Soalan:
Saya merupakan seorang isteri dan seorang ibu kepada seorang anak berumur 1 tahun 6 bulan. Saya memerlukan pandangan serta memohon jawapan dan tindakan yang perlu saya lakukan sekiranya suami saya telah memaklumkan bahawa “Tahun ini merupakan tahun terakhir kita bersama,” pada bulan April (sebelum mengandung) dan telah memaklumkan sekali lagi untuk berpisah pada September (5 bulan mengandung).
Untuk makluman tambahan lagi, pada bulan September saya telah menanggung kehidupan dengan membayar sewaan rumah serta kereta dan lain-lain. Manakala suami mengeluarkan perbelanjaan anak dan sedikit keperluan dapur. Malah suami juga kini tinggal bersama ibu bapanya. Suami akan balik kadangkala bagi tuntutan batinnya.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.
Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’, ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)
Talak adalah perkara yang tidak boleh dibuat sebagai permainan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang dilakukan secara bersungguh menjadi sah, dan secara gurauan juga akan menjadi sah; nikah, talak dan rujuk.
(Lihat al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/164)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya yang dimaksudkan oleh suami saudari, ”Tahun ini merupakan tahun terakhir kita bersama” dan “Kita berpisah”, itu adalah untuk menceraikan, maka beliau telah melafazkan lafaz Talak Kinayah. Namun, jika sekiranya dia tidak bermaksud untuk bercerai, maka tidak jatuh talak. Meskipun begitu, kami nasihatkan agar saudari berbincang secara baik dengan suami saudara tentang perkara ini agar ianya tidak bergantung tidak bertali dan dapat diselesaikan sebaiknya. Walau bagaimanapun, isu ini perlu dirujuk di mahkamah bagi menentukan sama ada terjatuh talak atau tidak dan bagi langkah berjaga-jaga dalam menjaga maslahah bersama. Sebagaimana kaedah menyebut:
أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”
Berkenaan isu perkahwinan dan talak ini, saudari juga boleh rujuk di link bawah bagi kefahaman yang lebih luas:
#1857: Lafaz “Saya Lepaskan Awak,” Dikira Cerai?[1]
#250 Lafaz Talak Tanpa Niat[2]
#1247: Jenis Lafaz Talak Kinayah[3]
#1428: Rumahtangga dan Perselisihan Berpanjangan[4]
Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan kepada pasangan suami isteri agar memilih kata-kata yang paling baik serta bermu’asyarah dalam melayari bahtera kehidupan dengan cara yang terbaik.
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”
Surah al-Nisa’ (19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut. Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
Ingatlah, sebenarnya kehidupan berumahtangga penuh dengan ranjau dan duri dengan sebab itulah syaitan akan cuba memisahkan dan meruntuhkan rumahtangga seupaya mungkin. Maka, banyaklah clash, pertembungan dan persengketaan berlaku antara pasangan lebih-lebih lagi apabila dipengaruhi oleh emosi. Justeru, penawar utama adalah sentiasa berbincang dan menyelesaikan masalah tanpa memberikan sebarang ruang sehingga membawa keruntuhan institusi rumahtangga.
Ingatlah, untuk membina keluarga yang menuju kepada kebahagiaan atau Baiti Jannati perlukan pengorbanan dan bukan masa yang sedikit. Sebaliknya, untuk meruntuhnya hanya dengan sekali lafaz dan dengan isu yang remeh dek kerana mengikut hawa nafsu dan nafsu amarah yang tak terkawal. Akhirnya, kesesalanlah yang melanda kehidupan di sepanjang hayat. Semoga ianya dijauhkan daripada kita semua.
Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Kami menutup dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
[1] https://maktabahalbakri.com/1857-lafaz-saya-lepaskan-awak-dikira-cerai/
[2] https://maktabahalbakri.com/250-lafaz-talak-tanpa-niat/#_ftn2
[3] https://maktabahalbakri.com/1247-jenis-lafaz-talak-kinayah/
[4] https://maktabahalbakri.com/1428-rumahtangga-dan-perselisihan-berpanjangan/
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H