#2021: Mencairkan Harta Kakak untuk Perbelanjaan Perubatan Kakak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mempunyai seorang kakak yang sakit dan tidak dapat menguruskan dirinya. Kakak saya mempunyai harta seperti rumah, tanah dan barang kemas. Boleh atau tidak untuk saya mencairkan harta kakak saya untuk perbelanjaan perubatan dan kegunaan kakak saya sendiri.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan firman Allah SWT:

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, bertakwalah kamu kepada Allah dengan mentaati-Nya. Kata Ibrahim, Mujahid dan al-Hasan: “الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ” ertinya sebagaimana ucapan seseorang: “Aku meminta kepadamu dengan (nama) Allah dan dengan (hubungan) rahim.”

Al-Dahhak berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah yang dengan-Nya kamu saling mengikat janji dan persetujuan, serta takutlah kamu daripada memutuskan silaturrahim, tetapi berusahalah untuk berbuat baik dan menyambungnya.” Pentafsiran ini adalah pendapat Ibn Abbas, Ikrimah, Mujahid, al-Hasan, al-Dahhak, al-Rabi’ dan ramai ulama’ yang lain.

Sebahagian ulama membaca “وَالْأَرْحَامَ” dengan khafadh (kasrah) sebagai athaf (sambungan) dari dhamir “بِهِ”, maksudnya kamu saling meminta satu sama lain kepada Allah dan hubungan silaturrahim, sepertimana yang dinyatakan oleh Mujahid dan selainnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/332)

Saya mengucapkan syabas kerana anda cakna dan prihatin terhadap urusan kakak anda. Ini adalah langkah yang terbaik jika ibu dan ayah anda masih hidup, sudah pasti dia bangga dengan tindakan anda. 

Berbalik kepada persoalan, kami katakan, sewajarnya anda berbincang dengan sebaiknya dengan kakak. Jika diizinkan, maka gunakanlah dengan semaksima mungkin bagi manfaat harta yang ada padanya itu. Maksud saya, mungkin sebahagian hartanya itu, digunakan untuk penuh berekonomi dan manfaat jangka masa yang sehabis panjang. 

Elakkan daripada pembaziran dan pemborosan. Begitu juga elakkan dari mengambil kesempatan dari harta kakak kerana kita tidak mengetahui berapa jangka hayatnya bagi memerlukan segala rawatan dan urusan kehidupannya. 

Ingatlah bahawa anda adalah pemegang amanah terhadap harta kakak anda. Justeru, lakukanlah dengan penuh keamanahan di samping ia juga akan ditanya pada hari akhirat kelak. Daripada Abdullah bin Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan kamu akan ditanya berkaitan orang dibawahnya.”

Riwayat Muslim (1829)

Jika hal ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, insya Allah, keberkatan dalam hidup anda dan pengorbanan yang diberikan itu sudah tentu menatijahkan banyak kebaikan.

Kami akhiri dengan doa, semoga Allah sembuh kakak anda dan diberi kehidupan yang baik,

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhkanlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H