#2065: Non-Muslim Yang Banyak Buat Amal Kebajikan

Soalan:

Assalamulaikum Ustaz, boleh saya bertanya dalam Islam semua umat Islam dijamin masuk syurga dan bukan untuk orang kafir. Bagaimana pula dengan agama lain sedangkan dia orang yang banyak berbuat baik dan bagus? Adakah dia berpeluang masuk ke syurga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Surah Ali-Imran (19)

Ibn Kathir menafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT menyatakan bahawa tiada agama yang diterima dan diakui disisi-NYA daripada seseorang itu selain daripada agama Islam, yakni dengan mengikuti setiap daripada rasul yang diutuskan oleh Allah SWT setiap zaman yang sehingga diakhiri dengan Nabi Muhammad SAW. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 2:25)

Begitu juga, dalam nas al-Quran yang lain, Allah SWT berfirman:

 وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Surah Ali Imran (85)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan seluruh umat Islam akan memasuki syurga dan hanya agama Islam yang diredhai oleh Allah SWT. Menurut al-Qurtubi, meskipun orang yang bukan Islam itu banyak melakukan kebajikan, namun di akhirat kelak, tidak akan dihitung oleh Allah SWT kerana tiada manfaat (Lihat Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/24). Hal ini kerana mereka hidup dalam keadaan kafir sebagaimana firman Allah SWT:

وَقَدِمْنَا إِلَىٰ مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَّنثُورًا

Maksudnya: “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan”

Surah al-Furqan (23)

Walau bagaimanapun, amalan orang bukan Islam di atas dunia, akan dibalas oleh Allah SWT di dunia juga sebagai tanda bukti Allah Maha Penyayang.

إِنَّ الْكَافِرَ إِذَا عَمِلَ حَسَنَةً أُطْعِمَ بِهَا طُعْمَةً مِنَ الدُّنْيَا وَأَمَّا الْمُؤْمِنُ فَإِنَّ اللَّهَ يَدَّخِرُ لَهُ حَسَنَاتِهِ فِي الآخِرَةِ وَيُعْقِبُهُ رِزْقًا فِي الدُّنْيَا عَلَى طَاعَتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan, maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman, Allah SWT akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak, dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya. Dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya Allah SWT tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia, dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan”

Riwayat Muslim (2808)

Kami menutup perbincangan ini dengan berdoa kepada Allah:

اللَّهُمْ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَأَعُوذُّ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قُرِّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Aku mohon berlindung dengan-Mu daripada neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya sama ada ucapan atau amalan. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H