#2110: Zikir Hari Arafah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah zikir pada Hari Arafah adalah terbaik? Dan bolehkah syarah hadith Nabi SAW berkenaan dengan zikir tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ‏

Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik perkataan yang diucapkan oleh aku dan para Nabi sebelumku adalah: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ (Tiada Tuhan melainkan Allah, Dia Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia memiliki Kerajaan dan segala puji adalah untuk-Nya, dan Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu).

Riwayat al-Tirmizi (3585), Ahmad (6961), Malik dalam al-Muwatta’ (726) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan (8391). Dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Tirmizi.

Dalam riwayat lain, daripada Talhah bin Ubaidillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَأَفْضَلُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ.

Maksudnya: “Doa yang paling afdhal adalah doa pada hari arafah, dan doa yang paling afdhal adalah doa yang aku dan para nabi-nabi sebelumku bacakan: ‘Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’.”

Riwayat al-Tirmizi (3585), al-Baihaqi (8651) dan Malik di dalam al-Muwatta’ (1/214)

Al-Qadhi ‘Iyadh menyebut bahawa hadith ini menunjukkan bahawa sebaik-baik zikir ialah tahlil — iaitu “لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ”. Ia adalah sebaik-baik zikir yang diucapkan oleh Baginda SAW dan para nabi sebelumnya. Dikatakan juga ia adalah nama Allah yang paling agung dan ia merupakan kalimah tauhid. (Lihat Ikmal al-Mu’lim, 8/192)

Ibn ‘Abd al-Bar berkata: Antara fiqh yang terkandung dalam hadith di atas adalah bahawa doa pada hari ‘Arafah adalah lebih utama daripada doa pada hari-hari lain. Hadith ini juga menunjukkan keistimewaan hari Arafah daripada hari-hari yang lain..Ia juga menunjukkan bahawa doa pada hari ‘Arafah adalah mustajab secara umum. Hadith ini juga menunjukkan bahawa zikir yang paling utama adalah zikir ‘لا إله إلا الله’. (Lihat al-Tamhid, 6/41)

Imam al-Nawawi berkata:

يُسْتَحَبُّ الإِكثارُ من هذا الذِّكر والدُّعاء، ويَجتهدُ في ذلك، فهذا اليوم أفْضَلُ أيامِ السَّنَة للدُّعاء، وهو مُعْظَمُ الحَجِّ ومَقْصُودُه، والمُعَوَّلُ عليه، فينبغي أنْ يَسْتَفْرِغَ الإنسانُ وُسْعَهُ في الذِّكر والدُّعاءِ وفي قراءةِ القرآنِ، وأنْ يدعوَ بأنواعِ الأدعية، ويأتي بأنواعِ الأذكار، ويدعو لِنَفْسِه ووالديه وأقارِبِه، ومشايِخِه وأصحابِه وأصدقائِه وأحبابِه، وسائِرِ مَنْ أحْسَنَ إليه، وجميعِ المسلمين.

Al-San‘ani menyatakan bahawa ia adalah kalimah tauhid dan ikhlas, serta ia merupakan nama Allah yang paling agung. (Lihat Subul al-Salam, 2/704)

Syeikh Al-Mubarakfuri menyebut: Apabila disebut bahawa sebaik-baik yang diucapkan adalah zikir  ‘لا إله إلا الله’, ia bukan menunjukkan bahawa doa yang dimaksudkan dalam hadith (tersebut) adalah dengan bacaan tersebut sahaja. Namun, maksud sebaik-baik doa adalah doa yang dipanjatkan pada hari Arafah, doa apa sahaja bentuknya. Dan boleh juga dibaca selain doa itu, iaitu kalimah ‘لا إله إلا الله’ yang diucapkan. Manakala sabda Rasulullah SAW, ‘sebaik-baik yang aku ucapkan,” adalah menunjukkan zikir, bukan doa. Maka tidak sesuai memaksudkan ‘yang aku ucapkan’ dengan ‘yang aku minta/doa.’ Boleh sahaja zikir (‘لا إله إلا الله’) adalah pendahuluan untuk berdoa (meminta) kepada Allah, kerana disunatkan memuji Allah sebelum meminta sesuatu.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/33)

Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat kita. Amin.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H