat darurat, sama ada hajat umum atau khusus.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 88).

Sebagai contoh, seseorang lelaki diharamkan melihat kepada perempuan ajnabi. Namun dalam kes merisik dan bertunang, diharuskan untuk melihat kepada perempuan ajnabi yang dipinang bagi memastikan faktor fizikal tidak menjadi suatu mudarat selepas berkahwin.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya:Sekiranya bercanggah dua kemudaratan, mudarat yang lebih besar hendaklah dihindari dengan mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudaratan itu.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 87).

Contohnya, melihat alat sulit ketika bersalin, ialah suatu yang diharamkan tetapi jika tidak melakukannya akan mengakibatkan kemudaratan yang lebih besar seperti komplikasi ketika melahirkan anak. Maka ia diharuskan apabila ada suatu keperluan mendesak.

Sekalipun begitu, keharusan mengambil darurat itu hendaklah diambil sekadarnya sahaja dan tidak boleh lebih daripada kadarnya yang diperlukan Ini adalah sebagaimana kaedah fiqh yang menyatakan:

الضَّرُورَةُ تُقَدَّر بِقَدَرِهَا

Maksudnya:Darurat itu ditentukan mengikut kadarnya sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84).

Contohnya jika dibenarkan kepada bidan atau doktor untuk melihat alat sulit wanita yang bersalin, tidak dibolehkan untuk melihat bahagian aurat yang tidak berkait dengan proses bersalin. 

Justeru, hukum masturbasi bagi mengeluarkan benih untuk tujuan IVF adalah diharuskan, sekiranya kaedah biopsi testis mendatangkan risiko terhadap kesihatan pesakit kanser. Begitu juga, sebahagian ulama kontemporari seperti mana yang disebutkan di atas membenarkan masturbasi atas alasan darurat dan suatu hajat perubatan.

Di samping itu, melihat kepada uruf masyarakat hari ini, masalah kemandulan memberikan kesan buruk terhadap pasangan suami isteri. Kesan buruk ini melibatkan aspek sosial, psikologi dan keutuhan perkahwinan dan hubungan kelamin. Dari segi sosial, kemandulan merupakan satu pukulan hebat terhadap maruah pasangan suami isteri kerana tujuan asas dalam perkongsian hidup mereka tidak dapat dicapai. Mereka juga akan merasa rendah diri dan dengan itu cuba mengasingkan diri dari pergaulan masyarakat sekeliling. Hubungan suami isteri juga boleh menjadi tegang dan boleh menjadi retak dengan ketiadaan anak.

Seterusnya, rawatan kemandulan adalah keperluan dan ikhtiar bagi pasangan yang diuji dengan ketiadaan anak dalam perkahwinan. Islam membenarkan ikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian selagi mana ikhtiar itu tidak bercanggah dengan Syarak, apatah lagi salah satu dari maqasid perkahwinan iaitu bagi mendapatkan zuriat. Di samping itu, al-Quran menunjukkan bahawa Nabi Zakariyya AS sendiri berdoa supaya dikurniakan anak lelaki bagi menyambung tugas dakwahnya dan doa beliau merupakan salah satu dari usaha untuk mendapatkan anak.

Maka, perkara ini juga dapat dinisbahkan keadaannya dengan pesakit kanser yang berkeperluan untuk mengeluarkan air mani dengan cara masturbasi untuk tujuan menyimpannya. Walaupun hukum asal masturbasi termasuk dalam perbuatan haram, tetapi disebabkan keperluan khusus pesakit dalam usaha untuk memenuhi hajatnya dan haknya untuk mendapatkan anak, maka ia boleh mengharuskan perbuatan masturbasi.

Meskipun proses pengeluaran air mani bukanlah terhad kepada cara masturbasi sahaja, namun cara ini tidak memberi sebarang risiko berbanding proses biopsi testis. Hal ini dapat dilihat bahawa cara masturbasi merupakan pengeluaran mani secara natural yang tidak menyebabkan sebarang kesan yang berbahaya. Manakala pengeluaran air mani secara biopsi testis boleh memberi risiko anaestasia, dan ia boleh mendatangkan mudarat kepada pesakit yang menghidap penyakit yang berbahaya.

Oleh itu, setiap proses pengeluaran mani secara masturbasi ini perlulah mengikut keperluan sahaja dan mematuhi segala hukum-hukum yang berkaitan, seperti tidak dilakukan di tempat terbuka, menjaga batasan aurat semampunya, tidak menggunakan bahan bantuan yang mengandungi unsur pornografi serta mendapat pengesahan doktor bahawa masturbasi lebih selamat berbanding biopsis testis.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penyimpanan sperma bagi pesakit kanser bagi tujuan rawatan kemoterapi adalah diharuskan. Akan tetapi ia tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

  • Hukum masturbasi (onani) bagi mengeluarkan sperma bagi tujuan menyimpannya adalah diharuskan, sekiranya kaedah biopsi testis mendatangkan risiko terhadap kesihatan pesakit kanser. Risiko ini perlu disahkan oleh pakar perubatan yang amanah dan dipercayai.
  • Pihak klinik atau hospital bertanggungjawab memastikan tempat penyimpanan benih (sperma) terjaga daripada sebarang percampuran benih.
  • Hendaklah benih yang digunakan itu tidak menyebabkan kecacatan yang memberi mudarat kepada anak dan ibu bapa.
  • Prosedur penyimpanan mestilah dikendalikan oleh pakar perubatan yang amanah dan dipercayai.
  • Sperma tersebut digunakan hanya untuk isterinya melalui perkahwinan yang sah sahaja, bukannya untuk bakal isteri atau disewakan atau digunakan kepada orang lain.
  • Sekiranya pemilik benih sudah meninggal dunia, benih yang disimpan itu wajib dihapuskan serta merta dan tidak boleh digunakan bagi apa-apa maksud yang dilarang oleh Hukum Syarak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kemoterapi. Diakses pada 16 Jun 2023.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/apa-itu-kanser/. Diakses pada 16 Jun 2023.

[3] Iaitu “Assisted Reproductive Technology (ART)” atau disebut “Teknologi Bantuan Pembiakan” merupakan suatu teknologi yang digunakan dalam dunia perubatan untuk merawat kesuburan dan membantu kehamilan sehingga akhirnya mempunyai potensi untuk melahirkan bayi yang sihat.

[4] Lihat Kertas Cadangan Fatwa daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan “Hukum Penyimpanan Sperma dan Ovum Sebelum Berkahwin Bagi Pesakit Kanser Bagi Tujuan Rawatan Kemoterapi.” Lihat juga http://www.myhealth.gov.my/pengekstrakan-sperma-dari-buah-zakar-tese/. Diakses pada 16 Jun 2023.

[5] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15268. Diakses pada 18 Jun 2023.

[6] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15229. Diakses pada 18 Jun 2023.

[7] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15226. Diakses pada 18 Jun 2023.

[8] Ketika saya masih lagi menjawat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H